KEDINGINAN pada malam itu mencengkam hingga ke tulang temulang. Sesekali, kelihatan pengunjung yang meluru keluar dari kelab seraya memuntahkan isi perut berhampiran longkang. Ada juga yang terhuyung-hayang dek mabuk setelah meneguk minuman keras. Beberapa orang wanita berpakaian mencolok mata yang menjadi kupu-kupu malam sesekali ligat bermain mata bersama pengunjung. Mahu menggoda demi wang.
"Kau biar betul kerja kat tempat neraka macam ni?"
Tori terkekeh-kekeh tatkala Jebat menyindir. Bahu sepupunya dipaut erat namun hanya seketika tatkala Jebat mendesis kesakitan.
"Aku dah kata dah baik kau rehat dulu sebelum kau hadap manusia tu. Badan kau tu perlukan rehat. Kau dah buat kerja gila tahu malam ni! Dua perlawanan sekali gus kau harung. Nasib baik tak mati!"
Jebat memijak puntung rokok tatkala langkahnya sudah menjejak ke dalam pusat hiburan itu. Tak betah mahu mendengar tazkirah percuma daripada sepupunya. Jiwanya ini lebih berkobar-kobar mahu berhadapan dengan pelaku yang disebut-sebut oleh Tori.
"Banyak untung ke kau kerja kat tempat haram macam ni?"
"Kau tak payah nak sindir aku. Kalau kau nak tahu, nilah juga lubuk rezeki ayah kau untuk kau orang anak beranak. Sebab tu kut kau ni lembab dalam pelajaran. Setakat SPM je tu pun mak kau yang paksa ambil SPM. Sebab duit yang ayah kau bagi tu duit haram. Jadi..."
Belum sempat Tori menoktahkan bicara, tubuhnya sudah terdorong ke hadapan tatkala Jebat bertindak kasar. Menendang kuat tubuhnya sehingga hampir saja dia tersembam di atas lantai. Terasa kelat liur di rangkungan tika dia lancang dalam berkata-kata.
Aduh!
Tori lupa dia berhadapan dengan si pemuda panas baran.
"Kita sama-sama haram. Kalau selama aku membesar makan duit haram habis tu kau? Kerja mak kau tu halal sangat ke sebagai pemuas nafsu lelaki? Eloklah tu kau pun kerja kat tempat celaka macam ni!"
Sindiran Jebat buat Tori terkelu. Dia mendengus. Kecil hatinya bila statusnya sebagai anak luar nikah diungkit oleh Jebat. Sesekali, matanya meliar memerhatikan suasana kelab. Kembali fokus dengan tujuan mereka malam ini.
Tatkala dia melihat kelibat seorang lelaki berkot hitam diiringi oleh tiga orang pengawal peribadi, laju saja Tori menahan langkah Jebat dengan tangannya.
"Musuh kau dah datang."
Mendengar saja empat patah perkataan itu, degupan jantung Jebat jadi kencang. Seluruh wajahnya membahang tika amarahnya mula meluap-luap. Serentak dengan itu, ruang memori Jebat seakan pita rakaman yang menayangkan semula kematian ayahnya. Berakhir pula dengan penderitaan Shana angkara seseorang yang membuatkan ayahnya berhutang!
"Kau nampak tak lelaki kot hitam kat meja hujung sana tu?"
Jebat mengangguk. Sorotan matanya tajam memerhatikan si lelaki separuh umur yang sedang berjabat tangan dengan si lelaki berambut panjang. Tatkala itu, Jebat rasa dejavu. Seakan-akan dia pernah melihat wajah si lelaki berambut panjang bertubuh tegap. Ada parut panjang di dagunya. Berkulit sawo matang dengan wajah bengis.
"Lelaki pakai kot tulah owner kelab ni. Aku dengar... lelaki tu kikis harta arwah isteri dia. Maklumlah, isteri dia pewaris tunggal syarikat sebab tu dia ambil kesempatan. Bila isteri dia mati, dia kahwin lain pula. Dia ada seorang anak perempuan. Tapi kesian, anak perempuan dia kena campak kat kampung tinggal dengan mak dia. Alasannya disebabkan anak dia tu tak suka si mak tiri. Tapi sekarang ni anak dia tinggal kat overseas. Aku..."
"Aku tak nak dengar pasal anak dia. Aku nak tahu apa betul dia tu ketua ayah aku? Ayah aku berhutang dengan dia juga ke sampai maruah kakak aku jadi galang gantinya?" pintas Jebat. Nada suaranya kedengaran begitu tegang menahan amarah.
YOU ARE READING
KAU YANG TAK TERGANTI (ON GOING)
Romansa𝙹𝙴𝙱𝙰𝚃 𝙺𝙷𝚄𝚆𝙰𝙸𝙻𝙸𝙳 𝙹𝙰𝚂𝙼𝙸𝙽𝙴 𝚀𝙰𝚂𝚁𝙸𝙽𝙰 𝑲𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒊𝒏𝒊 𝒉𝒂𝒏𝒚𝒂𝒍𝒂𝒉 𝒓𝒆𝒌𝒂𝒂𝒏 𝒅𝒂𝒏 𝒉𝒂𝒔𝒊𝒍 𝒊𝒎𝒂𝒈𝒊𝒏𝒂𝒔𝒊 𝒑𝒆𝒏𝒖𝒍𝒊𝒔 𝒔𝒆𝒎𝒂𝒕𝒂-𝒎𝒂𝒕𝒂. 𝑺𝒊𝒍𝒂 𝒉𝒐𝒓𝒎𝒂𝒕 𝒌𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒑𝒆𝒏𝒖𝒍𝒊𝒔 𝒚𝒂𝒏𝒈 𝒔𝒖𝒅𝒂...