BAB 12

1 0 0
                                    

Syed Kamil menggigit kukunya, wajahnya muram, matanya bengkak, dan biliknya berantakan dengan barang-barang berselerak di merata tempat. Dia tidak senang duduk, hatinya tidak keruan. Sudah lama dia tidak melihat kelibat Adel sejak insiden yang menyakitkan itu. Dia tidak menyangka bahawa luahan perasaannya menjadi satu kesalahan besar. Panggilan telefonnya tidak berjawab, dan mesej yang dihantar juga tidak berbalas. Ketika Syed mengunjungi tempat kerja Adel, kata managernya, dia sudah tidak bekerja di situ.

Mata Syed berkaca-kaca, menahan air mata yang hampir tumpah. Setiap kali dia mengingat saat penolakan itu, matanya kembali merah dan perasaan pedih menusuk hatinya. Pelbagai fikiran negatif menerpa di kolam pemikirannya yang tidak jernih.

"Marahkah dia kepadaku? Bencikah dia kepadaku?" Syed menggenggam rambutnya yang tidak terurus itu.

Sudah lama dia terperuk dalam bilik, mengurung diri dari dunia luar. Tempat yang dulunya penuh dengan keceriaan kini sunyi dan suram. Selera makannya juga hilang, makanan yang biasanya dinikmati kini terasa hambar.

Pekerjaannya juga sering dia abaikan, termasuklah panggilan daripada producer yang kerap menghubunginya. Syed seakan-akan tidak memiliki minat akan hal lain selain Adel. Bagi Syed, dunianya hanyalah Adel seorang. Entah kenapa, dia begitu obses dengan gadis itu. Padahal sebelum ini, dia juga pernah disakiti oleh wanita lain. Entah apa yang istimewa dengan gadis ini sehingga Syed begitu takut kehilangannya dan sangat ingin memilikinya. Begitu sakit untuk menerima hakikat bahawa dia sudah ditolak sedemikian rupa.

"Kenapa kau tolak aku, Del? Apa yang kurang? Aku sayang kau. Kenapa susah sangat kau nak faham? Hampir gila aku menahan rasa sakit ini, kau tahu..." Syed bercakap sendiri seolah-olah ada Adel di hadapannya.

Syed berteriak dan merintih, hatinya bagai disiat-siat oleh rindu yang menggunung. Bayangan wajah Adel tidak pernah surut dari mindanya. Setiap detik berlalu bagaikan siksaan yang tiada penghujung. Matanya yang lesu merenung kosong ke arah telefon bimbitnya yang diam tidak bernyawa. Setiap notifikasi yang masuk diharapnya adalah daripada Adel, namun harapan itu seringkali berkecai.

Langit malam yang suram seolah-olah menyelami hatinya yang gelap. Bulan yang pucat seolah-olah bersimpati dengan kepedihan yang dirasainya. Angin malam yang bertiup lembut seperti bisikan hati yang hampa. Hati Syed terasa kosong, sepi tanpa Adel di sisinya. Dia bagaikan seorang pelaut yang terdampar di tengah lautan, kehilangan arah dan tujuan.

Syed tidak dapat melupakan senyuman manis Adel, tawa riangnya, dan mata yang memancarkan keikhlasan. Setiap kenangan bersama Adel terbayang jelas di mata, membuatkan hatinya semakin pedih. Dia teringat saat-saat indah mereka berkongsi cerita dan tawa, saat-saat di mana mereka saling memahami tanpa perlu berkata-kata.

Seketika dia melihat Adel berdiri di hadapannya, tersenyum manis kepadanya. Ketika Syed yang tersenyum lebar dengan matanya yang merah cuba menangkap bayangan itu, ternyata ia hanyalah halusinasi semata-mata. Syed tertawa terbahak-bahak lalu menangis tersedu-sedu bagai orang yang hilang akalnya.

