Setelah sekian lama memendam perasaan, Syed akhirnya memutuskan ingin meluahkan isi hatinya terhadap Adel. Walaupun cinta secara diam-diam itu lebih selesa, dia tidak ingin menyesal andai cinta ini terlepas ke tangan orang lain. Dia ingin melangkah ke tahap seterusnya. Walaupun pada awalnya dia ingin terus memendam kerana takut akan penolakan, namun hatinya kuat ingin memiliki seorang Adel.
Syed merasakan bahawa Adel adalah gadis yang selama ini dia tunggu. Dia adalah gadis yang telah berhasil membuat Syed jatuh cinta semula. Mengingatkan trauma dicurangi oleh bekas teman wanitanya, sungguh menyakitkan. Ketika itu, dia sudah menyangka cintanya habis di wanita materialistik itu, sekaligus membuatkan dia menganggap semua wanita sama - materialistik dan lebih memilih lelaki berjaya berbanding mahu sama-sama berproses.
Namun, pertemuannya dengan Adel serta-merta mengubah persepsi itu. Dia tersenyum sendiri setiap kali terkenangkan gadis berjaket hitam yang dicintainya itu. Lucu apabila dikenangkan bagaimana gadis itu ketika di konsertnya tempoh hari. 'Panas kut bersesak-sesak tu, boleh pula dia pakai baju tebal-tebal. Kulit gajah ke apa.'
**********************
"Assalamualaikum Adel. Awak free tak hari ini? Saya ingat nak ajak keluar. Tu pun kalau awak tak ada apa-apa plan hari ini," ucap Syed di corong telefon perlahan, menyapa cuping telinga gadis yang baru saja siap menulis manuskrip novel untuk dihantar ke syarikat penerbitan yang belum dia putuskan itu.
"Waalaikumsalam Syed. Oo, boleh je. Adel tak ada plan apa-apa hari ini. Ni pun, baru siap proofread manuskrip novel je. Akhirnya siap juga. Hehee.. Nak jumpa mana?" jawab Adel dengan nada ceria.
Wanita memang pelik. Tanya satu soalan, dijawabnya sepuluh. Tapi sebenarnya itu adalah petanda yang baik. Semakin banyak dia bercerita, maknanya dia selesa. Sekali mereka berdiam, habislah.
Syed mengatur satu pertemuan di sebuah taman yang tenang. Dia memilih tempat itu kerana suasananya yang damai dan jauh dari pandangan orang ramai. Dia mengenakan kemeja biru muda dengan potongan slim-fit dipadankan dengan seluar chinos berwarna kelabu gelap sekaligus menampilkan bentuk tubuhnya yang boleh dikatakan sederhana, tidak berisi dan tidak terlalu kurus. Rambutnya sengaja dipotong rapi, potongan pompadour dengan sisi yang lebih pendek dan atas yang lebih panjang, disisir rapi ke belakang dengan sedikit volume di atas untuk memberikan tampilan yang penuh dan disapukan sedikit pomade agar rambutnya terlihat kemas sepanjang hari.
Adel tiba dengan perasaan bercampur-baur. Haruman sitrus yang maskulin dan lembut, tidak terlalu menyengat menyapa hidungnya. Dia tidak pasti apa yang akan dibicarakan oleh Syed Kamil, tetapi dia tahu bahawa pertemuan ini penting.
"Adel, saya ada sesuatu yang nak saya katakan," Syed Kamil memulakan perbualan dengan nada serius. "Syed rasa, Syed sudah tidak boleh terus menyembunyikan perasaan ini lagi. Saya cintakan awak, Adel. Lebih daripada sekadar seorang kawan. Sejak pertama kali saya jumpa awak, hati ini terus terpaut dan selalu teringat kat awak," luahnya seraya menyerahkan sejambang bunga yang telah dibelinya di kedai bunga sewaktu dalam perjalanan menuju ke taman ini. Mujur dia membawa motor maka senang hendak menyinggah.
Adel terkejut. Dia terkesima. Sungguh dia tidak pernah menyangka bahawa Syed Kamil akan meluahkan perasaannya sebegitu. Rupa-rupanya selama ini orang yang dianggapnya kawan, diam-diam menyimpan perasaan terhadapnya.
Kaku. Adel terdiam membatu, cuba mencerna kata-kata Syed Kamil. Hatinya berdebar-debar, namun dia juga merasa kekok, serba salah dan tidak pasti bagaimana untuk memberikan jawapan.
