BAB 3

32 0 0
                                    

Hujan turun semakin lebat menggila seakan-akan tiada tanda-tanda mahu berhenti. Mahu tidak mahu, Adel terpaksa meredah hujan itu atau dia akan ketinggalan bas. Hendak menaiki LRT, stesen pula agak jauh dari lokasinya.

Percikan air membasahi seluar slack pasar malam yang dipakainya. Maklumlah, dia harus menyimpan wang dan tidak mahu membazirkannya untuk membeli pakaian berjenama. Apa yang dia pakai, itulah yang dia punya. Langsung tidak tergoda untuk mengikuti trend anak muda yang berpakaian mewah padahal simpanan tiada. Biarlah bergaya ala kadar mengikut kemampuan, bukannya kemahuan.

Dalam perjalanan meredah hujan yang lebat itu, dia melihat seekor anak kucing bertompok hitam sedang kehujanan di bahu jalan raya. Barangkali sedang mencari ibunya yang entah ke mana. Melihatkan saiz anak kucing itu, seharusnya matanya sudah terbuka, tetapi barangkali terkena penyakit mata sehingga hanya sedikit saja terbuka.

Adel berlari pantas mendekati anak kucing itu kerana khuatir kereta akan menabraknya. Apatah lagi hujan lebat, kereta yang lalu-lalang pasti tidak melihatnya. Dia sudah tidak mempedulikan seluarnya yang basah atau jaketnya yang kuyup. Yang penting, dia mampu menyelamatkan anak kucing itu.

Setelah berjaya menyelamatkan anak kucing itu, dia bergegas berlari mencari tempat untuk berteduh.

Tanpa Adel sedari, dia sedang diperhatikan oleh seorang pemandu dari arah yang bertentangan. Mata lelaki itu jelas terkesima dengan tindakan Adel. Siapa sangka gadis clumsy seperti itu ternyata penyayang dan sanggup mengorbankan diri demi menyelamatkan seekor binatang kecil.

'Menarik...' tanpa Syed sedari, senyuman terukir di bibirnya sambil matanya kembali fokus ke pemanduan.

Ikutkan hati, ingin saja dia berhenti untuk menawarkan tumpangan kepada gadis tersebut. Tapi melihatkan arah mereka yang bertentangan dan kenderaan yang banyak, pasti sukar untuk dia berhenti. Lagipun, gadis itu pantas sungguh berlari seakan pelari sukan negara lagaknya.


******************


'Mujur sempat kejar bas ni. Walaupun basah kuyup macam ni, pemandu bas tetap benarkan saya naik. Ya Allah, baik betul. Alhamdulillah.'  Adel bermonolog.

Anak kucing yang diselamatkannya, dia bawa pulang setelah mendapati tiada kucing lain di kawasan itu. Niatnya mahu mencari ibu kucing itu esok.

Seharian bekerja sudah cukup melelahkan dirinya. Apatah lagi dia melakukan dua pekerjaan dalam sehari. Jika siang dia bekerja di butik, malamnya dia bekerja di kafe. Terkadang, dia juga berniaga di pasar malam menjual kuih muih dan masakan panas. Walaupun pendapatannya tidaklah seberapa, tapi dia sudah cukup bersyukur kerana apa yang  diperolehi adalah hasil keringatnya, bukan meminta-minta dengan orang padahal memiliki fizikal dan kudrat sempurna yang diberi Allah S.W.T.

Tipulah jika dia tidak pernah mengeluh penat. Bukankah dia juga manusia yang inginkan rehat? Tapi, jika dia berehat, siapa yang akan menjaga adik dan ayahnya? Mungkin ayahnya masih mampu berjalan dan masih ada kudratnya. Namun, mana ada anak yang mahu melihat orang tuanya susah padahal mereka sudah dewasa dan selayaknya sudah mampu membalas jasa orang tua mereka?

Jika ada yang bertanyakan soal ibu pula, Adel hanya mampu tersenyum setiap kali mereka  mempersoalkan hal rumah tangga ayahnya dan menjawab, 'dia sudah bahagia dengan pilihannya.'

Manusia sudah diberikan pilihan masing-masing dan keputusan itu ada di tangan kita. Terkadang, sepanjang lebar apa pun kita menjelaskan kisah yang sebenar, orang tidak akan faham dan terkadang seberapa berusaha pun kita menjaga nama orang dan tidak memburukkannya, pada akhirnya nama kitalah yang akan busuk. Orang akan mengata, orang akan menghina.

"Cik, ni hentian yang cik nak turun kan?" kata-kata pemandu bas mematikan lamunannya. Tanpa dia sedari, bas sudah lama berhenti di perhentian bas yang berhampiran rumahnya.

Adel melihat kiri kanan depan belakang isi bas itu, dan hanya tinggal empat orang saja lagi penumpang. Dia menggaru kepala yang tidak gatal sambil tersengih seperti kerang busuk.

"Hehe... betul bang. Terima kasih tau," ucapnya seraya melangkah keluar dari bas.

Perlahan-lahan dia melangkah menuju ke rumahnya yang terletak di hujung simpang Kampung Permai itu. Rumah yang sudah separuh abad berdiri walaupun terlihat usang, tapi di situlah banyak kenangan manis tercipta. Dan juga kenangan pahit yang ingin dia lupakan. Kelihatan kereta taksi milik ayah yang banyak berjasa. Hasil pendapatan itulah yang membantunya melanjutkan pelajaran sehingga menamatkan pengajian ke peringkat Ijazah. Hanya saja, dia belum ada rezeki mendapat pekerjaan tetap seperti kawan-kawan sekelasnya yang lain.

"Tidak mengapa, belum rezeki. Kerja saja apa-apa dulu. Nanti, mesti angah dapat peluang angah," demikian pesan ayah setiap kali Adel meluahkan rasa terkilannya.

Bukan dia tidak mahu menerima hakikat, bukan dia tidak bersabar. Hanya saja, kadang dia berharap mampu melakukan dan memberikan yang terbaik buat keluarga kecil ini.

Setibanya di rumah, dia segera membersihkan anak kucing yang diberi nama Rainy kerana khuatir Rainy akan sakit. Setelah itu, barulah dia membersihkan dirinya.

Nurina AdeliaWhere stories live. Discover now