43' 𝓜𝓔𝓙𝓐𝓡'𝓢 𝓒𝓞𝓓𝓔 𝓖28

259 13 2
                                    

Petang itu, Syed Aariz pulang ke rumah setelah seharian bekerja. Sejak awal pagi, dia sudah merancang untuk membeli kunafa kegemaran Arfana, seperti yang diminta oleh isterinya kerana dia terlupa mahu membelinya semalam.  Arfana memang sangat teringin kunafa dari kedai manisan terkenal di bandar, dan Aariz selalu memastikan dia membawa pulang manisan itu untuk menggembirakan hati isteri tersayang.

Namun, kerana kesibukan di camp dan beberapa mesyuarat yang panjang, Aariz terlepas dari niat asalnya. Dalam kepalanya hanya terfikir untuk cepat-cepat pulang ke rumah, berehat, dan melepas lelah.

Setelah membuka pintu rumah, Aariz melihat Arfana sedang duduk di ruang tamu, tersenyum manis ke arahnya seperti biasa. Walaupun Arfana tidak dapat melihat, dia masih mampu merasakan kehadiran suaminya dengan sangat baik.

"Abang dah balik?" sapa Arfana dengan suara lembutnya.

"Ya, sayang. Abang dah balik." Aariz menghampiri dan mencium dahi isterinya.

"Abang ada beli kunafa yang Arfana pesan tadi?" Setelah beberapa saat duduk dan berbual, Arfana bertanya.

Ketika itu, barulah Aariz teringat tentang permintaan isterinya pagi tadi. Wajahnya berubah sedikit tegang, dan dia berasa bersalah kerana telah melupakannya.

"Err... Abang minta maaf, sayang. Abang lupa nak beli kunafa tu tadi," kata Aariz dengan penuh rasa bersalah.

Senada dengan itu, senyuman di wajah Arfana mulai pudar. Walaupun Arfana cuba untuk tidak menunjukkannya, Aariz dapat merasakan bahawa isterinya kecewa.

"Tak apalah," jawab Arfana pendek, nadanya terdengar sayu. Dia kemudian bangun perlahan-lahan dan bergerak menuju ke dapur tanpa menunggu reaksi dari Aariz.

Aariz menghela nafas panjang. Dia tahu bahawa Arfana bukan jenis yang mudah merajuk, tetapi kunafa itu adalah sesuatu yang sangat dinantikan oleh isterinya. Rasa bersalah terus menyelubungi dirinya. Aariz tahu dia perlu melakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan.

Dia bangun dan mengikuti Arfana ke dapur. Melihat Arfana yang sedang mengadun adunan roti dengan tenang, Aariz menghampiri dan memeluk isterinya dari belakang. Bahannya sudah disediakan oleh pembantu rumah mereka. Syed Aariz mengambil pembantu rumah untuk mengurus Arfana memandangkan wanita itu sudah berkeras mahu bersilat di dapur dan pembantu peribadi juga diupah untuk menguruskan Arfana untuk ke kerja.

"Sayang, maafkan abang. Abang betul-betul lupa sebab banyak kerja tadi. Abang akan pergi beli sekarang kalau sayang nak," pujuk Aariz sambil mencium lembut pipi Arfana.

Namun, Arfana hanya mendiamkan diri, tetap fokus pada kerjanya. Aariz tahu, ini adalah tanda bahawa Arfana benar-benar merajuk. Dia bukanlah wanita yang suka mengungkapkan perasaannya dengan marah atau menangis, tetapi kesunyiannya itu adalah isyarat bahawa hatinya sedang terluka.

Aariz berfikir sejenak, cuba mencari cara untuk memujuk isterinya. Akhirnya, dia memutuskan untuk membuat kejutan kecil. Dia meninggalkan dapur dengan perlahan-lahan, tanpa berkata apa-apa lagi.

Setelah beberapa jam berlalu, hari sudah hampir senja. Arfana duduk di ruang tamu, masih dengan hati yang sedikit sedih. Aariz belum pulang sejak tadi, dan dia tidak memberitahu ke mana dia pergi.

Tiba-tiba, pintu rumah terbuka. Aariz masuk dengan sekotak besar di tangannya. Dia meletakkan kotak itu di hadapan Arfana. Bunyi kotak menandakan Syed Aariz sedang meletakkan sesuatu di atas meja.

"Sayang, abang dah balik," sapa Aariz, suaranya penuh dengan kegembiraan.

"Apa tu, abang?"

"Ini untuk sayang," Aariz menjawab sambil membuka kotak tersebut. Di dalamnya, tersusun rapi beberapa bekas kunafa yang baunya segar dan menggoda.

OG | | MEJAR'S CODE G28Where stories live. Discover now