Sesuai dengan niatnya minggu lepas, hari ini Adel ingin mendaki bukit untuk melegakan tekanan sekaligus mengeluarkan peluh dengan aktiviti lasak itu.
Seusai subuh, Adel segera mengenakan pakaian sukan – t-shirt berwarna kelabu yang sedondon dengan seluar tracksuit, tudung sarung hitam, dan jaket berwarna hitam – lalu bersiap untuk berangkat jogging di Bukit Saga yang terletak di Cheras. Dengan semangat yang membara seperti bara api yang tidak pernah padam, dia membawa botol airnya dan melangkah keluar.
***********************
Udara pagi yang segar bagaikan hembusan bayu di tepian pantai memberikan tenaga tambahan untuk mengharungi pendakian yang menantang ini. Langkah demi langkah, dia mendaki bukit, merasakan setiap detak jantungnya yang semakin laju seiring dengan ketinggian yang diraih.
Setibanya di puncak, Adel terhenti seketika. Matanya tertumpu pada seorang lelaki dengan raut wajah yang menakutkan, sedang menatapnya dengan tajam.
'Alamak, habislah aku! Dahlah tak ada orang lain selain kami di sini.' monolognya dalam hati, merasakan debaran yang semakin kuat bagai ombak yang menggila di lautan.
Antara rasa cuak dan penat, Adel menguatkan langkah kakinya menuju ke puncak. Dia mengabaikan kewujudan lelaki itu, cuba meyakinkan dirinya bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan.
'Sudah penat-penat naik, takkan kena turun terus kut? Hanya kerana mamat muka menyeramkan tu? No way. Kau nak tengok sunrise, tau, Adel,' Adel cuba menguatkan semangatnya.
Namun, lelaki itu tetap dengan pandangannya yang serius. Tidak berganjak walau seinci pun.
"Mamat tu serius semacam je, macam nak telan aku pun ada juga," bisik Adel lagi, merasakan resah yang semakin mencengkam bak akar pohon yang mencengkam bumi.
Ketika dia hampir mencapai puncak, tiba-tiba kakinya tersandung akar pokok yang terjulur di laluan. Adel terjatuh ke hadapan, dan botol air yang dibawanya tercampak jauh. "Aduh!" jeritnya, sambil cuba bangun. Namun, kakinya terasa perit. Dia cuba berdiri, namun keseimbanganya tidak begitu baik.
Raif, lelaki yang tadi dilihat menyeramkan, datang menghampiri dengan wajah yang masih dingin.
"Kau okay?" tanyanya dengan nada yang datar, tetapi ada sedikit simpati di matanya.
Adel mengangguk sambil tersenyum kecut. "Ya, saya okay. Terima kasih," katanya, sambil menggosok lututnya yang sedikit calar. "Maaf, saya memang clumsy sikit."
Raif menggeleng. "Tak apa. Sini, biar saya tolong," katanya sambil menghulurkan tangan. Adel menyambut tangan itu dan bangun perlahan-lahan. "Kau selalu macam ni ke?"
Adel tergelak kecil.
"Selalu juga. Macam ada magnet yang tarik saya jatuh," katanya, cuba bergurau untuk meredakan ketegangan.
Raif diam tapi kakinya tetap berjalan kembali ke tempatnya berdiri tadi.
"Kau jangan risau, aku tak tertarik pun dengan kau. Maaf kalau muka aku menyeramkan kau. Muka aku memang macam ni," kata Raif, suaranya tenang dan tampak jujur.
Adel terdiam sejenak, terkejut dengan kejujuran lelaki itu. Dia cuba menenangkan dirinya, menarik nafas dalam-dalam seperti menyedut aroma kopi yang menenangkan. "Oh, maaf, saya cuma terkejut tadi. Tak sangka ada orang lain di sini sepagi ini," balas Adel dengan senyuman kecut, masih berjaga-jaga.
Lelaki itu tersenyum sinis.
