Imbas kembali

385 48 41
                                    

Ketika itu dia berumur lima tahun. Umur di mana dia mula-mula mengenali erti ihsan terhadap manusia, terutama sekali manusia lain dari yang lain. Jiran merangkap kenalan sebayanya. Laila Khaleeda namanya. Seorang kanak-kanak perempuan yang gagap dan juga pendiam. Ada kalanya, suara Khaleeda akan kedengaran cuma ketika dia bersenda dengan uminya.

Wasim tidak pernah faham dengan kelakuan Khaleeda. Setiap kali dia cuba menegur Khaleeda, pasti mulut Khaleeda akan terbuka tertutup, seakan-akan ikan emas, cuba berkata sesuatu, namun tiada satu pun perkataan yang keluar dari mulut itu. Disebabkan kegagalannya untuk bercakap, Khaleeda memutuskan untuk terus menangis tanpa dapt menyampaikan apa yang terbuku di hati.

"Mak, kenapa Khaleeda cakap macam tu? Dia cakap Sa-sa-saya, macam tu? Lepas tu, bila dia bercakap, mesti lambat. Sim penat nak tunggu dia habis bercakap." Itu yang acap kali dia soal kepada mak.

Dan jawapan mak, mesti sama. "Dia gagap. Sebab itu dia cakap macam tu."

Wasim yang masih tidak faham apa yang cuba disampaikan maknya cuma mengangguk, berpura yang dia faham apa yang mak dia katakan. Namun, itu tidak menghalang dia dari terus berkawan dengan Khaleeda. Cuma kerana Khaleeda, bak kata maknya, gagap, bukanlah alasan untuk dia tidak berkenalan dengan jirannya.

Umur semakin meningkat. Kini dia berumur 10 tahun. Baru sekarang dia mengerti kenapa Khaleeda masih gagap dan tidak mempunyai kawan. Kata mak Khaleeda, Khaleeda bukanlah seperti kanak-kanak lain. Khaleeda istimewa. Dari segi apa, dia pun tahu. Dari segi pemikiran, mungkin?

Dia yang sedang bermain baling selipar dengan rakan jiran yang lain, berhenti bermain. Mata tepat pada satu kumpulan kanak-kanak, yang sepertinya sedang mengerumuni sesuatu. Atau lebih tepat, sesorang. Selipar yang berada di tangannya dipegang ketat. Kaki melangkah ke arah kumpulan itu dengan perlahan sebelum langkahnya menjadi laju. Tanpa berfikir panjang, sambil berlari, tangan yang memegang selipar diangkat tinggi, membaling sekuat hati selipar itu kepada remaja yang mungkin kepala untuk kumpulan kanak-kanak itu.

Duk!

Selipar getah Jepun itu mengena tepat pada kepala remaja itu. Senyum yang hampir terukir ditahan sebaik mungkin.

"Kau pahal?!" Jerkah ketua kumpulan itu.

"Sorry. Terkena," balas Wasim tanpa perasaan. Selipar yang jatuh bersebelahan dengan kanak-kanak perempuan yang dikelilingi kumpulan itu diambil. Kenapa dia menangis? Keadaan kanak-kanak perempuan yang sangat dia kenali itu diperiksa agak lama. Terus mata menjegil satu persatu kanak-kanak yang berada di situ. "Korang buli dia, eh? Aku bagi tahu mak dia."

"Mana ada kita orang buli dia. Kita orang dah cakap dia tak boleh main sini, dia tak nak dengar."

"Apasal pula dia tak boleh main sini? Dekat sini bukannya ada nama korang. Biarlah dia nak main dekat mana-mana yang dia suka."

Ketua kumpulan itu mula tersenyum sinis. "Kau suka dia, eh, Wasim? Sebab tu kau beria nak cover dia kan? Aku bagi tahu semua kau suka budak cacat ni."

Esakan Khaleeda makin kuat apabila mendengar perkataan cacat keluar dari mulut remaja itu.

Spontan tangan menghayun penumbuk ke muka remaja itu. Tidak peduli jika lawannya adalah orang yang lebih tua daripadanya. Tanpa menunggu tindak balas remaja itu, muka remaja itu terus ditumbuk sekuat hati. Sempat dia memberi amaran kepada kanak-kanak yang lain supaya tidak masuk campur urusan antara dia dengan remaja itu.

Hampir seminit bergaduh, tangan Khaleeda dicapai dan disentak kuat. "Jom balik."

Tangisan Khaleeda masih tidak surut. Namun, dia mengikut sahaja ke mana Wasim membawanya pergi.

Sayang Ida! [C] OneshotWhere stories live. Discover now