Perjalanan diteruskan

242 30 9
                                    

Bantal dicampakkan ke lantai. Thaqif dan Khaleeda dipanggil. Kini, sudah tiba masanya untuk mereka bertiga, pembetulan, berempat meluangkan masa bersama di tengah ruang tamu, sambil berbaring santai.

Bunyi tapak kaki berlari di atas permukaan jubin licin kedengaran. Khaleeda dan Thaqif muncul dari sebalik dinding tangga dengan seringai besar. Terus mereka berlari anak mendapatkan abah yang sedang berbaring di tengah halaman rumah. Khaleeda mengambil tempat di tengah-tengah, berada di antara Thaqif dan suaminya.

Thaqif dan Wasim serentak mengiring menghadap umi di tengah. Masing-masing dengan senyuman lebar. Sudah tak sabar mendengar cerita dongeng Pengembaraan Raja Wasim dan Duyung Ida.

"Cepatlah, umi! Saya tak sabar nak dengar umi bercerita," ujar Thaqif dengan teruja. "Saya nak tahu apa yang jadi dekat Duyung Ida."

Khaleeda tersenyum.Ternampak sahaja kesayangannya mengulum senyum, terus semangat untuk menjadi penglipur lara hadir dalam dirinya. "Baiklah. Kalau macam tu, umi sambung cerita Pengembaraan Raja Wasim dan Duyung Ida."

* * *

"Um... Tuanku..."

Wasim tidak menjawab. Bahkan, dia terus berjalan, tanpa menghiraukan wanita yang sedang dibawanya. Namun, satu perkara yang dia sedar adalah, beban yang berada di belakangnya semakin bertambah. Kenapa makin berat ni?

"Tuanku."

"Apa dia, Khaleeda?" tona suaranya semakin rendah. Penat kian terasa. Kalau ikut pengiraan, sepatutnya Kampung Batang Buruk di mana Nenek Kebayan Bongkok 12 itu menetap. Tetapi, satu gerbang yang menandakan ia daerah itu langsung tidak kelihatan. Mana pula kampung ni?

"Um... Kaki patik telah kembali. Mungkin Tuanku boleh turunkan patik dan biarkan patik untuk berjalan sendiri?"

Wasim tersentak. Dia memaling ke belakang. "Dinda pasti dinda mahu berjalan sendiri?"

"Patik bukan lumpuh,Tuanku." Tawa comel terlepas. Terhibur pula hati dengan gelagat suaminya yang begitu mengambil berat tentang kebajikannya.

Langkahnya dihentikan. Dengan berhati-hati, dia bertinggung, memudahkan Khaleeda untuk berdiri sendiri. "Hati-hati, dinda."

Khaleeda cuba berdiri dengan berhati-hati. Tangan Wasim yang dihulur kepadanya disambut. Dia menguntum senyum. "Terima kasih, tuanku."

"Kasih diterima, dinda," balas Wasim selamba. Dia berdiri. Perjalanan diteruskan. "Pastikan dinda berjalan beriringan dengan kanda. Jangan berjalan di belakang kanda," perintah Wasim dengan tegas. Tangan Khaleeda dicapai dan digenggam. Walau apa pun, dia takkan biarkan Khaleeda bersendirian. Dalam perkelanaan ini, Khaleeda adalah kepentingannya.

"B-baik," gumam Khaleeda perlahan dengan muka tertunduk memandang tanah. Malu apabila men dengar Wasim melayannya dengan lembut dan baik.

Perjalanan diteruskan sambil berpimpinan tangan, menerusi denai yang cuma diterangi cahaya bulan di malam hari.

"Tuanku..."

"Kanda lebih gemar jika dinda memanggil kanda, kanda," tutur Wasim perlahan.

Khaleeda jeda. Sedikit terkejut dengan luahan suaminya. "P-patik cuba."

"Sekali lagi. Ulang semula ayat itu."

"D-dinda cuba."

"Bagus. Jadi apa yang dinda mahu bertanya kepada kanda?"

"B-bila kita akan tiba di Kampung Batang Buruk? Bulan pun sudah munculkan diri. Kita masih tak tiba-tiba lagi."

Wasim tidak bersuara. Langkahnya terus mati. Buat seketika, dia berdiri teguh, tanpa menggerakkan tubuhnya. Matanya dipejam.

Sayang Ida! [C] OneshotWhere stories live. Discover now