EPISOD 55

824 126 21
                                    

"MAK cik minta korang datang sini sebab ada benda yang mak cik nak tanya sebenarnya. Mak cik harap sangat korang jujur."

Sebaik saja Tori, Keong dan Fawwaz melabuhkan duduk di ruang tamu, Puan Nijah menghidangkan minuman petang buat sahabat dan sepupunya Jebat. Dia terdesak ingin mengetahui gerangan majikan anaknya. Penting sangatkah si majikan sehingga Jebat tak peduli dengan kondisi dirinya yang masih dalam proses penyembuhan?

"Macam serius aje bunyinya mak cik." Tori menghirup teh panas perlahan-lahan. Menghangatkan tubuhnya yang kedinginan dengan hujan lebat.

"Pasal apa mak cik?"

"Benda serius sebab tu mak cik minta korang datang rumah mak cik. Ada benda yang mak cik nak tahu pasal Jebat."

Buat seketika, Tori, Keong dan Fawwaz saling bertaut pandangan. Kaget tatkala permintaan Puan Nijah melibatkan Jebat. Manakan tidak, inilah pertama kali mereka bertemu Puan Nijah tanpa kehadiran Jebat. Seolah-olah pertemuan rahasia.

"Korang tahu kan dah empat tahun Jebat kerja jadi bodyguard. Selama empat tahun ni, mak cik tak pernah ambil tahu siapa majikan dia. Tapi... lepas apa yang dah jadi dulu mak cik tertanya-tanya siapa majikan Jebat yang sebenarnya."

"Oh, majikan dia kan Puan Jasmine..."

"Lagi? Dengan siapa lagi Jebat bekerja selain Puan Jasmine?"

Sungguh, soalan cepumas Puan Nijah membuatkan ketiga-tiga orang lelaki kehilangan kata. Mereka cukup tahu niat Jebat bekerja dengan Datuk Zali. Bahkan, selama ini Jebat sudah berpesan bahawa niatnya harus dirahsiakan daripada emaknya.

"Mak cik tanya ni siapa majikan dia selain Puan Jasmine?"

"Kenapa mak cik tak tanya Jebat sendiri?" Nada suara Keong sedikit menggeletar tatkala wajah Puan Nijah semakin tegang.

Tersungging senyuman sinis di bibir Puan Nijah tatkala ketiga-tiga anak muda di depannya seolah-olah kaget dengan soalanya. Dia dapat rasa ada yang dirahsiakan.

"Mak cik takkan panggil korang kalau mak cik tahu siapa majikan dia. Tolonglah... bagi tahu mak cik siapa majikan Jebat. Hati mak cik ni sesak selagi tak ada jawapan."

Rayuan Puan Nijah benar-benar buat Fawwaz rasa bersalah. Dia menggaru pelipisnya yang tak gatal. Tak boleh melihat wajah seorang ibu yang sedang susah hati memikirkan keadaan si anak.

"Dia kerja dengan seorang tokoh usahawan..."

"Ada banyak tokoh usahawan kat Malaysia ni. Siapa orangnya? Bagi tahu mak cik namanya!"

Tatkala nada suara Puan Nijah naik seoktaf, keadaan makin tegang. Ada amarah terbias di sebalik wajah wanita itu. Berang tatkala Tori, Keong dan Fawwaz seolah-olah tarik tali dengannya. Sama seperti Jebat.

"Kitorang pun lupalah mak cik..."

"Mustahil korang lupa! Korang rapat dengan anak mak cik. Mesti korang tahu kenapa dia sanggup ketepikan dunia tinju dia semata-mata jadi bodyguard. Pasti korang pun tahu dengan siapa dia bekerja!"

Serentak dengan ketegangan Puan Nijah, tiba-tiba saja pandangannya tertancap ke arah Shana yang tiba-tiba melangkah keluar dari kamar. Buru-buru, Puan Nijah memimpin Shana yang hanya mengunjuk pintu tandas. Tak mahu Shana tiba-tiba diserang trauma melihat rumah mereka kedatangan lelaki.

"Gilalah! Kita nak buat apa ni? Takkan nak terus-terang? Mati kita kena belasah dengan Jebat kalau dia tahu kita bongkarkan rahsia!"

Fawwaz tertawa sinis tatkala Keong mula pucat dengan perangkap Puan Nijah. Pelipisnya yang tak gatal digaru seraya mengunyah kek batik yang dihidangkan di atas meja.

KAU YANG TAK TERGANTI (COMPLETED) ✅️ Where stories live. Discover now