Bulan demi bulan berlalu, dan hubungan persahabatan di antara Syed dan Adel semakin erat. Namun, Adel menyedari bahawa menjadi rakan kepada seorang selebriti terkenal bukanlah satu hal yang mudah. Dia harus berhati-hati agar tidak menimbulkan kontroversi atau isu yang mungkin merosakkan reputasi Syed Kamil.
Suatu malam yang bercahaya ditemani bintang-bintang terang, Syed Kamil menjemput Adel untuk menghadiri konsertnya. Walaupun pada awalnya agak ragu, akhirnya Adel bersetuju, enggan mengecewakan rakannya itu.
Ketibaan mereka di konsert disambut dengan antusiasme ribuan peminat yang tidak sabar menanti untuk mendengar suara merdu Syed Kamil. Setiap lagu yang dilantunkan olehnya disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh. Namun, yang paling dinanti-nantikan oleh Adel adalah pengumuman Syed Kamil tentang lagu istimewa yang telah dia cipta khas untuk seseorang yang amat penting dalam hidupnya.
"Dengan penuh keikhlasan, lagu ini saya persembahkan untuk seseorang yang memberi warna baru dalam kehidupan saya. Istimewa untuk seseorang yang muncul secara tiba-tiba dan membuat hidup saya kelam kabut, Adel." ujar Syed Kamil dengan senyuman yang menyiratkan makna yang mendalam.
Adel terkejut dan terharu. Dia tidak pernah membayangkan bahawa Syed Kamil akan mencipta lagu khas tentang dirinya, dan kini menyanyikannya di depan ribuan peminatnya. Lagu itu, dengan lirik yang puitis dan melodi yang menggugah perasaan, seolah-olah menceritakan makna yang tersembunyi. Setiap bait lirik seolah-olah melukiskan perasaan yang mendalam terhadap seseorang.
Ketika lagu itu dinyanyikan, Adel merasa debaran hebat di dalam dadanya. Dia tersenyum dengan air mata mengalir di pipinya. Walaupun di balik senyuman itu tersembunyi perasaan takut dan bimbang.
Tidakkah nanti hubungan mereka menjadi perbualan dan mungkin mencetuskan kontroversi?
' Ini tidak boleh jadi. Mereka tidak boleh salah faham,' Adel bermonolog sendiri.
Usai konsert selesai, Adel bergegas beredar mahu pulang tanpa bertemu dengan Syed. Dia tidak mahu menjadi pusat perhatian media atau peminat yang mungkin mengejarnya dengan soalan-soalan mengenai hubungan mereka.
Walaupun kecewa sedikit, namun Syed memahami keadaan Adel. Dia tahu gadis itu berusaha melindungi dirinya dari perhatian yang tidak diingini.
YOU ARE READING
Nurina Adelia
General FictionDalam redupnya senja di Bukit Saga, cinta bertaut dengan cabaran, dan perjuangan untuk menemukan kebahagiaan menghiasi langit-langit kehidupan. Adel, seorang wanita biasa dengan impian yang besar, terjerat dalam labirin perasaan antara dua hati yang...