BUKAN tidak percaya pada pemandu mama. Malah, Pak Wan bekerja dengan mama sejak dia belum lahir. Cuma itulah. Dadanya tak lapang. Sebab tu dia merayu untuk mama dan Kak Mek ikut sama menghantar dia ke lapangan terbang. Tak cukup dengan itu, dia merayu mama tunggu sehingga dia masuk ke balai pelepasan.
Jujurnya, dia masih takut. Matanya melilau ke sana sini melihat lautan manusia. Tambah pula masa yang dipilih bertembung dengan penerbangan jemaah umrah. Segalanya sangat menyesakkan. Tiani tarik nafas dalam. Dipejam mata rapat, menyebut nama Tuhan berkali-kali tanpa henti hinggakan dadanya lupa terasa lapang.
Sini tempat umum, Tia. Tak akan ada yang berani buat bukan-bukan.
Berkali-kali dia meratib ayat yang sama. Dalam penerbangan juga, dia beli tempat duduk kelas business sehingga dua tempat duduk untuk diri sendiri. Bila tiba waktu turun, dia mengekori barisan orang ramai.
Nafas lega dilepaskan. Abang Fiq janji untuk jemput dia. Tak menanti, dia terus menuju ke pintu ketibaan. Saat ini, telefonnya menjerit. Dia senyum bila nama abangnya muncul di skrin.
"Tia dah sampai?"
"Dah. Baru lepas ambik beg. Nak keluar ni. Abang Fiq dah sampai ke?"
"Abang masih dekat Lumut ni. Malam baru boleh balik. Ada miting kejap lagi."
Langkah Tiani mati. Mujurlah dia tak dilanggar oleh orang belakang. Ini pun sudah mengundang suara tak selesa orang yang hampir melanggarnya. Dia pula hanya mampu menoleh dan tunduk sedikit sebagai tanda mintak maaf.
"Abang minta maaf. Abang baru aje dapat tahu ni. Siap aje miting, abang terus gerak. Tia ambik airport limo atau e-hailing, ya? Terus ke rumah. Kunci rumah bawak tak?" soal Taufiq dengan suara resah.
Dalam hati berdoa moga Tiani tak marah. Sudahlah isterinya sedang merajuk. Janji nak balik lepas habis kerja. Tapi, terpaksa tunda. Tiba-tiba dipanggil mesyuarat penting. Biasanya Nees akan faham. Kali ini, lain pulak rajuknya. Boleh jadi sebab Tiani datang. Kerana itu isterinya teruja. Dah lama tak jumpa.
Ini buatnya Tiani merajuk juga, dah kena pujuk dua orang perempuan yang dia sayang.
"Nees okey tak tu?" soal Tiani kerana dia terima WhatsApp Johanees yang tak sabar nak berjumpanya sebelum dia masuk ke penerbangan tadi.
"Nees merajuk," jawab Taufiq dengan suara sayu.
"Aik... Biasa dia tak merajuk. Kenapa tiba-tiba merajuk?"
"Itu abang pelik. Dia tak sabar nak jumpa Tia katanya. Abang pulak tiba-tiba ada miting."
Tiani ketawa kecil. Lain macam Nees merajuk dengan Abang Fiq. Macam ada tak kena aje. Dia rasa, memang Abang Fiq ada buat salah ni. Tak syak lagi.
"Tia janganlah marah abang jugak. Kesianlah dekat abang."
"Taklah. Tia tak marah. Tia tunggu abang ajelah."
"Berapa jam nak tunggu?" Nada Taufiq jelas terkejut.
Tiani tak beri jawapan.
"Kan elok terus balik. Lama nak tunggu abang. Berjam-jam tu..." tambah Taufiq, resah.
Kenapa Tiani tak nak terus balik ambil e-hailing atau teksi aje? Dia kerut dahi dan saat ini juga, dia teringat perbualannya dengan mama. Bukan kerana suara sumbang yang bercerita tentang kisah lampau Tiani, tapi tentang itu.
Adakah benar seperti telahan mama, Tiani belum pulih?
"Abang tak boleh nak rushing. Abang telefon Ziyad minta tolong. Atau Qadr. Dia pun ada di KL. Tia tunggu, ya."
"Hurm... Terima kasih," balas Tiani, lembut. Barulah dia dapat hela nafas lega.
Taufiq koyak senyum tawar. Tiani masih ceria di depan mereka. Yang menjadi persoalan, adakah Tiani juga ceria bila bersendirian?