TEPAT seperti yang dijanjikan, wajah Lukman muncul di pintu balai ketibaan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra. Hon ditekan sekali. Lelaki itu pantas menoleh. Tiani keluarkan tangan dari kereta dan melambai. Dia tak boleh lama memandangkan terdapat ubah suai di kawasan itu dan suasana sangat sesak saat ini.
Sebaik saja melihat wajah indah itu, bibir Lukman koyak dengan senyuman lebar. Dia cepat-cepat melangkah. Masuk ke perut Mercedes AMG berwarna silver. Tali pinggang keledar dipasang. Bibirnya menceber sendiri. Hebat Dato' Talhah bagi pekerja pakai kereta mewah ni. Nak kira, dia juga serupa. Maliki berikan segala harta dunia. Hanya dia yang sentiasa bersederhana dalam segalanya.
"Kita tak boleh tunggu ni. Saya parking jauh sikit, ya?" ujar Tiani.
"Okey," balas Lukman bila dia dengar hon dibunyikan lagi. Meminta untuk mereka berlalu.
"Tapi kan... Cik Tiani ada nak tunggu orang lain lagi ke?"
Tiani tekan brek. Mujurlah tiada kereta lain di belakang. Dia toleh pada Lukman. Merenung lelaki itu penuh tanda tanya.
"Kenapa?" soal Lukman, tak faham dengan cara Tiani memandangnya.
"Apa yang kenapa?" soal Tiani pula.
"Cik Tiani renung saya?" Senyuman tipis Lukman tersungging.
"Oh, maaf..." Barulah mata redup Tiani berkelip beberapa kali. Dia sendiri tak sedar dia sedang renung lelaki itu. Walaupun tiada niat lain tapi pastilah membawa tanggapan aneh di dalam kepala Lukman.
"Tak apa. Kan saya dah cakap, Cik Tiani boleh renung saya. Saya tak luak. Cuma sekarang ni, kita ada nak tunggu orang lain ke?"
"Encik Lukman sorang ke?"
"Ya."
Tiani hampir mengeluh. Mati-mati dia ingat Maliki ada bersama. Mama cakap mereka berdua. Kenapa daripada berdua jadi seorang pulak? Andai dia tahu Lukman seorang, dia akan ajak orang lain.
"Cik Tiani ingat saya berdua dengan bos saya ke?" duga Lukman.
Tiani angguk. Meneruskan perjalanan yang terhenti seketika tadi.
"Oh... Saya memang datang..." Bicara Lukman mati.
Suara Dato' Talhah bergema di dalam kepala.
"Saya tak beritahu dia Luk datang sorang. Maliki tak datang. Nanti dia tak nak pergi jemput."
Lukman telan sendiri kata-katanya. Dibiarkan sahaja bicaranya antara Dato' Talhah pagi tadi, terus menjadi rahsia.
"Cik Tiani nampak kecewa sebab bos saya tak datang ke?" usik Lukman dengan nada serius.
"Tak adalah sampai kecewa," nafi Tiani.
"Tapi, air muka tu nampak kecewa. Dia dah kahwin. Anak dah tiga..."
Tiani lantas menoleh bila mendengar bicara Lukman. Saat itu juga, lelaki itu jongketkan sebelah kening lebatnya. Seperti sengaja menduganya.
"Saya tahu dia dah kahwin dan isteri dia cantik. Terkenal satu Malaysia. Ada anak yang comel belaka. Cuma, ma... Ehem... cumanya, Dato' beritahu Encik Lukman akan datang berdua. Saya ingat tadi, Tuan Maliki pergi tandas dulu ke. Kalau awal-awal cakap sorang, tak adalah saya tunggu macam tu. Bukan sebab dia dah kahwin atau belum. Tapi, dia klien kami," jelas Tiani.
Dapat dengar suara yang menahan geram. Pandai aje lelaki ini kata dia macam tu. Dia bukan penyondollah nak sondol milik orang.
Lukman toleh ke kiri. Menyembunyikan senyum. Aduhai... Apalah watak sebenar wanita ini? Adakala seperti begitu jinak. Nak kata jinak merpati juga tidak. Usah kata nak ditangkap, nak minta makan di tangan juga tak dapat. Sekarang, dia dapat lihat wajah keras Tiani dek usikannya.