EPISOD 82

843 156 67
                                    

RUANGAN kerja yang begitu sepi membibitkan rasa janggal di ruang hati Jasmine. Dia mengenggam kedua-dua belah tangannya. Menanti Jebat yang sedang menghubungi Fawwaz. Ada riak tak puas hati terbias di wajah pemuda yang berdiri di hadapan tingkap itu.

Tapi, Jasmine mengerti. Dia sudah menyakiti hati Jebat yang tulus mencintai dan menyayanginya. Perpisahan terakhir mereka sembilan tahun yang lalu, Jasmine buat satu kesilapan terbesar dalam hidupnya.

Demi membuatkan Jebat membencinya, Jasmine terpaksa memberikan kata-kata menyakitkan kepada pemuda itu.

"Kenapa tak tolak?"

Jasmine terkesima tatkala frasa itu menjadi ayat permulaan Jebat setelah sekian lama mereka tak bertemu. Jasmine terpinga-pinga tatkala Jebat duduk setentang dengannya. Tak mengerti.

"Bisu ke? Aku tanya ni kenapa tak tolak tawaran Fawwaz?"

Tatkala Jebat menghentak meja, Jasmine terhinggut. Ada rasa gerun bertamu di lubuk hatinya. Samar-samar, kekasaran Ezhar berlalu di ruang memori. Meskipun sudah sembilan tahun dia bercerai dengan Ezhar setelah dia dibelasah hingga keguguran, Jasmine masih paranoid.

"Maaf kalau saya buat awak tak suka... dengan kedatangan saya. Saya pun... tak tahu kalau encik..."

"Awak? Aku ni klien kau. Mana formaliti? Apa kau ingat aku ni kawan kau? Huh?"

Jasmine terkesima dengan kekasaran Jebat yang merenggut fail dari tangannya. Hatinya sedikit terhiris dengan tatapan kebencian pemuda itu. Raut wajah Jebat dipandang redup. Tiada lagi kemanisan di wajah Jebat yang sentiasa menyenangkan Jasmine.

"Saya minta maaf Encik Jebat. Saya pun tak tahu kalau Encik Fawwaz gunakan perkhidmatan saya untuk encik."

Jebat hanya diam. Dia tertarik melihat sample lukisan di dalam fail Jasmine. Gambaran panorama alam yang seolah-olah menceritakan perasaan yang terzahir di hati si pelukis. Tatkala lukisan Zafri kelihatan di halaman terakhir, Jebat menghela nafas panjang.

"Benda pun dah ditempahkan, Puan Jasmine. Jadi... nak tak nak aku terpaksalah guna perkhidmatan kau untuk majlis aku nanti."

"Majlis apa?"

"Pertunangan aku." Jebat hanya menjawab acuh tak acuh. Pandangannya bertaut dengan Jasmine yang kelihatan kaget. Tersungging senyuman sinis di bibir Jebat.

"Tahniah."

Nada suara Jasmine sedikit bergetar dengan kenyataan itu. Dia bahagia bila Jebat sudah menemui seseorang yang bisa menjaga Jebat. Membahagiakan Jebat tak seperti dirinya yang hanya membawa derita dalam hidup pemuda itu.

"Terima kasih. Jadi... lukisan ni aku nak hadiahkan dekat tunang aku sebagai hadiah hantaran. Ni gambarnya."

Jebat menghulurkan sekeping gambar Raihana kepada Jasmine. Jari jemarinya mengetuk-ngetuk foto gadis yang sebaya dengan Jasmine itu.

Tika itu, Jasmine kaku buat seketika. Memandang bakal isteri Jebat yang kelihatan cantik. Wajahnya berseri dengan lesung pipit di pipi kanannya. Penampilannya begitu sejuk mata memandang dengan bertudung labuh. Intuisi Jasmine merasakan gadis ini pasti orang yang baik-baik.

"Kau boleh lukis muka bakal isteri aku macam sample lukisan ni?"

"Boleh. Encik Jebat nak saya siapkan bila?"

"Dua minggu lagi majlis aku dengan dia. Jadi, aku nak kau siapkan dalam minggu depan." Jebat menyandarkan tubuhnya di kerusi. Tubuhnya dipeluk erat memerhatikan wajah Jasmine.

"Cepat sangat tu. Saya ada banyak tempahan lukisan dan kena ikut que. Paling lambat saya boleh siapkan dalam bulan depan..."

"Jangan kecewakan aku buat kali kedua, Puan Jasmine Qasrina. Aku nak jadikan lukisan tu sebagai hadiah hantaran. Kalau kau tak dapat siapkan, aku tak nak hantaran bakal isteri aku tu tak lengkap hanya disebabkan kelembapan kau."

KAU YANG TAK TERGANTI (COMPLETED) ✅️ Where stories live. Discover now