Keheningan malam yang panjang semakin menyesakkan dada. Syed tahu, perasaannya terhadap Adel lebih dari sekadar persahabatan. Dia mencintai Adel, dan perasaan itu tidak dapat dibendung lagi. 

"Adel, di manakah kau?" gumam Syed perlahan, berharap angin malam dapat menyampaikan kerinduannya kepada gadis berjaket hitam itu. Rindunya pada Adel begitu mendalam, setiap detik tanpanya bagaikan paku yang menancap di hatinya. Syed tidak sanggup kehilangan Adel, namun dia juga tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan gadis itu kembali.

Dalam kekeliruan dan kesedihan itu, Syed teringat akan nasihat seorang sahabat lama, "Cinta itu seperti air, walau bagaimana kau cuba menahan, ia akan tetap mengalir mencari jalannya sendiri. Jangan pernah takut untuk mencintai, kerana cinta adalah anugerah terindah dari Tuhan." 

Sedikit sebanyak, kata-kata itu memberinya sedikit kekuatan. Dia tahu, dia harus berani mengambil langkah pertama, berani memperjuangkan cintanya dan berani mengambil risiko. 

"Penolakan itu tentu saja adalah sebuah kesalahan. Barangkali Adel sendiri belum menyedari perasaannya," Syed bermonolog seolah-olah enggan menerima 'tidak' sebagai jawapan untuk ungkapan perasaannya itu.

Dengan tekad yang baru, Syed bersumpah kepada dirinya sendiri, "Aku tidak akan membiarkan ketakutan menghalangku. Aku akan mencari Adel dan mengungkapkan perasaanku sekali lagi. Siapa tahu, kali ini dia akan terima selepas tahu betapa dalamnya cinta ini terhadapnya." 

Sungguh dia berharap agar Adel dapat akan memahami perasaannya dan menerima cintanya yang tulus itu.

Setelah beberapa malam terjaga tanpa tidur yang tenang, akhirnya Syed tertidur dengan harapan baru yang  dia ciptakan sendiri. Dia yakin bahawa pasti akan ada kesempatan untuk memperbaiki segalanya, baik hubungannya dengan Adel mahupun untuk memiliki gadis itu.

'Saingan pun tidak ada, sebab Adel bukan milik siapa pun. Jadi, kenapa kau harus putus asa?' kata suara yang berbisik di kepalanya.

Syed bersedia menghadapi segala hal demi mengejar cintanya yang tulus kepada gadis itu. Semoga perjuangannya itu tidak akan sia-sia.

Jika ditanya mengapa dia begitu terobsesi dengan Adel, itu kerana gadis itu membawa keceriaan ke mana saja dia pergi walaupun sikapnya sedikit clumsy. Senyum manisnya menular dan dia selalu memandang setiap situasi dari aspek yang positif. Penampilannya sederhana dan sopan, tidak berlebihan baik dari segi riasan mahupun cara berpakaian. Syed ingat lagi akan penampilan Adel ketika menghadiri konsertnya tempoh hari. Hampir terkeluar biji mata Syed. Mana ada penonton konsert yang datang memakai seluar tracksuit, baju t-shirt dengan kasut sukan dan berjaket dalam suasana bersesak seperti itu? Hanya Adel yang berani tampil sedemikian rupa.

Paling menarik bagi Syed adalah sikapnya yang lasak dan tidak suka berpura-pura. Meskipun memiliki paras rupa yang cantik,  dia tidak sombong atau merasa lebih dari orang lain. Selain itu, sikapnya ramah dan mudah didekati oleh siapa pun. Adel juga seorang gadis yang rajin, bertanggungjawab dan sangat bercita-cita tinggi walaupun tingginya tidaklah setinggi wanita lain. Tapi, setidaknya gadis itu tidak memakai kasut tumit tinggi untuk terlihat lebih tinggi.

Katakan, bagaimana hati Syed tidak terpaut pada gadis pendek yang satu ini?

Nurina AdeliaWhere stories live. Discover now