BAB 13

4 0 0
                                    

Raif yang gemar membuli Adel kerap menjadi tumpuan di pejabat dengan kelakuannya yang sering kali menimbulkan kekecohan. Pernah sekali, dia dengan sengaja meletakkan tikus mainan di dalam beg galas Adel dan mengejutkan gadis itu sehingga menjerit ketakutan. Mana tidaknya, tikus mainan itu begitu mirip dengan tikus sebenar.

Setiap hari, lelaki itu datang ke pejabat mereka dan mengganggu Adel yang sedang sibuk menyediakan press release dan artikel di laman web syarikat tersebut. Tidak jarang juga, Raif nekad mematikan komputer Adel sehingga memaksa gadis itu mengulang semula tugasan tersebut kerana ia tidak tersimpan secara automatik.

"Biadap betul mamat ni. Kau nak apa sebenarnya? Kau nak aku dipecat ke?" Adel memaki dalam hati, frustasi dengan tingkah laku Raif. 

Padahal sebelum ini, dia sempat berfikir bahawa mereka mungkin akan menjadi sahabat atau kawan baik. Namun, anggapan itu jauh panggang dari api. Bagaimana mungkin mereka bersahabat jika begini caranya?

Adel merasa tidak senang dengan gangguan dan celaan yang dilontarkan Raif. Dia tidak memahami apa salahnya kepada Raif sehingga diganggu sedemikian rupa. 

Namun, Adel tidak mengetahui bahawa di sebalik sikap kasar Raif, sebenarnya tersembunyi sebuah rahsia dalam lubuk hatinya – rahsia kenapa dia suka mengusik gadis comel itu.

"Eh, mana ada comel. Biasa je," Raif berdebat dalam hati, enggan mengakui kenyataan sebenar. Egonya begitu tinggi. Mereka kadang-kadang menjadi bualan di pejabat. 

Ada yang mendakwa mereka pasangan kekasih. Ada pula yang hairan dengan sikap Raif yang tidak menentu seperti cuaca. Kadang baik, kadang garang, sungguh menakutkan.

Adel, yang selama ini banyak berdiam dan bersabar dengan tingkah laku Raif, akhirnya sampai ke kemuncak batas kesabarannya. Dia memberanikan diri untuk bertanya alasan lelaki itu membulinya. Apa salah Adel kepada Raif?

"Eh, Raif. Apa masalah awak ea? Kenapa awak selalu cari pasal dengan saya?" Apa sebenarnya dosa saya kat awak ni sampai-sampai tak senang duduk saya dibuatnya."

Raif tersentak dengan pertanyaan itu. Berusaha mengawal diri, dia menjawab dengan sinis, "Entahlah. Mungkin sebab awak clumsy sangat. Buat kerja pun tak pernah betul." 

Meskipun begitu, di dalam hatinya, Raif berasa amat bersalah kerana telah menyakiti perasaan Adel. Mahu saja dia mengetuk-getuk kepalanya pada ketika itu. 'Ah, Raif. Kau dah kenapa? Lain di hati, lain di mulut.'

Adel terdiam. Matanya tidak berkelip. Mungkin betul kata Raif. Mungkin dia tidak cukup baik untuk bekerja di syarikat itu. Dia tidak kompeten. Kerja pun lambat siap.

"Ma... maafkan saya. Saya akan usaha lebih lagi. Saya memang belum dapat biasakan diri dengan kerja pejabat. Tapi saya akan perbaiki kelemahan saya. Jadi, tolong jangan datang lagi. Jabatan kita berbeza jadi tidak ada alasan untuk seorang arkitek datang ke bahagian ini. Maka, izinkan saya buat kerja dengan tenang," matanya memerah, sedikit berkaca namun berjaya ditahannya.

Raif terkedu. Dia sedar bahawa sikap kasarnya tidak membawa kebaikan dan hanya menyakiti gadis itu. Niatnya mahu mendekati Adel akan sia-sia begitu saja jika gadis itu enggan bertemu dengannya lagi.

Dia perlu memohon maaf segera atau gadis itu akan membencinya.

"Maafkan saya Adel. Saya tidak berniat mengganggu atau membuat awak tidak selesa. Cuma saya tidak tahu bagaimana mahu mendekati awak. Pernahkah awak fikir kenapa saya selalu mengganggu awak?"

Adel terdiam sejenak, lalu menjawab, "Entahlah. Mungkin sebab awak tak suka saya." Raif tersenyum pahit mendengar jawapan itu. 

