Bab 3

303 21 0
                                    

SEMASA mereka tiba di Kuala Lumpur, jam sudah menunjukkan jam 12.00 tengah malam. Johanees yang tertidur dalam perjalanan tadi, membuka mata bila Taufiq hentikan kereta di depan rumah Ziyad.

"Dah sampai rumah ke?" soal Johanees, memisat mata sambil menoleh ke sisi, melihat anak yang lena pulas di dalam tempat duduk khas bayi. Dia senyum. Anak bertuah ibu. Langsung tak jaga sepanjang perjalanan. Hanya sekali aje tadi sebab nak menyusu.

"Hurm... Tuan Puteri baru bangun, ya? Kesian patik sorang-sorang memandu. Tak ada kawan sembang," usik Taufiq. Dia lega bila rajuk Johanees tak lama.

"Biasalah. Tuan Puteri tuan hamba ni, penat tunggu tuan hamba tadi. Itu yang tertidur," balas Johanees, dengan tawa kecil.

Sejak ada anak ni, memang pantang letak kepala. Memang akan terlena.

"Abang faham. Nees penat jaga anak. Penat jaga abang," balas Taufiq pula. Menoleh ke belakang.

"Jaga abang tak penat. Seronok," ujar Johanees pula dengan tawa halus.

"Eh, ya ke?" Taufiq sengih lebar.

"Abang lagi seronok bila Nees jaga abang lebih."

Johanees mencebik tipis bila terpandang sengih lebar Taufiq. Macamlah dia tak boleh baca makna senyuman macam tu. Malas dia nak layan.

"Tapi, ini bukan rumah kita. Abang terus datang rumah Ziyad ni. Tia ada kat sini. Atai kata dah tidur. Abang masuk panggil dia sekejap."

Johanees angguk. Taufiq keluar tapi belum sempat diberi salam, Ziyad dan Teratai Nur lebih dahulu muncul. Pagar automatik itu terbuka lebar.

"Kan dah cakap, biarlah Tia tidur sini..." ujar Teratai Nur.

Saat ini, dia lihat wajah Johanees yang terjengul bila cermin kereta direndahkan. Dia dekati kereta, bersalam dengan Johanees.

"Eh, tak apalah. Esoklah korang gathering. Nanti datang rumah abang. Bukan jauh pun. Lagipun Tia pesan dekat abang, macam mana lewat pun singgah ambik dia..."

"Dia tidurlah, Fiq. Esok ajelah," tambah Ziyad pula.

"Tak apalah, Yad. Alang-alang dah sampai ni." Taufiq toleh pada Teratai Nur yang sedang berbual dengan isterinya.

"Aku masuk ambik dia, ya Fiq..."

"Haaa... Yalah." Ziyad ikut sama. Membiarkan Teratai Nur dan Johanees berbual seketika. Dia terpaksa akur dan tahu betapa Taufiq memanjakan Tiani sejak sekian lama. Tak pernah berubah hingga ke hari ini.

"Apa yang tak kena, Fiq?" soal Ziyad. Seperti faham dengan kerisauan Taufiq. Tak pernahlah Taufiq nak kacau kalau Tia tidur di sini.

"Nantilah aku cerita..." Waktu ini, dia lihat wajah adiknya yang lena pulas.

Wajah ini tenang. Dia masih tak pasti apa yang berlaku sebenarnya. Kerana itu, dia tak boleh nak beri jawapan yang pasti untuk Ziyad.

"Dia memang tunggu kau pun. Sebab tu dah siap bertudung segala," beritahu Ziyad.

"Hurm... Aku tahu. Banyak kali dia WhatsApp aku. Lambat macam mana pun, datang ambik dia." Taufiq senyum.

Dia tunduk. Disulur tangannya di bawah lipatan lutut Tiani dan sebelah kirinya di bawah belakang adiknya itu. Dengan penuh cermat, dia angkat tubuh Tiani. Terasa sangat ringan andai nak dibandingkan dengan sebelumnya.

Saat pandangannya bertembung dengan Ziyad, sahabat baiknya itu angguk. Mengerti.

"Qadr kata esok dia jumpa kau. Dia dapat cuti sebab Hari Keputeraan Sultan Kelantan. Geram betul aku dengan yang sekor tu. Untung betul. Cuti umum dua negeri, Terengganu Kelantan dia dapat..."

Anak Perempuan Dato' PengarahWhere stories live. Discover now