ADAM membelek helaian kertas di atas meja kerjanya. Matanya terpaku melihat hasil rekaan fesyen terbaru yang dihasilkan oleh Idayu. Isterinya itu benar-benar berbakat besar dan selayaknya menjadi seorang pereka fesyen. Berdasarkan perkembangan Idayu, Adam yakin isterinya itu akan menempa nama sebagai salah seorang pereka fesyen tersohor suatu hari nanti. Sedang asyik menatap lembaran kertas yang mengandungi rekaan fesyen itu, Adam dikejutkan dengan panggilan telefon. Lelaki itu segera menjawab panggilan di telefon bimbitnya itu.
"Assalamualaikum.. abang masih kat pejabat lagi ke?" Suara Idayu bergema dari corong telefon.
"Waalaikumussalam.. ah, masih kat pejabat.. tunggu jap.. abang pergi sana sekarang." Adam membalas.
"Laa.. sayang dari tadi lagi duk tunggu.. hari ni mak dah boleh discharge.. cepat la jemput kami."
"Oh, okey.. abang datang sekarang.." Adam segera mematikan panggilan telefon. Meja kerjanya yang berselerakan mula dikemas dengan tergopoh gapah. Lelaki itu kemudian bergegas keluar dari biliknya dan ingin menuju ke hospital. Di sana, Idayu bersama ibu mentuanya sudah pun menunggu. Adam perlu tiba di sana secepat mungkin. Beberapa hari yang lalu, ibu mentuanya, Zaiton telah selesai menjalani pembedahan pada kakinya. Segala perancangan telah berjalan dengan lancar dan Zaiton nantinya akan dapat berjalan semula. Kini ibu kepada Idayu itu hanya perlu berlatih berdiri dan berjalan perlahan-lahan untuk memulihkan kekuatan pada kakinya. Hal ini sangat mengembirakan Idayu. Impiannya selama bertahun-tahun untuk merawat kaki ibunya kini berhasil. Malah tiada yang lebih membahagiakan bagi Adam apabila melihat isterinya itu gembira.
PADA waktu yang sama, di hospital, Idayu sedang bersama ibunya. Barang-barang ibunya selama berada di wad hospital di kemas dan dimasukkan ke dalam beg oleh Idayu. Mereka sudah bersiap-siap untuk keluar dari wad dan menunggu Adam datang menjemput mereka di sana. Zaiton yang duduk di birai katil cuba untuk bangun berdiri perlahan-lahan. Dia ingin berusaha agar kakinya itu kembali gagah secepat mungkin.
"Mak, jangan la terlalu paksa kaki tu.. mak baru je lepas operate.. tunggu la dulu kalau nak berjalan pun.." Idayu menegur ibunya yang sudah tidak sabar untuk berjalan.
"Mak nak biasakan diri je.. biar kaki mak ni cepat pulih.. kalau tak cuba berjalan perlahan-lahan, macam mana nak pulih.. doktor pun cakap benda yang sama.." Zaiton segera menjawab.
"Ye, Ayu tahu.. tapi nanti la.. jangan terlalu gopoh. Nanti makin sakit pulak.. sekarang ni mak gerak-gerakkan je dulu kaki tu.. tak perlu la sampai nak paksa berjalan terus." Idayu meletakkan beg dan segera memapah Zaiton agar ibunya itu tidak rebah kerana memaksa diri untuk berdiri sendiri. Zaiton pula hanya tersenyum melihat anak perempuannya yang kerisauan. Wanita itu kemudian melabuhkan kembali punggungnya di tilam katil sambil dibantu oleh Idayu.
"Mak dah tak sabar nak dapat berjalan balik.. Maafkan mak sebab dah banyak menyusahkan Ayu selama ni.. kesian anak mak ni, kena kerja keras sebab nak kumpul duit rawat mak." Zaiton menatap Idayu disisinya dengan penuh rasa sayu. Dia tahu Idayu banyak berkorban masa dan tenaga untuk bekerja mencari wang bagi nafkah mereka berdua selama ini bahkan anak perempuannya itu perlu mengumpulkan wang puluhan ribu hanya untuk merawat kakinya yang lumpuh selama ini.
"Mak, jangan cakap macam tu.. Ayu kan anak mak.. siapa lagi yang nak jaga mak kalau bukan Ayu.. lagipun kos rawatan mak kali ni bukan Ayu yang tanggung.. semuanya Adam yang bagi."
"Hmm, bertuah Ayu dapat suami macam Adam.. Mak tak tahu kenapa Ayu terburu-buru kahwin dengan dia. Tapi mak tahu, Adam tu baik orangnya.. sepadan dengan anak mak yang cantik ni.
"Ish, mak ni.. Ayu pun tak sangka akan kahwin dengan dia. Padahal masa tu baru sebulan Ayu kerja dengan dia. Dia pulak jenis yang tak bercakap banyak.. nampak garang je.. tiba-tiba dia ajak Ayu kahwin.. Fikirkan hantaran yang akan dia bagi, Ayu ingat boleh la guna duit hantaran tu untuk rawat mak."
