Penamat yang tak serupa penamat.

332 26 6
                                    

Perkelanaan pulang ke istana berakhir. Kaki melangkah masuk ke perkarangan istana tepat pada malam bulan mengambang. Tiada cungapan yang kedengaran. Mahupun penat yang kelihatan di wajah raja muda itu. Yang cuma berhias di muka tampan itu cumalah seringai lebar yang mungkin boleh disamaertikan dengan riak angan-angan.

"Ampun Tuanku!" sembah penjaga istana sambil menundukkan kepala.

Wasim hanya mengangguk, tanda dia sedar akan keberadaan penjaga istana di situ. Tangan isterinya yang masih berada di dalam genggaman, ditarik bersama menuju ke bilik beradu. Kini, setelah hampir dua minggu berkelana, dapatlah dia meluangkan masa bersama dengan isteri kesayangan. Sungguh, perkelanaan ini merapatkan lagi hubungan dia dan Khaleeda. Tiada sedetik pun masa yang diluangkan yang sia-sia.

"K-Kanda," lembut Khaleeda memanggil. Wajahnya pula sudah merah seperti biji saga. Malu apabila penjaga-penjaga istana memandang ke arah mereka dengan senyuman kecil.

"Dinda?" Wasim menoleh. Langkahnya turut terhenti. "Ada apa?"

"Um, ampunkan dinda... tapi ada baiknya jika kanda melepaskan tangan dinda dan biarkan dinda untuk berjalan sendiri."

"Atas sebab apa kanda tidak dibenarkan memegang tangan dinda?" Kening mula berkerut. "Adakah ia satu dosa?"

"B-bukan begitu, kanda! Dinda cuma beranggapan bahawa kita perlulah tunjukkan adab yang baik di hadapan orang-orang istana," omel Khaleeda.

"Mengarut," dengus Wasim. Tangan isterinya pula semakin ketat digenggam. "Kanda telah pun berkahwin dengan dinda dan semua orang di dalam istana ini tahu bahawa mereka telah mempunyai permaisuri. Tiada apa yang pelik jika kanda berjalan berpimpinan tangan dengan dinda. Mari. Malam sudah lewat. Masih ada perkara yang tertangguh dan perlu kita selesaikan."

Wajah Khaleeda merah menyala. Faham benar dengan apa yang cuba disampaikan oleh suaminya. Bilik dituju tanpa sepatah kata, membenarkan sahaja tangannya ditarik bersama Wasim ke bilik beradu mereka.

Perkarangan istana sudah pun kosong. Kini, yang tinggal di dalam istana itu cumalah pasangan raja dan permaisuri Negeri Keranji, dan hulubalang yang ditugaskan menjaga gerbang masuk istana. Malam semakin lewat. Cahaya bulan yang menembusi liang ukiran di bilik beradu menerangi kedua-dua pasnagan itu. Seorang dengan seringai yang lebar dan seorang lagi dengan wajah yang merah padam, duduk berhadapan di atas tilam beradu.

"Laila Khaleeda..." serak basah suara dalam itu memanggil nama isterinya.

"K-kanda...?" Wajah tampan suaminya yang sedang menyeringai penuh makna dipandang dengan teragak-agak.

"Sebut nama kanda."

Hik! Malulah~! Khaleeda menggeleng laju.

"Kenapa dinda tak mahu menyebut nama sebenar kanda?"

"Nama kanda terlalu suci untuk disebutkan oleh rakyat hina seperti dinda. Dinda tidak laya- umph!" Kata-kata Khaleeda mati apabila pipinya dipegang oleh Wasim dengan lembut.

"Mengarut," perkataan itu terpacul dengan nada rendah. "Tiada undang-undang yang mengatakan rakyat marhaen tidak diizinkan untuk menyebut nama sebenar kanda. Jadi sekarang... sebut nama kanda, Khaleeda. Sudah lama kanda tidak mendengar orang menyebut nama kanda..." ayat terakhirnya diungkap dengan perlahan. Dia begitu rindu hendak mendengar namanya disebut. Kali terakhir dia mendengar namanya disebut adalah malam sebelum dia ditabalkan menjadi seorang raja. Iaitu mak.

Wajah sugul suaminya ditatap lama. Tangan Wasim yang sedang memegang pipinya digenggam. Senyuman lembut disunggingkan ke wajah. Nafas ditarik dalam dan dilepaskan dengan perlahan. Jika itu permintaan suaminya, besar tapak tangan, nyiru ditadahkan untuk melunaskan permintaan itu. "Umar...Wasim..."

Sayang Ida! [C] OneshotWhere stories live. Discover now