saja je

288 42 15
                                    


Umi mengeluh kecil. Pelipis diurut lembut. Pening pula kepala apabila melihat anak daranya semakin rapat dengan anak jiran sebelah. Perkara itu bukanlah tidak bagus. Tapi bila ia melibatkan perkataan 'rapat', jadi pemahaman orang akan berlainan. Rapat dari segi hubungan atau rapat dari segi fizikal. Dalam kes anak daranya, dua-dua.

Masih lagi dia teringat waktu Khaleeda dan Wasim meluangkan masa bersama di taman permainan. Wasim dan Khaleeda yang sedang bertinggung bersebelahan di atas tanah, ralit berbual kosong, sambil Wasim melakar sesuatu di atas pasir dengan ranting yang dipegangnya.

"Rapat sangat tu Ida..." gumam umi perlahan. Bukan itu sahaja yang merisaukannya, bahkan apabila melihat gelagat si Khaleeda apabila berada berdekatan dengan Wasim pun cukup membuatkan dirinya berasa serba tak kena. Lagi teruk, apabila dia melihat Khaleeda merenung tepat pada Wasim ketika Wasim sedang sibuk melakar pada pasir. Renungan yang sangat difahami oleh mana-mana wanita. Renungan yang boleh ditafsirkan sebagai renungan yang mempunyai penuh maksud tersurat dan tersirat.

"Ida!" spontan mulut memanggil anak daranya.

"Saya, umi!" Khaleeda bingkas. "Saya balik dulu, Wasim. Jumpa esok!" Kaki berlari laju ke arah rumah. Langsung tidak menunggu riak balas Wasim yang masih ralit melukis sesuatu di atas pasir. Umi terus dirapati. "Kenapa, umi?"

"Dah nak maghrib. Balik."

Reaksi Khaleeda cuma menayang gigi.

* * *

Tangan meraup muka, mengaminkan doa yang baru sahaja selesai dibaca. Tubuh dipusing, menghadap anak daranya di sebelah. Huluran tangannya terus disambut dan dikucup oleh Khaleeda. Tangan lantas menggenggam tangan anaknya dengan kuat sebelum Khaleeda sempat menarik tangannya semula. "Ida.."

"Saya, umi?"

"Umi nak cakap sikit, boleh?"

Mata bulat Khaleeda memandang uminya dengan tekun. "Boleh."

"Ida suka Wasim ke?"

Pipi Khaleeda kemerahan. Dia mengangguk perlahan. "Suka..."

"Umi nak tanya, umur Ida sekarang berapa?"

"18 tahun..."

"Umur Wasim?"

"18 tahun juga."

"Ida rasa, Ida dengan Wasim dah baligh?"

Khaleeda mengangguk. "Dah..."

"Mana Ida tahu Ida dah baligh?"

"Saya dah datang bulan."

"Ha, pandai anak umi." Pipi Khaleeda dicubit dan ditarik. "Dalam Islam, kita ada ikhtilat. Tahu tak ikhtilat tu apa?"

Khaleeda geleng.

"Ikhtilat tu maksud dia, pergaulan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Setakat ni Ida faham?"

Khaleeda angguk.

"Jadi sekarang, Ida kan dah baligh? Ida kena jaga ikhtilat antara Ida dengan Wasim. Ida kena jaga batas pergaulan Ida dengan Wasim. Umi tahu Ida suka Wasim, tapi Ida kena ingat, kalau Ida sentiasa berdua dan berapat dengan Wasim, lagi-lagi bila tak ada orang lain bersama, akan ada yang ketiga. Ida tahu tak yang ketiga tu apa?"

"...jin...?"

Umi gigi bibir bawah, tahan senyum. Mahu tergelak mendengar jawapan anak daranya. "Syaitan. Bila syaitan ada dengan Wasim dan Ida, syaitan akan berbisik, suruh Ida dengan Wasim buat benda tak elok. Sebab tu Ida kena jaga batas pergaulan bila Ida dengan Wasim. Duduk tak boleh berapa-rapat. Lepsa tu, bila Ida bercakap dengan Wasim, elakkan dari pandang tepat dekat mata dia. Sebab dari mata, boleh jatuh ke hati. Ida faham cakap umi?"

Sayang Ida! [C] OneshotWhere stories live. Discover now