Bab 15

428 25 1
                                    

KEINDAHAN seni bina Masjid Muhammadi yang dibina pada 1921 itu benar-benar memintanya untuk ada di situ seketika. Masjid yang dikenali sebagai masjid negeri atau masjid batu ini mempunyai hiasan dalaman yang sangat indah. Seperti berasa di sebuah masjid di luar negara. Seperti berada di Sepanyol.

Tapi, dia perlu berlalu keluar usai sahaja doa dibacakan memandangkan ada seseorang sedang menanti. Dia tak boleh berlengah hanya untuk menikmati keindahan reka bentuk masjid ini.

Lukman menyelit di antara ramai jemaah lain. Hingga dia tiba di tepi kereta Tiani, dia dapat lihat wanita itu sedang terlena. Dahi itu nampak sedikit berpeluh walau enjin kereta dibuka dan pendingin hawa dipasang.

Teringatkan cerita Dato' Talhah yang Tiani baru baik daripada demam, rasa bersalahnya menyerang. Dia tak patut meminta hanya Tiani. Padahal Dato' Talhah mencadangkan orang lain.

Dia ketuk cermin kereta. Hanya sekali ketukan, Tiani buka mata. Terus menoleh padanya dengan pandangan yang terkebil-kebil. Lama. Cuba memproses akan wajahnya. Lukman koyak senyum. Mengisyaratkan Tiani untuk turunkan cermin.

"Lama ke?" soalnya, tenang.

"Kejap aje. Tapi, saya tertidur pulak. Dah lama ke siap?"

"Baru aje."

Kali ini, Tiani melingas sekeliling. Ya, orang ramai baru sahaja berpusu-pusu keluar dari masjid. Lega. Ingatkan dia tidur mati dah tadi dan disidai Lukman tengah panas kat luar ni.

"Jemput masuk. Saya bawa pergi makan dulu," ujar Tiani tapi saat ini, Lukman membuka pintu kereta sebelah pemandu.

Dia kerut dahi.

"Kenapa?" Tiba-tiba sahaja, dia kaget.

"Biar saya drive."

"Tak apa. Saya drive. Encik Lukman tetamu. Saya lebih tahu selok-belok tempat saya. You may seat back, relax and enjoy our hospitality," ujar Tiani. Menolak kemahuan Lukman dengan sopan.

Sekali lagi, Lukman kemam bibir. Susah untuk dia tak ketawa dengan cara perempuan ni.

"Tapi, Cik Tiani nampak tak sihat..."

"Oh, kesan ubat ni. Masih on antibiotics," ujarnya seraya mengesat dahi.

"Betul ni?"

Tiani angguk bila Lukman masih nampak tak percaya.

"Kalau gitu, okeylah." Lukman akhirnya masuk ke tempat penumpang. Pintu kereta ditutup rapat.

"Please fasten your seatbelt, sir. We are leaving shortly," ujar Tiani.

Lukman tidak menjawab. Hanya mampu menggigit bibir sendiri menahan senyum.

PERJALANAN mereka tenang. Pemanduan Tiani juga sama. Boleh dikatakan agak perlahan sebenarnya biarpun jalan langsung tak sesak. Gamaknya kerana hari Jumaat jalan menjadi lengang.

"Saya sebenarnya tak tahu nak bawa Encik Lukman makan dekat mana. Hari Jumaat ni, banyak kedai tutup," ujar Tiani tiba-tiba.

"Tempat yang biasa Cik Tiani makan pun okey. Saya tak cerewet." Sekali lagi ayat Lukman penuh makna namun Tiani masih begitu.

Langsung tidak memberi perhatian.

"Itulah masalahnya. Saya tak pernah makan dekat luar dengan mak saya. Kecuali dia paksa saya pergi kenduri. Itu ajelah," balas Tiani pula.

"Kenapa tak makan dekat luar? Kan orang cakap Kelantan ni syurga makanan. Sedap dan murah."

"Oh, itu orang. Bukan saya. Lagipun, mak saya masak dah sedap. Jadi, saya prefer makan kat rumah aje."

Anak Perempuan Dato' PengarahWhere stories live. Discover now