"Syed, aku... aku tidak tahu apa yang harus aku katakan," jawab Adel dengan suara bergetar. "Aku rasa kita lebih baik sebagai kawan. Aku takut jika kita melangkah lebih jauh, banyak masalah yang akan timbul. Lagipun, aku tidak ada apa-apa perasaan kepada kau."
Syed Kamil terdiam. Hatinya terasa perit mendengar jawapan Adel. Daripada 'saya - awak' menjadi 'aku - kau'. Sejujur itukah Adel tidak menginginkan dirinya?
Sungguh dia tidak pernah menyangka bahawa gadis yang dicintainya itu akan menolak perasaannya yang tulus sebegitu rupa. Padahal, dia sudah yakin sepenuhnya bahawa gadis itu memiliki perasaan yang sama terhadapnya. Namun, sangkaannya meleset.
Suasana menjadi tegang seketika.
"Maafkan aku, Syed..." ucap Adel seraya perlahan-lahan melangkah pergi meninggalkan Syed yang masih kaku berdiri. Matanya sedikit pun tidak berkelip. Satu penolakan yang menyakitkan.
******************************
'Salah faham yang paling memalukan adalah menganggap dia juga menyukaiku padahal hakikatnya, tidak.' - Syed Kamil Syed Syed Fadhil
Sejak pengakuan itu, Adel mulai menjauhkan diri dari Syed Kamil. Dia merasa kekok dan tidak mahu hubungan mereka menjadi canggung. Syed Kamil pula berasa sedih dan serba salah. Dia takut kehilangan Adel, gadis yang telah berjaya menghidupkan kembali hatinya yang terluka.
Syed Kamil meluahkan perasaannya kepada sahabat baiknya, Raif. "Aku rasa aku telah melakukan kesilapan dengan meluahkan perasaanku kepada Adel. Kini dia menjauhkan diri dariku," kata Syed Kamil dengan nada penuh penyesalan.
"Sakit Raif. Tidak meluahkan itu sakit, tapi lagi sakit apabila cinta ditolak. Jika tidak cinta, mengapa dia bagi aku harapan?"
"Bukan hanya wanita saja yang boleh kecewa dan terluka ketika hatinya dipatahkan, tapi lelaki juga sama. Bukankah kita juga manusia?" lirih suara lelaki itu. Air mata jantannya perlahan menuruni pipi. Jika dulu dia dibuang kerana tidak memiliki harta, kini dia ditolak kerana gagal menerbitkan cinta.
"Aku ni tak layak dicintai ke Raif?" katanya lagi.
Raif hanya mendengar tanpa menghakimi. Dia memahami perasaan Syed Kamil. Kasihan dia melihat sahabat baiknya itu. Sungguh, walaupun dia tidak pernah mengenali wanita yang dicintai Syed, namun dia faham bahawa bukan salah wanita itu jika dia tidak menerima sahabatnya itu. Cinta tidak boleh dipaksa. Akan lebih menyakitkan jika Syed diterima kerana simpati dan bukan kerana dicintai.
"Kadang-kadang, cinta tidak semestinya memiliki, Syed. Selama aku berkawan dengan kau, aku belum pernah melihat ada gadis yang berjaya mencuri hati kau seperti gadis ini. Jika dia benar-benar penting bagi kau, lepaskan dia dan jika dia kembali kepada kau, maka dia adalah jodoh kau."
"Cinta itu tidak melemahkan tapi menguatkan. Dan cinta juga tidak semestinya antara kau dan gadis itu, tapi kau dan Tuhan. Kembali kepada Allah, Syed. Jika patah kerana manusia, bangkitlah kerana pencipta. Ingat, Allah tidak pernah meninggalkan hamba-Nya. Hanya saja kita yang semakin menjauh.
"Terkadang, kita berlebihan dalam mencintai makhluk ciptaan-Nya sampai lupa cinta kita yang sesungguhnya."
Kata-kata Raif memberikan tamparan hebat kepadanya sekaligus menyedarkan dia untuk tidak terus bersedih dalam kekecewaan itu. Namun jauh di sudut hati, dia tetap ingin memiliki gadis itu. Dia yakin, Adel adalah miliknya. Sekali ditolak tidak bermakna selamanya ditolak, bukan?
YOU ARE READING
Nurina Adelia
General FictionDalam redupnya senja di Bukit Saga, cinta bertaut dengan cabaran, dan perjuangan untuk menemukan kebahagiaan menghiasi langit-langit kehidupan. Adel, seorang wanita biasa dengan impian yang besar, terjerat dalam labirin perasaan antara dua hati yang...