.....semalam di rumah Syed....
"Sedap betul dessert dari kafe tu. Patutlah viral," puji Raif sambil menyuapkan sisa terakhir pavlova ke dalam mulutnya.
Raif tidak habis-habis memuji makanan sejak tadi. Hanya dengan Syed saja dia mampu menjadi dirinya sendiri. Orang lain mungkin menganggap dia sombong kerana wajahnya yang serius dan jarang tersenyum.
"Haa, by the way, macam mana baju kau boleh basah tadi? Kau buat apa sampai kopi tertumpah macam tu?" tanyanya lagi.
Syed pun menceritakan insiden tersebut dengan terperinci. Raif terdiam, agak terkejut kerana sahabatnya tidak berbuat apa-apa kepada pelayan kafe itu. Kalau dia, pasti sudah menegur pekerja yang cuai itu. Kopi tu panas kot.
"Aku tak boleh marah pun tau, Raif. Nak bercakap pun mulut ni rasa berat. Entahlah. Dia macam ada magik. Mulut auto terkunci. Hanya mata yang meliar tertumpu kepada gadis itu. Matanya, hidungnya, mulutnya, tutur katanya......."
Raif terpinga-pinga. Tidak pernah dia melihat sahabat baiknya berbicara tentang wanita sedetail itu. Setahu dia, Syed bertingkah begini hanya enam tahun lalu ketika dia sedang jatuh cinta kepada seorang wanita cantik berpendidikan bernama Aliya Sofea. Sayangnya, jodoh mereka tidak panjang apabila gadis itu ternyata lebih memilih lelaki lain yang lebih mapan. Pada ketika itu, Syed masih terumbang-ambing tanpa pekerjaan tetap.
"Gadis mana satu, Syed? Jangan cakap kau jatuh cinta pandang pertama dengan dia..." tebakan Raif ternyata mengena apabila bibir Syed terukir senyuman.
"Dia gadis berjaket hitam..." jawabnya sambil tersenyum.
*****************************
**Telefon Berdering**
Kedengaran bunyi telefon bimbit menjerit minta diangkat. Nama yang tertera pada skrin telefon, 'adikku yang paling comel,' cukup untuk membuat Adel tersenyum.
"Waalaikumsalam adikku yang paling comel di dunia. Adik sihat?" tanya Adel sejurus punat jawab ditekan.
"Alhamdulillah, adik sihat. Angah sihat?" tanyanya kembali.
Adel mengiyakan soalan adik kesayangannya itu. Dia tahu, adiknya pasti perlukan duit belanja memandangkan peperiksaan sudah hampir. Tambahan lagi, Saffiya ada bertanyakan gajinya kerana yuran kolej harus dilunaskan segera.
"Angah belum dapat gaji, nanti dapat gaji, angah transfer adik tau," tuturnya lembut.
Saffiya terdiam. Dia faham cuma yuran tidak menunggu. Silap haribulan, dia boleh dikeluarkan daripada kolej.
"Baik, Angah. Tidak mengapa. Adik faham..." katanya dengan nada ceria, enggan membiarkan kakaknya terhidu bau-bau kebimbangannya.
Telefon dimatikan dan Adel kembali bekerja.
Sementara itu, Saffiya terdiam. Otaknya ligat mencari jalan keluar. Berpegang kepada prinsipnya, memikirkan solusi berbanding terlalu memikirkan masalah.
Akhirnya dia mendapat idea untuk meminta bantuan roomatennya, Hana Farzana Abdullah. Hana merupakan pelajar jurusan Sains Komputer yang pintar dan rajin. Hampir keseluruhan harinya dipenuhi kegiatan. Pagi bertugas di koperasi kolej, tengah hari bertugas di kafe kampus, dan petang bertugas di Cellarium kampus sebagai runner parcel. Kadang-kadang, dia juga bertugas sebagai pembantu butik atau kedai jual barang, itu pun kalau tidak bertembung dengan jadual kelasnya.
Malam pula masih ada masa untuk belajar, menyiapkan tugasan, dan bermain game online seperti Genshin Impact, Roblox, dan Mobile Legends.
'Kadang-kadang aku pun tak faham dia dapat tenaga tu dari mana. Siap boleh dapat dekan lagi setiap semester. Betul-betul genius,' kata Saffiya dalam hati.
"Hana, tolong aku tanyakan bos kau. Ada kerja kosong tak? Aku betul-betul perlu kerja," kata Saffiya kepada Hana yang ketika itu sedang bermain Roblox.
"Nah, kebetulan. Minggu depan ada nak pakai orang untuk jaga kedai bunga di konvokesyen di Dewan Canselor. Kau nak join tak? RM50 sehari tau. Berbaloi juga tu. Jarang dapat amaun tu," katanya. Saffiya lantas mengangguk tanda setuju.
Agak berbaloi dan bernasib baik sudah ditawarkan RM50 sehari untuk kerja menggubah dan melayan pelanggan serta menjaga bunga. Dapatlah upah RM300. Cukup untuk bayar yuran kolej RM220. Ada baki RM80 lagi. Boleh lah cover yuran persatuan sekali. Alhamdulillah, boleh ringankan beban Angah.
Otaknya berbincang sesama sendiri. Dia pun tersenyum gembira.
"Terima kasih, Hana..."
YOU ARE READING
Nurina Adelia
General FictionDalam redupnya senja di Bukit Saga, cinta bertaut dengan cabaran, dan perjuangan untuk menemukan kebahagiaan menghiasi langit-langit kehidupan. Adel, seorang wanita biasa dengan impian yang besar, terjerat dalam labirin perasaan antara dua hati yang...