Adel merasakan debaran yang maha hebat di dada ketika kopi latte yang dibawanya tertumpah di baju seorang pelanggan di kafe tempatnya bekerja. 'Alamak, habislah aku!'
"Maaf, maaf," desisnya sambil cuba membersihkan tumpahan tersebut dengan sehelai sapu tangan miliknya. Matanya menatap pelanggan itu dengan penuh kegelisahan, merasa bersalah atas kejadian yang tidak disengajakan.
Pengurus restoran, Encik Hadi, segera mendekatinya dengan langkah cepat. "Apa yang sedang terjadi di sini?" tanyanya dengan nada tegas, matanya menyiratkan sedikit kekecewaan dan barangkali sedang menahan amarah atas kecuaian pekerjanya yang satu ini.
"Saya sangat minta maaf, Encik Hadi," jawab Adel, suaranya gementar, wajahnya pucat.
"Saya benar-benar tidak bermaksud untuk..."
Namun, sebelum dia sempat menyelesaikan kalimatnya, pelanggan itu bangkit dari tempat duduknya. Wajahnya tanpa ekspresi, tidak mengeluarkan sepatah kata pun. Dia berjalan dengan langkah mantap menuju ke bilik air, meninggalkan Adel dan Encik Hadi dalam kebingungan.
Adel bertambah cuak.
"Tolong bersihkan tumpahan itu dan pastikan ini tidak terjadi lagi!" perintah Encik Hadi kepada Adel, sebelum berbalik untuk mengatur keadaan di dapur sekali gus mematikan lamunannya.
Kalau bukan kerana wajahnya yang cantik, mana mungkin dia mahu mengambil pekerja yang ceroboh ini. Bukan sekali dia melakukan kesalahan. Sebelum ini, Adel juga pernah tersembur air ketika ada pelanggan yang meminta nombor telefonnya. Pernah juga dia menjatuhkan hidangan sebelum sempat sampai ke meja pelanggan. Sungguh clumsy.
Adel mengangguk, merasa bersalah dan tegang. Dia segera menuju ke tandas untuk membersihkan tumpahan yang masih ada. Namun, ketika dia kembali ke tempatnya semula, pelanggan tersebut telah menghilang tanpa jejak. Adel merasa hairan, tetapi tidak sempat berfikir lebih jauh kerana masih ramai pelanggan yang sedang menunggu pesanan mereka dihantar.
***************
Dari kejauhan, Raif memandang baju Syed yang basah. Niatnya mahu bertemu dengan sahabat baiknya itu di kafe viral yang terkenal dengan pelbagai dessert yang menyelerakan. Antaranya ialah cheesecake, tiramisu, brownies, pavlova, creme brulee, chocolate lava cake, banoffee pie, apple pie, lemon tart, dan red velvet cake.
Antara semua dessert tersebut, dia paling menyukai banoffee pie iaitu pai yang dilapisi dengan krim keju dan karamel, ditaburi dengan potongan pisang dan whipped cream. Namun pada kali ini, dia berniat untuk mencuba pavlova dan creme brulee yang terkenal di kafe itu.
Mereka sudah berjanji mahu bersarapan bersama tapi melihat kepada keadaan tampaknya terpaksalah dibatalkan.
"Kau kenapa Syed? Kenapa basah sampai macam ni? Apa jadi?" tanya Raif sejurus Syed berdiri di hadapannya yang baru saja keluar daripada kafe.
"Weyh Raif. Aku minta maaf, bro. Kita terpaksa batalkan sarapan kita di kafe ni. Basah baju aku. Berbau latte. Hahaha.. Maaf ye...
Apa kata, kita pergi rumah aku. Kita sarapan di situ?" cadang Syed enggan mengecewakan sahabatnya yang datang dari jauh itu.
Mereka jarang memiliki masa lapang untuk melepak bersama. Masing-masing sibuk dengan komitmen dan pekerjaan sendiri. Meskipun begitu, persahabatan mereka tetap akrab seperti dahulu.
