SEPERTI biasa, masakan mama akan jadi pembuka selera paling mujarab untuknya. Daripada tiada selera, terus makan bertambah. Bubur nasi yang mama buat, memang sedap. Dengan aroma serai kampung, isi ayam dan carrot cincang. Ditambah sedikit lada hitam. Seperiuk pun boleh habis ni.
"Nak lagi?" soal Dato' Talhah melihat mangkuk yang dah hampir kosong.
Tiani angguk. Lapar. Yalah, dah dua hari tak makan. Padanlah badan lemah dan perut pun kosong langsung.
Dato' Talhah bangkit. Menyenduk bubur ke mangkuk. Kemudian, dia berdiri di belakang anak daranya. Dengan rambut tak ikat. Sikit lagi nak masuk ke dalam bubur.
"Ini kalau anak teruna jiran intai tengok Tia macam ni, mahu terkejut dengan rambut menggerbang..." bebel mama sambil mengikat rambut Tiani menjadi messy bun.
Tiani ketawa. Mujur tak tersedak.
"Syukurlah rumah kita ni jauh dari jiran. Pagar pun tinggi. Macam mana intai pun, memang tak akan nampak." Tiani ketawa mengekek. Seronok tengok mama kerut muka.
"Ada aje jawapan dia..." Mama mencebik. Duduk semula di tempat tadi. Lega bila Tiani kembali ceria.
"Ini, Maliki telefon mama..."
"Pasal kontrak tu ke?"
"Hurm... Lawyer dia dah siapkan semua. Dia nak hantar satu salinan pada kita..."
Tiani angguk. Kerana dia dah tahu itulah permintaannya pada Lukman. Dah siap nanti, poskan aje.
"Dan, dia ada sikit permintaan."
"Ada nak buat amendment ke?"
"Tak perlu dah. Cuma, dia minta nak datang tengok kilang. Cara pembuatan dan macam mana penyediaan semua."
"Laaa... Kita kan dah bagi sijil GMP semua. Lagipun, bukan baru semalam mama buka kilang tu. Dah belas tahun," balas Tiani.
"Betul. Dia cuma nak datang tengok. Katanya kerjasama ni lama. Dia teringin nak tengok. Itu aje."
"Okey," balas Tiani, pendek. Sambil terus menyuap bubur nasi ke mulut. Entah mangkuk keberapa dah.
Namun, suapannya terhenti bila dia dapat rasa mata mama terus merenungnya. Perlahan-lahan, dia toleh. Mama senyum. Tiani redupkan pandangan.
"Jangan cakap..."
"Haaa... Tia memang bijak. Sekilas pandang aje Tia dah boleh agak apa yang mama nak minta," ujar mama sebelum sempat Tiani habiskan ayat.
Tiani renung wajah mama. Lama. Teringat kejadian yang berlaku antara dia dan Lukman. Biarpun Lukman menafi dan mahu kekal bekerja bersamanya, dia yang tak boleh.
Jujurnya, dia sangat malu untuk berhadapan dengan Lukman setelah lelaki itu melihat sisi kelabu dirinya. Biarpun Lukman menafi dan berharap untuk terus bekerja dengannya, dia takut kejadian seperti itu berulang. Macam mana lagi dia nak tutup kelemahan diri jika segalanya terus terselak?
"Untuk kali ini, Tia akan uruskan. Tapi, boleh tak mama lantik orang lain jadi liason officer untuk berurusan dengan diorang? Uncle Fad ke. Tak kesahlah dengan Tuan Maliki atau peguam dia."
"Kenapa? Diorang tak kompelin pun pasal Tia. Siap puji lagi. Semuanya okey. Tiba-tiba aje minta tukar orang." Wajah Dato' Talhah nampak tak senang. Dia tahu ada sesuatu yang telah terjadi.
"Memang semua okey. Mama tahu macam mana Tia bekerja. Tapi, Tia rasa tak sesuailah nak uruskan projek tu. Biarlah Tia urus ofis macam biasa aje. Mama lantik orang lain, ya?" pintanya separuh merayu.
Fuh... Dato' Talhah hela nafas pendek. Tak tahu nak cakap apa lagi. Melihat wajah berharap Tiani, tak sampai hati untuk terus mendesak. Benar kata Tiani, mereka tak pernah dengar sesiapa yang ragu dengan cara Tiani bekerja. Pasti ada sesuatu yang telah terjadi yang mana andai didesak sekalipun, Tiani tak akan buka mulut.
"Yalah..."
"Terima kasih, mama..." Tiani sengih.
Dato' Talhah hanya memerhati wajah anaknya. Nampak ceria dan bagai tiada apa. Namun, hati seorang ibu yakin... di sebalik cerita anaknya, pasti telah terjadi sesuatu.
Dek rasa ingin tahu, dia mahu terus bertanya.
Tapi, sebagai ibu yang mengerti perasaan anaknya, dia hanya mampu bersabar hingga suatu ketika anak ini mahu bercerita.
"Ha, makan cepat. Tia kena pergi jemput dorang dekat airport."
Suapan Tiani tiba-tiba sahaja terhenti. Dia pandang wajah mama yang sedang mekar dengan senyum. Ingatkan beberapa hari lagi.
"Mama tak cakap pun hari ni?"
"Ini mama nak cakaplah ni. Boleh, kan?"
"Tia pergi seorang ke?"
Dato' Talhah angguk.
"Tia belum berani nak memandu?" soal mama setelah melihat anaknya sekadar menyepi. Tunduk.
Tiani tak beri jawapan. Wajah Dato' Talhah berkerut.
"Tia ada masalah yang tak beritahu mama, kan?" duganya. Biarpun hati seorang ibu telah punya jawapannya tapi dia tak mahu mendesak.
"Tia tahu Tia sentiasa ada mama dan Abang Fiq sejak dulu. Sekarang ni, Tia ada ramai lagi kawan. Teratai Nur, Lailatul dan Puteri. Kami semua ada untuk Tia." Belakang Tiani diusap.
"Tia okey." Tiani menoleh dan mengoyak senyum. Dia letak sudu di atas dulang. Perutnya sudah penuh. Biarpun masih berbaki di dalam mangkuk, tapi dia dah tak boleh nak telan.
"Mama jangan risau. Tia tahu sekarang ramai yang sayangkan Tia. Tia tak lupa tu. Okeylah... Tia dah kenyang. Tia naik siap dulu." Dia turun dari kerusi. Mahu melangkah pergi.
"Tia?"
Panggilan mama buatkan langkah Tiani berhenti. Dia toleh.
"Betul ni?"
"Ya. Mama jangan risau. Tapi, Tia bawa kereta baru mama tu, ya?" Dia sengih.
Dato' Talhah angguk. Kereta yang terlibat dalam kejadian malang itu dulu lama sudah dijual. Kerana dia tahu, Tiani langsung tak boleh lihat kereta itu lagi. Dia masih ingat bagaimana Tiani menggigil melihat kereta itu kembali ada di laman rumah beberapa minggu setelah kejadian tersebut.