"MAAF Puan Jasmine kalau rumah kitorang ni kecil aje. Ruang makan pun bersambung dengan ruang tamu. Terima kasih juga sudi terima jemputan mak cik makan tengah hari kat rumah. Besar hati mak cik bila Puan Jasmine sudi terima pelawaan mak cik."
"Panggil Jasmine aje, mak cik. Saya yang perlu berterima kasih dengan mak cik sudi jemput saya makan tengah hari. Ni, sayur pucuk ubi masak lemak memang kegemaran saya." Jasmine mengulum senyum seraya menjamah sayur pucuk ubi. Enak. Lemak-lemak manis.
"Jebat kata Jasmine suka sambal tempe dengan sayur pucuk ubi. Gigih dia pergi pasar nak beli pucuk ubi dengan tempe tadi."
Mendengar hal itu, senyuman Jasmine semakin lebar tatkala Jebat mengetahui makanan kegemarannya. Entah bagaimana pemuda itu tahu kegemaran Jasmine pun dia tiada jawapan. Wajah saja bengis tapi Jasmine tak dapat nafikan Jebat ada manisnya juga.
"Tambah lagi ya cinta. Buat macam rumah sendiri." Jebat menyendokkan lauk-pauk ke atas pinggan Elman yang berselera menjamah ayam goreng.
"Cinta? Rumah sendiri? Lain macam pula ayat tu mak dengar."
Tak semena-mena, wajah Jasmine membahang dengan soalan cepumas Puan Nijah. Dia berkerut tatkala pandangannya bertaut dengan Jebat yang sudah tersengih-sengih. Jasmine rasa, sejak kejadian Jebat dibantai oleh penculik-penculik itu, suis otak pemuda ini sudah rosak.
"Oh ya depan papa je kan. Lupa pula."
"Korang ada buat apa-apa ke dekat belakang?" Puan Nijah memandang raut wajah Jebat dan Jasmine silih berganti. Ada sangsi di lubuk hati wanita itu tatkala gerak hatinya menyatakan bahawa kedua-dua orang anak muda sedang menyembunyikan sesuatu.
"Kitorang tengah berlakon..."
Jebat kematian kata tatkala Jasmine menendang betisnya! Dahinya berkerut menahan sakit. Berbisa sungguh tendangan majikannya ini. Seolah-olah melepaskan amarah.
"Tak ada apa-apalah mak cik. Anak mak cik ni memang suka melawak sejak akhir-akhir ni. Saya pun kadang-kadang rasa tak kenal Jebat yang bengis dan suka mengarah saya."
Tawa Puan Nijah terletus mendengar keluhan Jasmine. Wajah Jebat yang duduk setentang dengannya dipandang tajam. Intuisinya mengatakan ada sesuatu yang Jebat simpan dalam hati.
"Dia tengah angaulah tu. Kalau Jasmine nak tahu, Jebat ni nampak je bengis, tegas. Tapi, bila dia dah sayang dengan seseorang tu dia mulalah tunjuk sisi yang tak semenggah tu. Hilang terus bengis Jebat yang Jasmine tengok."
Sungguh, bicara Puan Nijah membuatkan seluruh wajah Jebat membahang panas. Dia meneguk air suam tatkala tekaknya terasa kering. Ya Tuhan, ibunya ini sedang membocorkan rahsia hati seorang Jebat. Mana mungkin dibiarkan.
"Sebab Puan Jasmine selalu stress. Takkan Jebat nak bertegas dengan dia pula. Lagi pun, Jasmine tak suka kalau Jebat kongkong dia selalu. Padahal, Jebat jaga dan lindungi dia pun sebab nyawa dia ni lebih berharga daripada nyawa Jebat sendiri."
"Yeke Jebat? Boleh percaya ke yang kamu tak angaukan seseorang sekarang ni?"
"Yalah Puan Nijah. Ada nampak muka Encik Jebat ni menipu ke? Tak ada kan?"
Puan Nijah tertawa kecil tika Jebat sudah mengenyitkan matanya. Mengusik si ibu sehingga suasana makan tengah hari mereka semakin ceria dengan kedatangan Jasmine dan Elman.
Melihat kebahagiaan keluarga Jebat yang sederhana, timbul rasa iri di hati Jasmine. Meskipun mereka hidup tak mewah, namun hidup Jebat dan keluarganya penuh dengan warna. Ada kebahagiaan terpancar di raut wajah mereka. Sesekali, Jasmine memandang wajah Shana yang hanya kaku di sisi Puan Nijah. Masih ada senyuman di wajah itu meskipun pandangannya kosong.

YOU ARE READING
KAU YANG TAK TERGANTI (COMPLETED) ✅️
Romance𝙹𝙴𝙱𝙰𝚃 𝙺𝙷𝚄𝚆𝙰𝙸𝙻𝙸𝙳 𝙹𝙰𝚂𝙼𝙸𝙽𝙴 𝚀𝙰𝚂𝚁𝙸𝙽𝙰 𝑲𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒊𝒏𝒊 𝒉𝒂𝒏𝒚𝒂𝒍𝒂𝒉 𝒓𝒆𝒌𝒂𝒂𝒏 𝒅𝒂𝒏 𝒉𝒂𝒔𝒊𝒍 𝒊𝒎𝒂𝒈𝒊𝒏𝒂𝒔𝒊 𝒑𝒆𝒏𝒖𝒍𝒊𝒔 𝒔𝒆𝒎𝒂𝒕𝒂-𝒎𝒂𝒕𝒂. 𝑺𝒊𝒍𝒂 𝒉𝒐𝒓𝒎𝒂𝒕 𝒌𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒑𝒆𝒏𝒖𝒍𝒊𝒔 𝒚𝒂𝒏𝒈 𝒔𝒖𝒅𝒂...