"Orait. Takde hal, bro. Tapi eh, jap. Alang-alang dah sampai depan kafe viral ni, aku nak lah juga tapau dessert yang aku nak tu."
Syed mengangguk tanda faham. Mesti Raif nak merasa kek pavlova yang terkenal di kafe ni. Meringue yang renyah di luar dan lembut di dalam, disajikan dengan whipped cream dan buah-buahan segar seperti stroberi, kiwi, dan blueberry. Dengar cerita, chef di kafe tu didatangkan khas daripada restoran mewah bertaraf 5 bintang.
"Okay, bro. Jumpa di rumah aku tau. Aku gerak dulu. Apa-apa roger." katanya seraya mengatur langkah ke arah motosikal Ducati Panigale V4 R miliknya.
Raif mengangguk lantas mengatur langkah menuju masuk ke kafe tanpa senyuman terukir di bibir. Kelihatan dingin dan angkuh.
Kebetulan si gadis clumsy berada di kaunter mengambil pesanan lelaki dingin itu. Seketika mata si lelaki tertumpu pada raut wajah si gadis yang ada di hadapannya namun segera mengalihkan pandangan.
Sejurus mendapatkan pesanannya, Raif segera mengatur langkah mahu beredar daripada kafe tersebut lalu menuju ke rumah Syed.
***************
Setelah menyelesaikan tugasnya, Adel kembali ke dapur dengan perasaan gelisah yang masih menghantuinya. Dia merasa dirinya tidak mampu, sering kali membuat kesalahan yang seharusnya tidak perlu terjadi. Mungkin benar kata Encik Hadi, mungkin dia hanya masih bekerja di sini kerana ihsan pemilik kafe, bukan kerana kemampuannya.
Namun, biarpun begitu, Adel tidak mempunyai pilihan lain. Inilah satu-satunya pekerjaan yang dimilikinya kini, satu-satunya sumber pendapatan yang memungkinkannya untuk menafkahi adik dan juga ayahnya. Hendak mengharapkan abangnya, memang taklah. Sejak berumah tangga, jangankan melawat. Bertanya khabar pun tidak pernah. Apalagi mengirimkan wang untuk keperluan mereka sekeluarga. Nama saja usahawan tapi tidak dapat membantu keluarga.
Adel menarik nafas panjang.
"Sudahlah. Bak kata ayah, dia sudah berumah tangga. Semestinya dia juga mempunyai tanggungjawab sendiri untuk menafkahi keluarganya..." dia bermonolog sendiri.
Adel terus berusaha bekerja dengan sepenuh konsentrasi, berazam untuk tidak membuat kesalahan lagi. Namun, fikirannya masih dipenuhi oleh kejadian sebentar tadi. Dia berusaha mengusir jauh fikiran negatif itu, tetapi semakin dia berusaha melupakan, semakin kuat pula perasaan ketidakpastian itu menghantuinya.
Hari ini berlalu begitu lambat bagi Adel, setiap detik terasa seperti sebuah seksaan yang tidak berkesudahan. Ketika akhirnya tiba waktu untuk pulang, barulah ada sedikit kelegaan. Namun, ketika dia sampai di rumah, perasaan lega itu lantas bertukar kembali kepada perasaan bersalah yang mendalam.
Adel menghabiskan malam itu dengan merenung di kamarnya, mencuba mencari jawapan atas pertanyaan-pertanyaan yang mengganggunya.
"Siapa orang itu, mengapa dia hanya berdiam dan tidak memarahi kesalahanku..."
Persoalan demi persoalan terus menghantuinya sehingga dia tertidur dengan gelisah, tanpa mendapat jawapan yang memuaskan. Dan perlahan-lahan, sepasang mata indah yang sepet itu terlelap dibuai sunyinya malam.
YOU ARE READING
Nurina Adelia
General FictionDalam redupnya senja di Bukit Saga, cinta bertaut dengan cabaran, dan perjuangan untuk menemukan kebahagiaan menghiasi langit-langit kehidupan. Adel, seorang wanita biasa dengan impian yang besar, terjerat dalam labirin perasaan antara dua hati yang...