PAGAR besi yang berkilat dan tinggi itu direnung. Kepalanya kekal mendongak ke atas sebegitu beberapa saat sebelum kedengaran satu hembusan nafas yang lemah. Helaian rambut basah yang menutupi sedikit wajah dibiarkan sahaja.
Seketika Dhea kembali merenung ke bawah. Kasut tumit tingginya sudah kotor berlumuran lumpur dek hujan tadi. Hampir seharian dia mengambil masa berjalan kaki untuk ke tempat ini.
Dia sebenarnya tiada hala tuju buat masa sekarang. Ketika dia melarikan diri tadi, bukan main hebat bunyi siren polis berbunyi di sekelilingnya.
Dia pernah dikejar ketika bekerja dengan Red Eyes tetapi identitinya tidak pernah terdedah.
Bukan seperti ini. Nama, wajah dan segalanya sudah diketahui. Mustahil tiada kamera litar tertutup pada kawasan sebegitu. Semua bukti sudah ada.
Terasa seperti mahu ketawa. Rune yang pernah menekan pedal kereta bagaikan mahu mati untuk melepaskan diri dari polis dan Dhea Elaura yang merupakan seorang wanita korporat berjaya serta dihormati ramai. Tetapi sekarang, imejnya jelas sudah tercalar hebat.
Tiada siapa pernah sangka dua orang itu mampu berdiri di dalam satu tubuh sahaja.
Ini kalau Aunty Julia tahu, mahu pengsan orang tua itu dibuatnya.
Tidak logik akal pun ada.
Kelakar lah hidup kau ni Dhea.
Setapak demi setapak dia menghampiri pintu papan yang ada pada dinding tersebut. Pintu yang digunakannya suatu ketika dahulu di mana dirinya masih tinggal dengan Aunty Julia. Direka khas oleh Dhea untuk menyelinap keluar agar dia tidak perlu mematahkan lagi hidung pengawal hadapan pagar kerana menangkap dirinya menyelinap.
Tinggi pintu itu lebih rendah darinya lalu memaksa Dhea untuk merangkak masuk ke dalam kawasan banglo mewah milik Aunty Julia.
Kotoran tanah yang melekat pada tapak tangannya digosok kasar pada pakaian sebelum dia berjalan ke pintu besar utama. Pintu diketuk hanya dengan 3 ketukan. Terus pintu itu dibuka oleh seseorang.
Anak mata mereka bertembung. Dhea mengangkat sebelah keningnya selepas melihat gerangan yang membuka pintu tersebut.
Budak perempuan kecil. Tidak perlu tanya anak siapa. Dia sudah mampu meneka sebaik sahaja melihat Kayla di hadapan mata. Bergaun berwarna ungu cerah dilengkapkan dengan hiasan kilauan berwarna ungu terang di hujungnya.
"Aunty gorgeous!" Sapanya dengan kedua belah tangan diangkat ke udara tanda gembira. Dan suara comel itu langsung tidak mengundang walau segaris senyuman pada wajah Dhea. Sebaliknya Dhea lebih tertarik dengan suara yang datang menyapa selepas itu.
"Siapa tu Kay?" Soal satu suara wanita yang sangat Dhea kenali. Sekejap sahaja susuk tubuh Aunty Julia sudah tercegat di hadapan pintu.
Hanya memandang Dhea tanpa berkata apa-apa namun jelas di wajahnya yang dia terkejut akan kehadiran gadis itu. Matanya bergerak dari atas ke bawah, meneliti keadaan Dhea yang sangatlah tidak terurus itu.
Dhea yakin dengan apa yang sudah terjadi, dirinya tidak akan diterima di sini. Aunty Julia juga adalah orang ternama yang pastinya tidak mahu air mukanya terpalit sama.
"If you want to kick me out because of what happened then I don't give a damn about it. El datang nak ambil barang El." Sesudah Dhea menghabiskan bicaranya, terasa satu pelukan erat pada tubuh.
Dhea terkaku.
Ini bukannya reaksi yang dia bayangkan. Ini bukannya kejadian yang dia fikirkan.
"Ya tuhan Elaura! What happened to you? Aunty risau tahu tak? El dari mana? Kenapa tak drive masa hujan-hujan macam ni?" Segala rasa dan kerisauan Aunty Julia terluah tanpa sempat Dhea membalas apa-apa. Wajahnya masih kekal tidak beremosi.
YOU ARE READING
[OG] SPADE: THE SECRET OF ARIETIS
AksiMAS𝑸UERADE SERIES VOL I Dhea Elaura , seorang gadis yang mempunyai hati sebeku kutub utara telah menjadi buruan oleh kumpulannya selepas pengkhianatan yang gadis itu lakukan. Dan hidupnya mula menjadi semakin berliku selepas pertemuannya dengan seo...