EPISOD 36

1K 138 54
                                    

SUASANA belakang rumah agam malam itu begitu meriah tatkala para pengawal menikmati juadah yang dihidangkan oleh Jasmine. Mereka turut membuat BBQ sambil menanti tahun baharu menjelang tiba.

Sesekali, kedengaran gelak tawa beberapa orang pengawal yang sedang bermain permainan di hujung sudut bersama Elman.

"Maaflah kalau saya masak tak sedap. Sejak balik sini, saya dah jarang masak."

Jasmine meletakkan puding kastad di atas meja seraya melabuhkan duduknya setentang dengan Jebat yang sedang menikmati ayam masak lemak. Pemuda itu kelihatan berselera. Ada garis-garis keletihan terpancar di wajah Jebat sehingga menimbulkan tanda tanya di benak fikiran Jasmine.

Apalah ya agaknya yang Jebat lakukan sepanjang pemuda itu bercuti hingga wajahnya tampak letih?

"Mana ada tak sedap. Masakan kampung yang puan masak untuk kitorang ni boleh bikin saya lepas rindu dekat mak kat kampung. Tip top! Saya suka."

"Betul cakap Rasun. Masakan puan buat kitorang terubat rindukan kampung. Selalunya mak kitorang je yang masak masakan macam ni. Nak suruh saya masak sendiri? Tak retilah saya puan." Elisa menyambung sambil mengunyah sambal terung dan ayam bakar yang baru saja dipanggang oleh Jebat sebentar tadi.

"Makan perlahan-lahanlah. Kau ni pun."

"Ala! Kau tahu kan aku ni dah kebulur asyik ikut datin ke hulur ke hilir. Dia tu langsung tak bagi aku makan! Kejam punya majikan. Kenapalah aku kena kerja bawah dia? Dulu, Puan Jasmine tak pernah tak bagi aku makan! Kalau boleh, dia nak gemukkan aku pun ada."

Tawa para pengawal terletus tatkala mendengar rungutan Elisa. Satu-satunya bunga di antara mereka.  Tercuit hati dengan kelancangan gadis berambut pendek itu berkata-kata. Hanya simpati saja yang mampu mereka berikan kepada gadis malang itu.

"Terima kasih puan sudi raikan kitorang semua. Sepanjang kitorang kerja dengan datuk, tak pernah pun dia buat makan-makan macam ni. Kalau boleh kitorang kerja 24 jam non stop. Makan pun kena rushing."

Seketika, Jasmine bertaut pandangan dengan Jebat. Senyumannya melebar tatkala niatnya untuk menyambut tahun baharu bersama para pengawal membibitkan rasa senang di hati mereka.

"Seronoklah Jebat kerja dengan Puan Jasmine. Semua kebajikan kau dijaga walaupun puan ni degil orangnya."

Senyuman Jebat terukir tatkala bicara Elisa membuatkan hatinya tercuit lucu. Benar, Jasmine memang degil dan lancang berkata-kata. Namun, Jebat tak nafikan bahawa Jasmine sentiasa prihatin akan dirinya walaupun perkenalan awal mereka harus bermula dengan kedinginan wanita itu.

Malam itu, usai saja mengemas meja makan, para pengawal kembali bertugas secara bergilir. Ada juga yang berpamitan setelah syif mereka selesai pada hari itu. Jasmine masih bersantai di buaian sambil memerhatikan percikan bunga api di dada langit malam. Sesekali, dia mengucup lembut pipi Elman yang sudah tertidur di atas ribanya.

"Selamat tahun baru, Puan Jasmine."

Jasmine terdongak tatkala ucapan itu meniti di telinganya. Pandangan Jebat yang redup di bawah sinaran rembulan begitu menyenangkan jiwa Jasmine yang masih terasa sesak dengan niat ayahnya untuk menjodohkannya bersama Ezhar.

"Selamat tahun baru juga, Jebat. Saya doakan semoga tahun ni akan menjadi tahun bermakna untuk awak. Terima kasih..."

"Terima kasih untuk?"

"Selalu buat Elman senang hati di saat saya tak mampu nak pujuk anak saya sendiri. Saya ni... memang pentingkan diri sendiri juga sebenarnya. Tak faham apa yang anak saya perlukan." Tersungging senyuman sinis di bibir Jasmine. Dia membuang pandangannya menerawang ke taman rumah agam yang kelam.

KAU YANG TAK TERGANTI (COMPLETED) ✅️ Where stories live. Discover now