Bab 4

9 3 0
                                    

"ENCIK Smile! Ini air untuk Encik." Tangan kanan Nafeesa menghulurkan air tin berperisa teh krisantemum kepada Ismail yang sedang berteduh di bawah khemah yang disediakan untuk tetamu manakala tangan kirinya menggenggam erat tangan kecil Inara yang sedang menyedut minuman kotaknya.

Rambut yang mengganggu pandangan Inara ditolak ke belakang. Nafeesa berlutut dan menyusun rambut lembut milik Inara. Si kecil itu pun sekadar membiarkan perbuatan Nafeesa terhadap rambutnya. "Encik Smile ada getah rambut Inara tak?" Nafeesa pandang Ismail pula. Wajahnya tiba-tiba menghangat tatkala dia menyedari bahawa Ismail sedang memandang ke arahnya sejak tadi dengan renungan lembut.

Inara toleh ke belakang. Kedua-dua tangannya naik menekup mulut sebelum dia tersenyum-senyum suka. Tindakannya itu berhasil menangkap perhatian Ismail dan Nafeesa.

Menyedari bahawa pandangan kedua-dua orang dewasa itu sudah beralih ke arahnya, Inara menggerak-gerakkan tangannya.

Macam keluarga. Mama, papa, Inara. Inara teringatkan perilaku kawan-kawannya yang lain apabila bersama dengan keluarga mereka. Sudah lama dia ingin merasakan hal yang sama.

Wajah Nafeesa bertukar sedikit mendung.

Inara dengan papa saja pun dah memang satu keluarga, sayang.

Ismail melakukan bahasa isyarat. Dia tidak mahu Nafeesa berasa tidak selesa. Dari riak wajah mendung gadis itupun dia seperti sudah boleh agak bahawa gadis itu tidak selesa dianggap keluarga dengan dia dan Inara.

Nafeesa menghiraukan apa yang diisyaratkan oleh Ismail. Malah dia bergerak ke hadapan Inara pula. Kedua-dua belah bahu anak kecil itu dipegang. Matanya merenung ke dalam anak mata Inara. Dia ingin menyelami isi hati anak itu.

Inara suka saya ke?

Inara anggukkan kepalanya sekali. Manakala seorang Syed Ismail sedang gugup di tempatnya. Interaksi antara anaknya dan seorang gadis yang dia baru sahaja bertukar kata dua hari lepas diawasi tanpa masuk campur. Dia ingin tahu apa yang Nafeesa ingin katakan pada anaknya. Adakah gadis itu akan memujuk anaknya? Menjelaskan sebab-sebab yang menguatkan satu fakta bahawa mereka bukan satu keluarga. Malah, mereka hanyalah orang asing yang tiba-tiba masuk ke dalam hidup antara satu sama lain tanpa sengaja.

Saya pun suka Inara.

Hidung Inara disentuh perlahan. Gadis kecil itu tersenyum riang.

Tapi, kita bukan keluarga, sayang.

Senyuman yang tadinya terukir lebar terus pudar. Bukan keluarga, ya?

Nafeesa usap pipi Inara. Wajah anak perempuan Ismail itu sudah merah seperti ingin menangis. Betapa tingginya keinginan seorang Sharifah Inara untuk Nafeesa, Ismail dan dirinya menjadi satu keluarga.

Awak nak kita jadi keluarga ke?

Inara mengangguk kepala sambil menahan air matanya dari jatuh.

Nak..

Nafeesa pandang Ismail yang berada di belakang Inara itu. Lidah lelaki itu kaku dan kelu.

Tarik nafas... hembus. Tangan Nafeesa bergerak lagi sebelum sempat untuk Ismail berbicara.

Kalau nak, kita boleh jadi keluarga.

Tangisan Inara tiba-tiba sahaja terhenti.

Sampai syurga.

Nafeesa pandang Ismail yang sudah memandangnya tidak berkelip itu.

"Nak?"

Tubuh Nafeesa dipeluk erat oleh Inara. Gadis itu tersenyum kecil sebelum dia pandang Ismail semula.

"Nak atau tidak, Encik Smile?"

Smile!Where stories live. Discover now