"Sejujurnya, saya... saya tak tahu bagaimana nak kata, tapi saya rasa saya sukakan awak. Bukan suka sebagai kawan, tapi lebih," akhirnya Raif mengungkapkan perasaannya dengan gugup.

Pengakuan itu membuat Adel terkedu. Dia tidak pernah membayangkan Raif yang sering membulinya sebenarnya diam-diam menyimpan  perasaan terhadapnya. 

"Kenapa saya? Banyak lagi perempuan lain yang jauh lebih baik daripada saya." jawab Adel tenang. Cuba mengawal debaran maha hebat didada.

"Tidak semua perlukan alasan, bukan."

Kenapa baru sekarang awak beritahu?" tanya Adel dengan lembut.

Raif terdiam sejenak sebelum menjawab, "Saya selama ini tidak tahu bagaimana nak ungkapkan perasaan saya. Saya juga tidak pernah terfikir bahawa saya boleh jatuh cinta." Raif menceritakan bagaimana dia, yang sebelum ini anti terhadap perempuan, akhirnya terpesona dengan kelebihan Adel.

"Sebelum ini, ada seseorang yang mengaku cinta padaku. Tapi aku terpaksa menolaknya. Bagiku, dia hanya sahabat. Tidak lebih dari itu. Entah aku yang terlalu memberi harapan atau dia yang sudah berlebihan menaruh perasaan dalam hubungan yang seharusnya hanya persahabatan," kata Adel.

Raif menjawab dengan penuh pemahaman, "Hanya sedikit persahabatan yang tidak melibatkan perasaan. Selama persahabatan melibatkan dua jantina berbeza, salah satu pasti jatuh cinta. Ironinya, lelaki memulakan hubungan dengan persahabatan, sedangkan wanita memutuskan hubungan dengan persahabatan."

Adel menghela nafas panjang, "Saya faham. Tapi, saya juga ada trauma sendiri," ungkapnya perlahan. Dia menceritakan pengalaman pahit yang membuatnya takut untuk membuka hati pada seseorang lagi. Raif mendengar dengan penuh perhatian, mencerna setiap kata yang diucapkan Adel.

"Raif, saya minta maaf jika saya menyusahkan awak. Saya perlu masa untuk berfikir," kata Adel dengan jujur. 

Raif mengangguk, menerima keputusan Adel dengan hati terbuka. 

"Tak mengapa, Adel. Saya akan tunggu. Saya faham perasaan awak," katanya dengan nada penuh pengertian.

Di dalam hati Raif, dia berjanji untuk berubah menjadi lebih baik. Dia tidak mahu melukai perasaan Adel lagi. Dia juga bersedia untuk menanti jawapan Adel dengan sabar, memberinya ruang dan waktu yang diperlukan. Raif tahu bahawa cinta sejati tidak boleh dipaksa, tetapi harus diberi kesempatan untuk tumbuh dengan kesabaran dan pengertian.

Adel pulang dengan perasaan yang bercampur aduk. Dia terharu dengan pengakuan Raif. Sejujurnya, dia juga menyimpan perasaan suka kepada lelaki itu. Meskipun Raif sering membulinya, Adel sebenarnya sudah tertawan. Namun begitu, dia masih terbelenggu dengan trauma yang pernah dia alami. Dia bimbang kepercayaannya akan dikhianati. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Malam itu, Adel duduk sendiri di beranda rumah usang itu sambil melemparkan pandangannya ke dada langit yang terbentang luas di hadapannya. 'Subhanallah. Sungguh indah ciptaan Allah,' pujinya dalam hati, mengagumi ciptaan Tuhan yang tiada cacat celanya.

Dia tahu perjalanan hidupnya masih panjang dan dia harus mengatasi ketakutannya dan memberi kesempatan pada hatinya untuk mencintai dan dicintai, walaupun masih ada sedikit rasa takut.

"Raif, saya harap awak sabar menunggu," bisik Adel dalam hatinya.

Raif di rumahnya juga merenung langit yang sama. Bintang yang terang menghiasi malam, begitu indah memukau. Dia berdoa agar Adel dapat menerima perasaannya suatu hari nanti. Dengan harapan yang tinggi, Raif bertekad untuk menjadi lelaki yang lebih baik, bukan setakat memenangi hatinya bahkan juga mampu melindungi dan mempertahankan gadis itu.

Dengan begitu, dua hati yang dulunya terpisah oleh ego dan trauma, mulai mencari jalan untuk menyatu. Di bawah langit yang sama, masing-masing menadah tangan berdoa  dan berharap agar cinta akan menyatukan mereka dalam kebahagiaan yang sebenar.

Nurina AdeliaWhere stories live. Discover now