RE 3.27 - Yani

1.2K 22 0
                                    

Selepas apa yang terjadi kepada Lydia, adakalanya aku tertanya-tanya, adakah aku menjadi salah satu punca mengapa dia jadi begitu?

Ataupun dia sememangnya sebegitu dan aku hanya menyempurnakan sahaja sebagaimana memberi ketukan terakhir pada paku menggunakan penukul.

Namun, aku tidak perlu lagi memikirkannya. Apa lagi menyebut nama Lydia di hadapan Yani. Kami berdua telah semakin rapat sebaik melihat Lydia bersama dengan skandalnya di dalam bilik stor dahulu.

Biarpun begitu, dia tetap juga cemburukan Lydia sekiranya dia terdengar Razman menceritakan perkembangan baharu tentang Lydia. Lebih teruk lagi sekiranya aku pula bertanya bagi mendapatkan kepastian daripada cerita yang telah disampaikan oleh Razman.

Pada suatu malam, aku menerima panggilan telefon daripada Yani yang meminta aku mengambilnya di hadapan rumah. Dia hanya memakai pakaian rumah, t-shirt lengan pendek dan juga berseluar tracksuit.

Di dalam kehidupan yang lalu, pernah secara kebetulan aku terjumpa kembali dengan Razman yang baru sahaja pulang dari Australia.

Sewaktu kami berdua berbual dan bertanya khabar, dia pernah bercerita pada suatu malam di mana Yani meminta Razman mengambilnya di rumah.

Menurut cerita Razman, dia tidak ada idea ke mana sepatutnya dia patut membawa Yani pada malam itu. Yani benar-benar berkeras yang dia tidak mahu pulang ke rumah.

Di dalam masa yang sama, jam sudah menunjukkan pukul empat pagi. Razman resah memikirkan apa alasan yang patut diberikan olehnya sekiranya Huda, iaitu isteri Razman bertanya mengapa dia masih belum pulang dari kerja.

Tetapi, mujur Yani seakan boleh membaca keresahan Razman dan meminta menghantarkannya kembali ke rumah.

Mendengar cerita daripada Razman, membuatkan aku terfikir, bagaimana sekiranya Yani meminta aku yang menjemputnya? Apa yang akan terjadi sekiranya aku mempunyai bilik sewa di mana aku boleh membawanya pulang.

“Dah, jalan,” ucap Yani sebaik memasuki kereta.

Dia nampak benar-benar bad mood. Ini sesuatu yang Razman tidak pernah beritahu kepadaku dahulu. Kalau tersilap cakap , silap-silap aku boleh terima maki percuma di sini.

“Nak pergi mana?” tanyaku.

“Bawa je pergi mana-mana,” jawabnya kasar.

Dia mungkin akan terkejut sekiranya aku terus membawanya ke bilik sewaku. Jadi, aku membuat keputusan untuk membawa Yani ke restoran mamak 24 jam untuk minum dan bertenang dahulu.

Setelah beberapa kali menyedut air milo ais melalui penyedut minuman, barulah dia bercerita denganku apa sebenarnya yang berlaku.

“Orang gaduh teruk dengan adik,” ceritanya.

“Pasal apa?” tanyaku ingin tahu.

“Adalah…” dia tidak mahu menceritakannya.

Namun apa yang aku tahu melalui apa yang dikatakannya, perasaannya kini seperti mahu menumbuk adiknya.

“Adik awak laki ke perempuan?” tanyaku lagi.

“Perempuanlah. Takkan saya satu bilik dengan adik lelaki?” balasnya.

Aku kembali terdiam. Berdasarkan pengalaman di tempat kerja dahulu, perempuan sekiranya dah bergaduh sesama sendiri, kau janganlah nak buat-buat pandai. Contohnya dahulu, Sofea dan Mira.

Hari-hari bermasam muka dan tidak mahu bertegur siapa. Lebih kelakar lagi, orang yang kebetulan lalu atau berada di antara mereka berdua pula tiba-tiba terpaksa menjadi posmen.

RE: Semula - The Final Chapter [Complete]Where stories live. Discover now