Bab 5

224 20 0
                                    

JANJI jam 9.30 pagi. Ini dah hampir 10.00 pagi. Apa yang dia dengar tentang staf seorang ni, langsung tak sama. Katanya, menepati waktu tapi ini apa? Sejak jam 9.00 pagi dia dah terpacak di lobi. Tak mahu terlambat.

Prinsip bekerjanya mudah. Dalam apa sahaja keadaan, biarlah dia yang menunggu. Namun, tidaklah sehingga membuang waktu dah setengah jam malah masa terus berlalu. Sayang, batang hidung yang dinanti belum juga nampak.

Duduknya mula gelisah. Apatah lagi apabila banyak mata mula memandang. Seperti dia adalah seekor rusa yang sedang sesat masuk ke bandar. Tiani angkat tubuh. Berjalan ke meja reception.

"Maaf, cik. Kalau bos ada urusan lain, saya balik dulu. Nanti minta tolong aturkan appointment lain," ujarnya, sopan.

"Oh, cik nak jumpa Encik Lukman tadi, kan?" soal wanita muda ini, tanpa riak bersalah langsung.

Tiani koyak senyuman janggal. Setengah jam lepas dia dah beritahu nak jumpa Maliki. Atau dia yang salah sebut nama?

"Encik Lukman ikut bos ke Singapore. Katanya, dah balik dua hari lepas. Tapi itulah, saya tak dapat nak hubungi dia lagi pagi ni."

"Saya cuba telefon dia sekali lagi..." Receptionist itu mengangkat gagang telefon sebelum tindakannya mati. Matanya tertumpu pada pintu kaca yang sedang ternganga lebar.

"Haaa... Itu Encik Lukman..."

Tiani dapat dengar helaan nafas lega dari celah bibir receptionist itu. Dia toleh dan melihat seorang lelaki menapak dengan langkah yang panjang, mendekati mereka. Walau tali leher itu masih ada di tangan, tapi pakaiannya kemas. Slack hitam dan kemeja putih. Rambutnya juga disikat rapi biarpun boleh nampak masih ada titisan air dari celah helaian rambut.

"Mas..." Lelaki itu bertanya setelah dipastikan nafasnya kembali teratur kesan terkejar-kejar.

"Ada staf Dato' Talhah datang tak? Patut appointment dengan saya jam 9.30 pagi." Lukman kerling jam pada dinding pejabat. Matilah. Dah lewat setengah jam ni.

Tiani mendiamkan diri. Hanya memerhati. Suara ini, macam pernah menyapa pendengarannya. Garau dan dalam.

"Errr... Ini..." Gadis bernama Mas itu memandang Tiani.

Lukman menoleh. Melihat sekujur tubuh yang tegak di depan mata. Berdiri tak jauh dari mereka. Cantik dan sopan dengan sut berwarna putih. Yang berbeza hanyalah kasut tingginya sahaja berwarna merah jambu. Dipadankan dengan beg tangan berjenama daripada rona yang sama. Riak wajah itu tidak nampak marah langsung. Sebaliknya, hanya tersenyum tipis. Cukup manis.

"Maaf saya lambat. Cik Ti..." Lukman kerut kening sedikit. Lupa dah nama.

"Tiani," balas Tiani, pantas.

Pelik betul bila lelaki ini hanya menyebut Cik Ti. Ngeri. Kalau mama dan Kak Mek, Cik Ti tu adalah makhluk yang tidak diingini itu. Mahu menjerit mama dan Kak Mek kalau Cik Ti itu yang muncul.

"Oh, ya. Cik Tiani..." Lukman terangguk-angguk sendiri. Baru teringat nama yang Maliki sebut. Dia berdeham sekali. Berdiri tegak. Membetulkan juntaian rambut yang jatuh ke dahi.

"Saya minta maaf sebab terlambat, Cik Tiani," pinta Lukman, mesra.

"Ada urusan penting pagi tadi yang tak boleh elak." Jujurnya, dia tertidur lepas subuh kerana terlalu penat. Bila mama kejut, dia masih tak bangun hinggalah dia teringat akan janji temu hari ini.

Rasanya, dia tak sempat lap kepala dengan elok biarpun rambutnya telah disikat rapi ke belakang. Dia harap, tanggapan pertama wanita ini padanya tidaklah teruk lantas merosakkan imej syarikat.

"Saya harap, ini tak jejaskan perancangan usaha sama kita," ujar Lukman, dengan suara dan sikap yang jelas sangat profesional.

Tiani hampir jongket sebelah kening. Cameleon. Cepat benar berubah.

Anak Perempuan Dato' PengarahWhere stories live. Discover now