KEADAAN di dalam kereta miliknya sangat tenang. Ditambah pula kedudukan kereta yang ada di tempat letak kereta bawah tanah bangunan pejabat, menjadikan semuanya sunyi sepi. Hinggakan dia dapat dengar dengan jelas degupan jantung wanita di sebelahnya saat ini.
Namun, dia pula sebaliknya. Dadanya tidak tenang. Melainkan segalanya sedang bergelodak. Sungguh. Persoalan demi persoalan muncul di dalam kepala. Kenapa mesti dia libatkan diri dalam masalah? Padahal dia dah dapat baca, wanita ini tidak lain dan tidak bukan... adalah satu masalah. Ya... Dia tak tahu apakah masalah itu. Tapi, perlukah dia palitkan masalah ini dalam hidupnya yang selama ini sangat tenang dan tersusun?
Lukman raup wajah berkali-kali. Dia tunduk. Merapatkan dahi pada stereng kereta. Aduhai... Sakit kepala. Sejak dulu, dia tak pernah kesah akan masalah orang. Tugasnya sebagai peguam menjadikan dia begitu bijak meletakkan benteng yang cukup tebal dan tinggi dalam setiap perkara yang diuruskan.
Melainkan urusan itu adalah milik majikannya, Maliki dan isterinya, Daneen serta anak-anak mereka Dareeyan, Daneeya dan Dazeeya. Juga urusan adiknya Lara dan Syaqir suami isteri serta anak saudaranya... Selainnya benar-benar tidak memberi bekas.
Cuma sekarang...
Lukman lepas nafas dengan cukup perlahan. Dia mengintai Tiani di sebelah melalui ruang lengan kekarnya. Tiani sudah tidak menangis. Nampak lebih tenang. Hanya pada zahir. Melihat dada yang berombak, dalaman wanita ini masih merusuh dan sukar ditenangkan.
Dia tunduk semula pada stereng. Bibirnya koyak dengan senyuman tipis tanpa sedar. Tak sangka, dia dah jadi hero Korea.
Tapi, memikirkan Tiani hanya ikut rentaknya, itu membuatkan senyuman dia koyak lebih lebar. Tapi, rasa tak kena pula untuk senyum pada saat musibah biarpun bukan itu maksud senyumannya.
Lukman berdeham kecil. Angkat kepala dan bersandar tenang.
Udara di dalam kereta ini terasa sarat tiba-tiba. Entah apa yang perlu ditanya bagi meredakan rasa sarat ini.
"Cik Tiani nak pergi KLIA, kan?" soalnya. Membunuh kesunyian yang meresahkan.
"Hurm..." Tiani menjawab perlahan, tanpa menoleh. Wajahnya merah.
Rasa segannya pada Lukman jatuh bertalu-talu menimpa wajahnya. Dia sedang merancang untuk keluar dari perut kereta dan berlari selaju mungkin. Tapi, nanti jadi kisah melodrama pula. Dia julingkan mata ke atas. Nafas dihembus perlahan.
Dia benar-benar harap dapat berikan tanggapan pertama yang baik pada lelaki ini sebagai wakil majikan. Sudahlah lelaki ini seperti memandang rendah bila dia tidak berpangkat besar di dalam syarikat milik mama. Walaupun Lukman menafikannya. Ditambah dengan kejadian yang baru sebentar tadi terjadi, kredibilitinya boleh dipertikai tanpa mampu dia nafi.
"Saya minta maaf," ucapnya kerana dia rasa inilah yang paling logik sekarang.
"Terima kasih," tambahnya lagi kerana ini juga yang paling tepat.
Lukman senyum. Tiani mengucapkan dua ayat itu tanpa menoleh. Dengan suara rendah dan sangat lunak.
"Pertama sekali, tak perlu minta maaf. Tak ada apa nak dimaafkan. Cik Tiani tak buat salah..."
Tiani gigit bibir. Menahan perasaan yang kembali sebu.
"Keduanya..." Lukman hentikan suara seketika sebelum menyambung sejurus Tiani menoleh.
"...sama-sama."