"Normal lah, manusia kan selalu menilai daripada luaran. Saya Raif dan saya memang selalu datang sini pagi-pagi. Suka tengok matahari terbit," katanya, sambil menunjukkan ke arah timur di mana langit mula menunjukkan warna-warna kemerahan yang indah seperti lukisan alam yang memukau.
Adel mengangguk, sedikit tersinggung. Namun, ada benarnya kata-kata lelaki itu. Kita suka menilai seseorang berdasarkan apa yang kita lihat, padahal orang boleh berlakon dan berpura-pura. Terasa sedikit kelegaan mendengar penjelasan lelaki itu walaupun kedengarannya agak kasar.
"Saya Adel. Saya pun suka tengok sunrise. Tapi, ini kali pertama saya ke Bukit Saga. Sebab tu tak expect pun ada orang yang suka tengok sunrise," ujarnya, sambil menoleh ke arah ufuk timur yang semakin terang.
Sunyi.
Mereka berdua berdiri di puncak bukit, menikmati keindahan matahari terbit yang perlahan-lahan muncul di balik awan. Warna-warna langit yang berubah dari kelabu ke oren, kuning dan akhirnya biru, memberikan satu perasaan ketenangan yang tidak terhingga seperti simfoni alam yang mengalunkan melodi indah. Keindahan alam semula jadi itu seakan-akan memadamkan rasa takut, resah dan lelah yang dirasai Adel sebentar tadi.
"Tempat ni memang cantik. Tak sangka ada tempat macam ni dekat bandar," kata Adel, cuba memecahkan kesunyian yang mula dirasakan.
"Ya, di sinilah saya dapat tenangkan fikiran. Setiap kali saya rasa terbeban dengan kehidupan kota, saya akan datang ke sini. Sunrise ni macam harapan baru setiap hari," balas Raif, suaranya penuh dengan rasa syukur. Namun, wajahnya masih tidak bereaksi.
Dahi Adel berkerut. Tidak sesuai rasanya dia berbicara seperti itu dengan riak wajah yang ketat. Dah serupa robot nampaknya. Namun, dia merasakan satu persamaan dengan lelaki yang pada awalnya dilihat menyeramkan itu.
"Mungkin saya patut datang sini lebih kerap. Bukit ni memang menenangkan," ujarnya, merasakan kehadiran Raif itu sedikit menenangkan, walaupun awalnya menyeramkan. Tapi, Adel dapat rasakan lelaki itu seorang lelaki yang baik.
Masing-masing terdiam. Hanya mata yang meliar memandang indahnya ciptaan Tuhan.
'Subhanallah....Cantik sungguh. Terima kasih Ya Allah kau sudah memberikan sepasang mata untuk melihat indahnya ciptaan-Mu ini..'
Matahari kini sudah sepenuhnya terbit, memancarkan cahaya emas yang memukau seperti permata di langit. Adel merasakan satu perasaan lega dan damai.
"Err, Rraif. Terima kasih tau. Saya rasa lebih tenang sekarang. Maafkan saya sebab salah sangka tadi," kata Adel dengan tulus sambil berdiri dari duduknya.
Namun, Raif sudah terlebih dahulu bergerak pulang meninggalkannya.
'Huh, lelaki pelik. Sombong!'
Adel merenung kembali perjalanannya ke Bukit Saga, menyedari bahawa di sebalik kesukaran, ketakutan, atau halangan dan cabaran, pasti akan ada keindahan yang menanti di hujung perjalanan. Tidak ada yang sia-sia buat mereka yang berusaha. Demikian harapan yang akan selalu menguatkannya.
YOU ARE READING
Nurina Adelia
General FictionDalam redupnya senja di Bukit Saga, cinta bertaut dengan cabaran, dan perjuangan untuk menemukan kebahagiaan menghiasi langit-langit kehidupan. Adel, seorang wanita biasa dengan impian yang besar, terjerat dalam labirin perasaan antara dua hati yang...