MELIHAT cara Tiani membentangkan syarat-syarat perjanjian mereka, fahamlah dia kenapa Dato' Talhah hantar wanita ini mewakilinya. Dia renung wajah Tiani. Mata redupnya jarang berkelip. Dari muncung tudung bawal yang terletak, turun pada dahi yang sesekali nampak berkerut dan berpeluh kecil.
Mata Lukman melilau seketika. Pejabat ni gunakan pendingin hawa jenis AHU. Kiranya centralised seluruh bangunan. Sejuk aje. Apa yang menyebabkan wanita ini berkeringat?
Dia tidak bertanya. Sebaliknya, memilih untuk terus memerhati. Mata Tiani yang silih berganti memandang dia dan kertas di atas meja. Alisnya nampak lebat dan panjang biarpun tidaklah lentik. Malah, birai mata wanita itu nampak seperti memakai celak tebal biarpun tiada. Asli.
Pandangannya beralih lagi pada hidung halus dan sederhana tinggi itu. Jatuh lagi pada bibir merah yang sedang berbicara dengan jelas biarpun tak berapa nak terbuka. Sesekali, dia dapat lihat Tiani mengesat dahi.
"Encik Lukman jelas ke dengan syarat kami?"
"Cik Tiani panas ke?"
Soalan mereka berpadu. Mata masing-masing terkebil-kebil. Saling memandang. Kehilangan kata buat seketika. Mata redup Tiani bulat. Mata kuyu Lukman masih begitu. Merenung tak lepas. Dia dapat lihat dengan jelas Tiani menelan liur. Lukman tegakkan duduk. Jari telunjuknya mengetuk meja. Cuba menghilangkan rasa janggal saat ini. Lebih-lebih lagi pada Tiani.
"Cik Tiani sejuk ke?" soalnya sekali lagi.
"Saya tak boleh nak adjust aircond sebab centralised," jelasnya.
"Tak apa. Tak sejuk mana. Selesa," nafi Tiani dan secara tak sedar, dia mengesat peluh kecil yang dirasakan meleleh pada dahi. Liur ditelan berkali-kali.
Dia perlu cepat tamatkan perbincangan ini. Andai tidak, Lukman akan nampak sisi gelapnya yang dia tutup sebaik mungkin dari pandangan sesiapa sahaja. Tidak juga mama atau Abang Fiq.
Jika bayang hitam itu muncul, dia bimbang akan memberi kesan pada urusan mereka.
Lukman hampir kerut dahi lagi namun ditahan. Sebaliknya, dia ganti dengan senyuman kecil. Kalau dah itu jawapannya, dia pun tak nak lanjutkanlah. Seperti yang dikatakan, dia akan terus berurusan dengan wanita ini. Untuk berapa lama, dia tak pasti. Dan, dalam tempoh itu dia tak sudi untuk buat Tiani rasa tidak selesa dengannya.
"Tentang yang cik cakap tadi tu, sebenarnya saya dan bos saya dah bincang. Perkara ini pun dah dibawa dalam beberapa siri mesyuarat. Setelah dipersetujui semua, barulah Tuan Maliki bawa proposal tu pada Dato' Talhah. Ini pun, kami diperkenalkan oleh kenalan Encik Maliki. Encik Taqrees. Dia yang cadangkan kami syarikat milik Dato' Talhah. Mulanya, kami nak bekerjasama dengan dia aje. Dia kata, dia ada kenal dengan pembekal yang sangat bagus dan orang itu adalah Dato' Talhah..."
Mendengarkan kata-kata Lukman, Tiani tak dapat nafi yang dadanya sedang kembang. Mama memang layak mendapat pujian ini. Mama bekerja lebih daripada sesiapa aje yang dia kenal.
"Bila saya cari maklumat tentang syarikat milik Dato', ternyata... apa yang dikatakan adalah benar dan bagi pihak Tuan Maliki, saya berbesar hati mengalu-alukan Dato' Talhah dan seluruh pasukannya. Terima kasih atas kesudian menerima proposal kami. Kami harap, kerjasama ini akan berterusan," tambah Lukman.
Fuh... Mujurlah otaknya jenis otak menghafal. Semalam, Maliki hantar pesanan skrip ini untuk dia beritahu pada wakil Dato' Talhah.
Tiani berdeham kecil. Menarik telefon yang ada di dalam poket kotnya. Matanya melirik ke arah skrin telefon yang ada di atas paha.
"Bagi pihak Dato' Talhah juga, saya ucapkan terima kasih sebab pilih syarikat kami. Kami harap, kami menepati expectation yang diharapkan," balas Tiani sambil mengerling telefonnya dan juga wajah Lukman.