"Mama... Ma...mama"
Lirikan mata hitam berkilat yang tidak henti memancarkan sinar itu semakin lama semakin menusuk tajam ke dalam anak matanya.
Sehingga tergagap-gagap dia hendak teruskan bicara. Sekali, Ghaze ambil telefon di tangan Dura dan jadikan perbualan telefon itu kepada pembesar suara agar dia juga boleh dengar apa yang bakal menjadi topik perbualan.
"Hi Stella... Stella dekat mana tu? Buat apa? Dah makan?" Riang sungguh suara Ghaze bertutur sedemikian dengan kanak-kanak berusia empat tahun itu. Dura yang duduk di kerusi berhadapannya terkebil-kebil.
"I..ini s..siapa? Mana ma..mama?"
Takut-takut gadis kecil itu bersuara. Ini, kali pertama orang lain yang jawab panggilan telefon dia. "Ini ayah sayang... Stella tak nak cakap dengan ayah?"
Mendengar cara Ghaze bertutur dengan begitu selamba sehingga berani mengaku dirinya ayah kepada Estella buatkan Dura terkedu.
"Apa Tengku cakap ni?"
Dia buat isyarat tangan menyoal begitu. Tidak mahu Stella dengar akan tentang apa yang dia maksudkan itu. Ghaze pula? Dia senyum suka, wajahnya langsung tidak mengambil peduli.
"A..ayah?" Pelik-pelik gadis kecil di balik corong telefon sana. Dia tidak salah dengar bukan? Dia... Ada seorang bapa?
"Ya.. ayah ni sayang, Stella tak percaya? Stella tak suka ayah?" Makin lama, makin selesa pula cara Ghaze bercakap dengan anak Dura itu.
"T..tapi mama kata, ayah jahat. Dia... Buang Stella sebab Stella anak jahat, Nek Yam kata, Stella a..anak haram.. Tapi Stella tak tahu anak haram tu apa?"
Ghaze lekas alihkan pandangan ke arah wanita elegan yang duduk di hadapannya. Hatinya tiba-tiba terasa sebak mendengar kata-kata gadis kecil di balik corong telefon sana.
Kalaulah dia berada dekat dengan Estella, memang gadis itu sudah pun berada dalam dakapannya sekarang.
Dura senyap. Dia sengaja biarkan beberapa saat sebelum dia kembali membuka bicara pada corong telefon. "Stella, Stella nakal ke? Stella ada buat Nek Yam marah?"
Gadis kecil itu terdiam. "B..bukan.. Stella lapar.. Stella cuma minta makanan, tapi dia marah, dia panggil Stella anak haram. Anak haram tu apa mama?"
Dura mendengus kecil. Dia kepal penumbuk di tangan putihnya sehingga telapak tangan itu bertukar merah. "Kan mama dah kata, jangan degil! Kalau dia tak bagi makan, Stella duduk diam-diam dalam bilik!"
Ghaze yang berada di hadapannya tersentak dengan cara Dura. Dia lekas capai telefon yang terletak di atas meja. Butang pembesar suara dimatikan. Dia dekatkan telefon itu ke telinganya. Dia sempat lagi menjegil mata ke arah Dura kerana berkata kasar dengan gadis kecil itu.
YOU ARE READING
11 HOURS TO BOSTON ✓
Romance[The E's Family vol.3] Saat dua pasangan kekasih yang sudah putus cinta kini bertemu kembali di dalam sebuah penerbangan cinta menuju ke Kota Boston, hati mereka mula keliru dengan perasaan masing-masing. Kini, Safieyah Nedinena dan Es...