NAFEESA diam. Matanya lekat memandang ke arah dua manusia di hadapannya. Seorang kanak-kanak perempuan yang usianya 4 tahun bersama seorang lelaki yang usianya pula awal 30-an sedang seronok berbual sambil memakan aiskrim coklat yang dibeli oleh lelaki itu. Yang lainnya, mereka berbual tanpa bunyi. Hanya gerakan tangan dan mulut yang tidak mengeluarkan suara.
Syed Ismail bin Syed Halim. Ceritanya, lelaki ini telah berkahwin dengan seorang wanita yang mempunyai gelaran 'Sharifah' melalui aturan keluarganya yang ingin mengekalkan nama keturunan mereka. Namun, setelah setahun lebih usia perkahwinan mereka yang hambar itu, sang isteri bertindak untuk meminta perceraian di antara mereka atas alasan kerana cinta tidak boleh dipaksa dan dia sudah mempunyai buah hati. Ismail pula dengan hati separuh relanya bersetuju dan hak jagaan anak mereka, iaitu Sharifah Inara, jatuh pada Ismail yang merupakan bapa kandung si kecil itu.
Puteri tunggal Ismail itu rupa-rupanya mempunyai masalah pendengaran dan tidak bisa berkata-kata. Atas kata lainnya, bisu dan tuli, sama seperti mak cik kepada Nafeesa. Walaupun begitu, di usianya 2 tahun lagi si kecil itu sudah berjinak-jinak menggunakan bahasa isyarat yang diajarkan oleh ayahnya sendiri.
Nafeesa berdiri tegak tatkala Inara berlari-lari anak ke arahnya. Senyuman lebar si kecil itu dihiasi dengan calitan aiskrim coklat di hidung kecilnya berjaya membuatkan Nafeesa tersenyum sama.
Sedap aiskrim tu?
Nafeesa berbual dengan Inara yang terus mesra dengannya sejak pertama kali mata mereka bertentangan.
Sedap!
Si kecil mengangguk teruja sambil aiskrim di tangan yang masih berbaki sedikit dihulurkan ke arah Nafeesa.
Nafeesa senyum kecil sambil menolak dengan lembut niat baik Inara yang ingin berkongsi aiskrim dengannya.
Awak makanlah. Saya dah kenyang.
Inara sengih sambil menganggukkan kepalanya. Dia mengajak Nafeesa untuk duduk di sebelahnya dengan cara dia menarik hujung baju kemeja Nafeesa.
Ismail melangkah perlahan ke arah Inara dan wanita yang baru menjadi kenalannya itu.
"Betul ni awak tak nak aiskrim juga?" Ismail menyoal soalan yang dia sudah tanyakan beberapa kali sebelum dia membeli aiskrim kon untuknya dan Inara tadi.
Nafeesa senyum nipis sambil menggeleng kepala perlahan. "Betul, Encik Ismail." Jawapan yang sama kepada soalan yang sama, dia tuturkan lagi.
Ismail ambil tempat di hadapan Nafeesa dan Inara. Perilaku Nafeesa yang lemah lembut dan baik melayan Inara itu membuatkan hati dia tenang.
"Kalau esok saya bawa awak jumpa Inara lagi, boleh tak?" Terkeluar soalan yang bermain di benaknya.
Nafeesa pantas memandang Ismail yang masih tersenyum itu. Akal fikirannya berkira-kira akan jawapan yang dia patut beri kepada lelaki itu sebelum bibirnya terukir senyuman kecil.
"Boleh. Tapi.. belah tengah hari atau petang saja sebab pagi saya ada kerja."
"Okay, boleh. Memang saya nak bawa awak jumpa Inara belah petang pun sebenarnya." Ismail merancang aktiviti untuk hari esok di dalam kepalanya pula.
YOU ARE READING
Smile!
RomanceTentang Ismail, Inara dan Nafeesa yang menjadi satu keluarga demi merasa bahagia.