Bab 25

178 4 0
                                    

"Aku sebenarnya ada jumpa Nabila di Dubai baru ni," Amirul menjeling Adam. Macam menanti bom jangka yang bakal meledak pula rasanya, sepanjang mereka bercerai dia mahupun Hanis tidak pernah membangkitkan nama itu.

Adam hanya melihat Amirul sekilas, yang kelihatan serba tak kena duduk di atas sofa menanti reaksinya. Sambil mengemas beberapa fail yang sudah berselerak di atas meja, dia tiba-tiba terfikir untuk memberi reaksi dramatik di hadapan kawannya ini.

"Kau dah tahu?," belum sempat otak merangka beberapa aksi lakonan, Amirul sudah cepat menangkap.

Adam senyum segaris buatkan Amirul memandangnya tajam.

"Buat apa dia dekat sana?," tanya Amirul dengan wajah yang jelas menahan marah. Adam mengangkat bahu.

"Mana lah aku tahu," keluh Adam.

"Kenapa dia macam takut-takut bila nampak aku?, apa yang kau rahsiakan dari aku?," Amirul mula mendesak, dia dapat rasakan banyak yang Adam sembunyikan dari dia dan Hanis.

Amirul sudah mula berdiri, mundar mandir di bilik pejabat Adam yang boleh tahan besar. Adam mahu membalas kata-kata Amirul terdiam apabila kedengaran bunyi ketukan seseorang.

"Masuk," Adam memberi izin, seketika kemudian Linda yang merupakan setiausaha Adam masuk dan menghidangkan secawan kopi o untuk Amirul.

"Terima Kasih Linda, awak boleh keluar," kata Adam, suaranya kelihatan tenang. Linda mengangguk kemudian meninggalkan mereka berdua.

Amirul memandang Adam tajam, perasaannya bercampur baur.

"Aku tak tahu, tapi ada orang syak yang dia perempuan simpanan Dato Megat Jefri dari Laksana Holding," kata Adam perlahan.

Amirul terdiam, cuba mengingati baris nama yang baru disebut Adam. Dia pasti dia selalu mendengar nama itu tetapi di mana ya?.

Adam hanya mendiamkan diri, sabar menanti Amirul mengingati sendiri sebaris nama itu yang hangat diperkatakan sehari dua ini. Tetapi macam biasalah, Amirul bukannya sejenis yang ambil peduli jika ia tidak berkaitan dengannya.

Bulat mata Amirul apabila dia sudah ingat akan sebaris nama itu.

"Dato Megat?, kau biar betul? Berani dia, Datin Herlina punya lah cantik," Amirul memandang Adam tidak percaya.

Otaknya masih memproses maklumat yang baru diterima.

Adam tersenyum sinis.

"Dan menakutkan...," sambung Adam perlahan. Amirul ketawa lalu mengangguk bersetuju.

Siapa tidak kenal dengan Datin Herlina, seorang isteri kepada usahawan ternama. Dia terkenal kerana susuk tubuhnya seperti model dan kerap kali menjadi wajah beberapa produk jenama terkemuka.

Dalam dunia perniagaan, dia antara wanita yang ditakuti ramai rakan-rakan perniagaan Dato Megat Jefri kerana kuasanya yang mampu mengubah keputusan disaat akhir. Dato Megat Jefri pula seperti tiada kuasa untuk melawan kehendak isterinya.

Secantik mana Datin Herlina, Dato Megat tetap seorang jerung yang ternama. Ramai yang pelik walau memiliki isteri yang secantik itu, Dato Megat tetap mencari di luar. Mungkin kerana suaminya berperangai seperti itulah, Datin Herlina terpaksa menjadi isteri yang menakutkan.

"Tapi macam mana kau tahu?," Amirul mengerut dahi, entah kenapa dia rasakan ada sesuatu tidak kena dengan Adam. Tak akan lah Adam masih terkejar-kejar dengan bekas isterinya itu. Adam ketawa kecil.

"Dato Megat Jefri...," sebut Adam satu persatu. Matanya tajam merenung mata Amirul.

Amirul terdiam, matanya masih memandang anak mata Adam tetapi kepalanya seperti menerawang jauh entah ke mana, masih cuba menyimpulkan klu-klu yang diberi.

Adam Aisya [COMPLETE]Where stories live. Discover now