BAB 11

2 0 0
                                    

Selepas kembali dari pendakian yang bermakna itu, semangat Adel menyala seperti bara yang berkobar-kobar. Dia mula merenungkan masa depannya dengan lebih jelas. Sebelum ini, Adel sering bimbang dengan langkah-langkah dalam kerjayanya, kadang-kadang terhimpit oleh keraguan dan ketidakpastian. Namun, pendakiannya ke Bukit Tabur tempoh hari memberinya ketenangan jiwa dan kekuatan untuk menghadapi cabaran hidup yang akan datang.

Adel sedar bahawa hidup adalah tentang membuat keputusan yang tepat pada masanya. Setiap langkah yang diambil akan memberi impak besar kepada masa depannya.

Pesan ayahnya, "Tak mengapa, belum rezeki. Kerja apa saja dulu. Nanti, pasti ada peluang," menghidupkan semangat Adel, mendorongnya untuk terus berusaha tanpa putus asa. Sejujurnya, dia hampir berputus asa kerana setiap kali dia memohon pekerjaan tetap, sering juga dia ditolak.

**********************

Berjaya Holdings menelefon Adel dengan berita gembira. "Cik Adel, kami ingin mengumumkan bahawa anda telah diterima bekerja di syarikat kami. Tahniah," kata suara perlahan di hujung talian. Adel tersenyum lebar, hatinya penuh dengan syukur dan kegembiraan seperti mendapat durian runtuh. Ketika dia hampir berputus asa, ternyata rezeki mendadak tiba. 

'Alhamdulillah. Rezeki memang tidak pernah salah alamat. Betul kat ayah, Allah tidak akan mengecewakan hambanya yang sabar.' bisiknya perlahan.

Hari ini merupakan hari pertama Adel memasuki pejabat baru. Setibanya di sana, dia diminta untuk melapor diri kepada Bahagian Sumber Manusia sebelum diperkenalkan kepada kakitangan lain. Selain itu, Adel juga dibawa mengelilingi syarikat tersebut sebelum memulakan kerjanya.

Sejurus selepas meninjau setiap bahagian jabatan, akhirnya Adel ditinggalkan di meja kerjanya. Hampir tercabut kakinya yang ketika itu memakai kasut bertumit. Kakinya juga sedikit melecet.

"Besar betul syarikat ni," bisiknya dalam hati sambil mengeluarkan botol air dari begnya dan perlahan-lahan meneguk air tersebut.

Agak kekok rasanya setelah sekian lama tidak memakai pakaian formal dan dia sudah cukup selesa memakai pakaian kasual dengan kasut sukan dan jaket hitamnya selama ini.  Namun, bagaimanapun, dia perlu belajar menyesuaikan diri dengan imej pejabat yang baru. Terlebih lagi, jawatannya mengharuskannya berhadapan dengan banyak pelanggan dan membawa imej syarikat. Justeru, berpenampilan kemas dan profesional adalah suatu keharusan.

Adel bekerja dengan penuh dedikasi dan tekun. Dia bertekad untuk membuktikan kebolehannya berada di tempat tersebut. Namun, ketika diberi projek besar, Adel menghadapi cabaran yang baru. Projek tersebut melibatkan kerjasama dengan bahagian lain yang memiliki pendekatan yang berbeza, serta tekanan untuk menyiapkannya dalam masa yang singkat.


****************************


"Ini projek yang mencabar, tetapi saya yakin kita boleh menangani ini dengan baik," kata Adel dengan yakin.

Namun, semasa bekerja dengan pasukan dari bahagian yang berlainan, Adel berhadapan dengan konflik disebabkan perbezaan pendapat dan masalah komunikasi yang melambatkan kemajuan mereka.

"Kami mempunyai pendekatan yang berbeza. Bagaimana kalau kita cuba cara lain yang lebih efisien?" cadang salah seorang daripada pengurusan organisasi, iaitu penyelia.

"Saya faham, tetapi saya rasa pendekatan kita juga perlu dipertimbangkan," jawab Adel sebagai Pegawai Perhubungan Awam.

Ketegangan dalam projek ini menuntut Adel untuk mengasah kemahiran diplomasi dan kepimpinan, sambil mengekalkan visi untuk memberikan hasil terbaik bagi syarikat.

Setiap hari, Adel mengingatkan dirinya bahawa setiap cabaran adalah peluang untuk belajar dan menjadi lebih kuat. Dia yakin bahawa dengan usaha dan doa, dia mampu mencapai impian. Pendakian Bukit Tabur kini menjadi simbol kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan kehidupan.

Minggu demi minggu berlalu, Adel semakin selesa dengan tugas-tugas barunya. Dia berkenalan dengan lebih ramai rakan sekerja, dan mereka kagum dengan etika kerjanya yang cemerlang. Setiap projek yang diberikan kepadanya diselesaikan dengan teliti dan profesional. Pihak pengurusan mula mengenali bakat dan komitmen Adel.

Hubungannya dengan Raif semakin mendalam. Mereka sering makan tengah hari bersama dan berkongsi cerita tentang impian dan aspirasi masing-masing.

"Impian saya adalah membuat perubahan positif dalam masyarakat dan diri sendiri, Raif. Macam mana dengan kau?" tanya Adel.

"Sama seperti kau, Adel. Saya juga ingin terus belajar dan berkembang. Maka dengan itu, saya mampu memimpin syarikat hasil titik peluh arwah ayah saya ini," balas Raif sambil matanya dilempar jauh. Entah apa dalam fikirannya ketika itu.

Raif bukan sahaja menjadi teman rapat yang sentiasa memberi inspirasi dan sokongan, tetapi juga tempat Adel meluahkan perasaan dan berkongsi kegembiraan.

Suatu hari, Adel mendapat berita gembira bahawa projek besar yang diusahakannya telah menarik perhatian pihak pengurusan tertinggi. Dia dipanggil untuk menghadiri mesyuarat dengan CEO Berjaya Holdings. Dalam mesyuarat itu, Adel diberi peluang untuk membentangkan hasil kerjanya. Ketika berdiri di hadapan para eksekutif, Adel teringat semula pendakian di Bukit Tabur dan bagaimana pengalaman itu memberinya kekuatan untuk berada di situasi ini.

Dengan semangat baru, Adel melangkah ke hadapan, bersedia menghadapi apa jua cabaran yang mendatang. Hujan lebat yang turun bukan lagi halangan, tetapi satu peluang untuk menikmati setiap titisan yang jatuh, kerana di sebalik hujan, ada pelangi yang menanti. Adel yakin bahawa setiap langkah yang diambilnya membawa dia lebih dekat kepada impian, seperti aur dengan tebing, saling memerlukan dan melengkapi.

Nurina AdeliaWhere stories live. Discover now