ISMAIL meraup wajahnya. Rumah besar milik mak dan abahnya kelihatan menggerunkan saat ini. Dia bimbang sekiranya mak dan abahnya tidak terima Nafeesa untuk masuk ke dalam keluarga mereka.
"Amboi, Encik Smile. Encik kelihatan lebih nervous berbanding saya. Siapa yang nak jumpa bakal mentua sekarang ni?" Nafeesa mengusik Ismail.
"Encik tak perlu risaulah! Saya ni berjiwa kental tau." Nafeesa menepuk dada berbangga diri.
Senyuman terukir nipis di bibir Ismail. Kurang sedikit rasa bimbangnya.
Nafeesa dipimpin oleh Inara sehingga ke hadapan pintu masuk rumah. Kelihatan emaknya, Sharifah Ayu serta abahnya, Syed Halim sudah menunggu di depan pintu, bersedia untuk menyambut kedatangan cucu kesayangan mereka.
Wajah Sharifah Ayu bertukar sedikit kelat apabila Nafeesa mendekatinya sambil berpimpinan tangan dengan Inara, cucu perempuannya yang tersayang.
"Assalamualaikum." dulu-dulu Nafeesa menyapa kedua-dua orang tua Ismail. Bibirnya tidak lokek dengan senyuman manis bak gula.
"Saya Nafeesa." Nafeesa memperkenalkan dirinya. Tangannya sudah terhulur ke hadapan ingin menyalam Sharifah Ayu, emak kepada Ismail.
Lambat-lambat Sharifah Ayu menghulurkan tangannya kepada Nafeesa. Itupun setelah bahunya disenggol oleh suaminya.
"Masuklah, Nafeesa," pelawa Syed Halim setelah dia bertanya khabar kepada Inara dan memeluk cucunya itu.
Melebar senyuman gadis yang berusia 24 tahun itu apabila namanya disebut oleh bakal pak mentua. Ini bermakna, dia tidak akan ditolak serta-merta daripada senarai calon menantu pasangan Syed dan Sharifah ini. Dalam hati dia sudah tertawa kecil tanda suka.
Mereka mengambil tempat di ruang rehat keluarga. Seperti biasa, Inara pasti tidak akan melepaskan peluangnya untuk bermanja dengan Nafeesa. Ruang kosong sofa di sisi Nafeesa laju sahaja dipenuhkan sebelum sempat untuk Ismail melabuhkan punggungnya. Nafeesa pula sedang ralit memerhati hiasan dalaman rumah sehingga tidak sedar bahawa dirinya sedang diperhatikan oleh beberapa pasang mata.
"Kamu sihat, Ismail?" Soalan ditujukan kepada Ismail yang sedang asyik merenung gelagat Nafeesa oleh Sharifah Ayu.
Tidak gelabah apabila kelakuannya ditangkap oleh mata emaknya, Ismail menjawab soalan permaisuri hatinya dengan tenang bersama senyuman nipis menghiasi bibir. "Alhamdulillah, sihat, mak. Mak dan abah sihat?" Soalan ditanya kembali kepada kedua-dua orang tuanya.
"Abah sihat, alhamdulillah. Cuma mak kamu ni, biasalah sakit orang tua." Syed Halim menjawab soalan anak lelakinya itu bagi pihak dirinya dan isterinya.
Sharifah Ayu menjeling. "Sakit tua, biasalah. Sakit-sakit pun anak jarang nak bertanya khabar, tunggu kita saja yang menjemput." Sudah semestinya ayat yang ditambah oleh Sharifah Ayu itu ditujukan kepada Syed Ismail, anak sulungnya itu.
Ismail mencebik. Dia memandang Syed Halim dengan pandangan simpatinya. "Saya selalu saja tanya khabar mak dan abah. Tapi, dekat abahlah."
Laju pandangan Sharifah Ayu naik memandang figura yang duduk di sisinya. Siapa lagi kalau bukan encik suaminya sendiri?
Syed Halim tersengih menayang giginya yang sudah hilang beberapa itu.
"Dah setiap kali Ismail telefon saja, awak mesti bercakap soal menantu. Penat anak nak menjawab, tahu?"
Sharifah Ayu mendengus. "Untuk kebaikan dia dan Inara juga," ujarnya.
Sharifah Ayu mengalihkan pandangannya ke arah Nafeesa pula. Gadis itu dipandang atas bawah. 'Cantik,' bisik hati kecilnya.
"Mak ayah kamu izinkan kamu berkahwin dengan duda anak satu?" Soalan terus ditanyakan kepada Nafeesa. Ismail pula yang tersedak mendengar soalan emaknya.
Nafeesa mengambil masanya untuk menjawab soalan Sharifah Ayu. Dia memandang Ismail sekilas kemudian memandang Inara pula. Senyuman comel yang diberikan oleh Inara kepadanya serta-merta menghangatkan hatinya.
"Insya-Allah, mereka izinkan, aunty." Nafeesa menjawab setelah menarik dan menghembuskan nafasnya.
"Kamu tak tanya mereka dulu?"
Nafeesa senyum nipis. Kelihatan seperti Ismail ingin membuka mulutnya, tetapi Nafeesa terlebih dahulu mengangkat tangannya separa bahu tanda dia boleh uruskan soalan itu sendiri.
"Mereka sudah meninggal, aunty. Hampir dua tahun." Senyuman masih kekal utuh. Tangannya naik mengusap lembut kepala Inara yang sedang bermain dengan permainan dari aplikasi di telefon pintarnya.
Mungkin Nafeesa tidak perasan, tetapi dia sebenarnya sedang menyembunyikan senyuman pahitnya dengan mengeluarkan senyuman penuh kasih kepada Inara. Ismail, Syed Halim, dan Sharifah Ayu menyaksikan keperitan yang tersimpan di dalam dada Nafeesa ketika ini.
"Kamu sudi berkahwin dengan Ismail dan jadi sebahagian daripada keluarga kami?" Perlahan soalan itu terluah daripada celahan bibir Sharifah Ayu. Hati ibunya meronta-ronta ingin memeluk gadis di hadapannya itu dan ingin bergelar 'mak' kepadanya. Dia ingin mencurahkan kasih seorang ibunya kepada Nafeesa seperti yang dia telah lakukan kepada Ismail dan seorang lagi anaknya, Ishak yang masih lagi belajar di menara gading.
Nafeesa tersenyum sehingga matanya jadi mengecil. "Mestilah sudi! Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan." Tanpa ragu-ragu dia memberi balasan kepada mak Ismail bersaksikan Syed Halim dan Ismail sendiri.
"Mantap! Dua minggu lagi kamu berdua nikah." Kata putus diberi oleh Sharifah Ayu menyebabkan yang lainnya tercengang.
Biar betul?!
YOU ARE READING
Smile!
RomanceTentang Ismail, Inara dan Nafeesa yang menjadi satu keluarga demi merasa bahagia.