RE 3.13 - Sabotaj Bahagian 1

1.8K 25 0
                                    

Apa yang sebenarnya berlaku pada malam tadi, sebaik sahaja Aira sudah terlelap di dalam pangkuan, aku terus sahaja menyuluhkan anak matanya bagi memeriksa sama ada dia benar-benar sudah tidak sedar.

Setelah menyarungkan seluar pendek, sebuah helikopter tiba tepat pada masanya di kawasan lapang di halaman rumah. Seorang wanita turun dari helikopter tersebut dan berlari menghampiri pintu utama.

"Dia dah tidur?" tanya Jessica sambil menghulurkan pakaian serba hitam kepadaku.

"Ya, baru saja. Ubat yang Steven bagi tu betul-betul berkesan ke?" tanyaku sambil menyarungkan pakaian yang diberikan.

"Sangat berkesan. Kalau bagi masa dinner tadi, maknanya dia akan bangun tengah hari esok," beritahu Jessica.

"Nice," aku gerak dulu.

Jessica mengucup bibirku sebelum berkata, "good luck! I can have some fun with her, right?"

Aku menjawab, "well...asalkan dia tak bangun masa kita tengah buat kerja".

Sewaktu Steven menemui aku secara curi-curi di hospital dahulu, aku telah menerangkan rancanganku kepadanya. Apa yang dilakukan kami pada kali ini sememangnya memerlukan modal yang besar.

Namun, itu tidak menjadi masalah bagi kami berdua yang telah banyak mengambil keuntungan di dalam pasaran serta pertaruhan sukan. Tambahan pula, aku menjanjikan kepadanya sesuatu yang lumayan daripada peti simpanan Azura nanti.

Pada minggu lepas, ibu bapa Azura telah memenangi percutian berserta penerbangan ke Phuket di dalam cabutan bertuah setelah membeli barangan keperluan di salah sebuah pasar raya terlama di dalam pekan.

Tentulah cabutan bertuah tersebut telah dimanipulasi oleh Steven serta pengikutnya. Mana mungkin pasar raya perniagaan keluarga mampu memberikan hadiah yang sebegitu besar.

Sebaik sahaja ibu bapa Azura meninggalkan rumah dan di dalam perjalanan ke lapangan terbang, aku dan seorang lagi pengikut Steven terus sahaja masuk ke dalam pagar dan mengambil kunci di bawah pasu bunga tanpa dilihat jiran-jiran.

Secara kebetulan, jiran sebelah rumah Azura merupakan bapa saudara kepada salah seorang pengikut Steven. Dia telah diberikan modal untuk membawa keluarga bapa saudaranya keluar makan malam di dewan bankuet.

Hatiku berdebar-debar mencuri-curi masuk ke dalam pagar rumah ibu bapa Azura. Demi memecah masuk rumah ini, aku telah menelan ubat tahan sakit supaya tidak menjejaskan rancangan kami.

"Mana kau tahu ada simpan kunci dekat bawah pasu?" tanya Danny, pengikut paling lama Steven.

"In my past life, aku ni menantu diorang. Haha," kataku bersahaja.

"Haiya...chi sing," ucap Danny sendirian sambil menggelengkan kepalanya.

Sebaik sahaja masuk ke dalam rumah, kami berdua menghembuskan nafas lega kerana kami berdua tidak begitu terdedah seperti di luar rumah.

Danny dengan santai berbual denganku, "itu amoi Siam selalu tanya pasal kau bila tengok kita berborak hari tu. Bila mau jumpa dia lagi?"

Aku tergelak dan membalas, "badan aku sekarang mana sesuai pergi urut? Haha".

Kemudian, kami bersama-sama menuju ke tingkat atas. Sebaik tiba di hadapan pintu-pintu bilik, tanganku mula mencari-cari pintu pada siling sebelum membukanya dan menurunkan tangga menuju ke loteng rumah.

Mengenali Azura, dia tidak pernah mempercayai orang di sekelilingnya. Di dalam kehidupanku yang lalu, dia tidak pernah menyimpan barangan penting kepunyaannya di rumah kami. Begitu juga sekarang, dia tidak mungkin percayakan Zam sepenuhnya.

RE: Semula - The Final Chapter [Complete]Where stories live. Discover now