Mata redup Tiani tunak memandang wajah Lukman. Senyuman terus bergayut pada bibir Lukman. Matanya dipejam rapat seketika.
"Saya harap apa yang jadi ni, tak menjejaskan kerjasama kita..." Nadanya separuh merayu.
"Tentang ni, jangan risau. Walaupun saya diberi kuasa penuh untuk membatalkan perjanjian ni jika saya rasa ada yang tak kena, saya tak akan lakukan. Apa yang jadi, adalah urusan peribadi. Business adalah business," jawab Lukman.
Jujurnya, dia nak tanya apakah yang terjadi? Kenapa keadaan Tiani sangat teruk? Tak ubah seperti sedang ketakutan akan sesuatu yang berkaitan hidup mati. Namun, dia juga tahu... dalam perkenalan singkat mereka, Tiani pasti tak selesa dengan persoalan itu. Lantas, dia telan sahaja persoalan itu untuk diaju suatu hari nanti yang entah bila tiba. Boleh jadi tak akan pernah muncul langsung.
"Saya tak judge orang. Apa yang jadi pada cik dan cara cik berurus niaga, itu dua perkara berbeza." Lukman terus cuba meyakinkan Tiani.
Seperti tadi, mata redup Tiani terus merenungnya. Tak berkelip. Tak ubah seperti mata seekor Bambi. Berkaca-kaca, suci dan comel.
"Cik Tiani nak pergi KLIA dengan apa tadi? Saya ingat cik memandu sendiri."
Tadi, dia cuma serkap jarang. Jika untung batu, tenggelam. Untung sabut, timbul. Kerana itu dia berlari turun. Jika Tiani memandu, tidak mengapa. Jika Tiani menunggu kereta datang menjemput, dia juga tak kesah. Tapi, yang dilihat itu berbeza.
"Saya naik ERL." Dia baru sedar yang dia perlu mengejar penerbangan balik. Dalam masa yang hanya berbaki kurang dua jam, tak pastilah sempat atau tidak.
"Saya minta diri dulu," pintanya sopan. Cuba membuka pintu kereta bila Lukman tiba-tiba sahaja menguncinya.
Tiani menoleh dan mengerut dahi. Dia tak fikir lelaki ini akan bertindak demikian atau boleh jadi ada niat buruk padanya. Seketika, matanya melilau ke segenap kawasan. Baru dia sedar, tempat letak kereta ini sangat sunyi. Tiada seorang pun lalu-lalang. Debar dalam jantungnya kembali rancak. Biar sedaya upaya dikawal, dia tahu Lukman pasti dapat mendengar degupan itu.
Mata Lukman jatuh di tengah dada Tiani yang bertutup sopan dengan tudung yang dipakai. Kemudian, bola mata itu naik semula merenung mata yang jelas nampak takut.
"Saya hantarkan. Hari hujan lagi dekat luar. Tak tahu bila dapat e-hailing," ujarnya cuba menghalau perasan takut Tiani.
"Tak apa. Saya boleh pergi sendiri..." Rasanya, dekat-dekat sini ada LRT juga. Dia akan jalan sedikit.
"Hujan lebat. Guruh pun tak putus berdentum ni. Saya tak nak jadi macam tadi lagi. Kalau jadi masa saya ada, tak apalah. Kalau jadi masa saya tak ada... bahaya..."
Dahi Tiani berkerut. Tak faham.
Lukman menutup senyum. Berlagak serius.
"Sebab tak semua orang macam saya..."
"Awak macam mana?" Dia dah lupa panggilan asalnya kepada Lukman.
"Hurm... Saya tak nak cakap saya macam mana. Masa akan beri jawapan pada pertanyaan cik tu," balas Lukman lantas mengalihkan pandangan ke depan bila keretanya mula bergerak.
Dia sempat kerling Tiani. Wanita ini juga tidak lagi memandangnya. Hanya merenung ke depan dengan dihiasi kerutan di dahi. Dia tahu Tiani mengutuk dia. Lukman kemam bibir. Menyembunyikan senyum.
Aik... Kena kutuk pun boleh senyum?