Bab 11

202 15 0
                                    

SATU persoalan yang sangat mengganggu tenangnya sekarang adalah tentang kejadian di KLIA. Bukan yang hari ini, tapi yang hari tu. Apakah wajahnya adalah seraut wajah yang susah diingat dan begitu mudah dilupakan? Apakah wajahnya tidak langsung meninggalkan bekas pada ingatan wanita itu?

Haih... Tak sedar, Lukman mengeluh. Menggeleng kecil. Cuba menolak persoalan demi persoalan yang dikait di dalam kepalanya. Tak pernah-pernah dalam hidupnya dia membiarkan dirinya terlilit dengan persoalan begini. Jika dulu, rasa tak beri manfaat langsung. Membazir sumber fikiran. Tapi sekarang, tak pula rasa membazir.

Dalam tak sedar dia koyak senyum pula. Sebelah keningnya terjongket. Dia tak sabar nak tengok. Masalah itu akan tewas atau dia yang perlu mengalah.

"Kenapa?"

"Kenapa, bos?" soalnya kembali bila soalan itu diaju.

Lukman mengerling pada Maliki yang ada di sebelah. Nampak penat. Kali ini, dia tak dapat nak ikut Maliki kerana urusan dengan wakil Dato' Talhah ini.

"Sejak tadi aku tengok kau kejap kerut kening, kejap senyum. Lepas tu, geleng-geleng. Macam ada yang tak kena. Kau ada masalah ke, Luk?" soal Maliki, berterus-terang.

Rasanya, sejak Alif pergi... Lukman makin payah nak senyum jauh sekali bermesra. Dia hanya boleh lihat Lukman senyum bila bermain dengan anak-anaknya dan juga anak buah sendiri. Selain itu, wajahnya sentiasa serius. Boleh jadi kerana bekerja dengan dia yang keras suatu ketika dahulu, Lukman tak ubah seperti mengikut jejaknya.

"Ada masalah, kau kena cakap dekat aku, Luk. Apa aje," pinta Maliki. Wajahnya jelas berlumur gundah.

Bukan sekali dia cakap tentang perkara ini, tapi kerap kali. Dia sudah tidak mampu kehilangan. Cukuplah Alif seorang yang pergi dalam keadaan begitu. Demi isterinya. Wanita yang dia cinta hingga akhir usia.

"Aku harap kau boleh terima apa yang dah jadi. Aku sendiri pun dah terima. Susah tapi itulah kehidupan."

Buat seketika, Lukman koyak senyuman tawar. Dia tahu apa yang Maliki mahu sampaikan. Dia sendiri juga dah lama terima kepergian Alif. Tapi, Maliki dah salah faham. Dia sendiri juga salah faham pada dirinya sekarang.

"Yang tu saya sendiri dah lama terima. Bos jangan risau..." nafi Lukman.

"Mana aku tak risau kalau kau sekejap kerut kening, sekejap senyum. Aku risau kau gila. Aku tak nak cari lawyer dan PA lain. Susah dah nak ajar." Maliki senyum senget.

Lukman mengerling tajam. Maliki ketawa.

"Aku gurau aje." Maliki juga ketawa. Jarang-jarang nampak Lukman menjeling.

"Tapi, betullah. Aku rasa kau memang ada masalah. Tak pernah aku tengok kau macam orang sasau sejak aku kenal kau ni. Apa yang dah buat kau nampak sasau ni?" Dia letakkan tangan di atas bahu Lukman.

Sekali lagi, Lukman mengerling pada Maliki sebelum mata beralih semula ke jalan raya. Perlu ke dia beritahu Maliki? Biasanya dia tak pernah sorok apa-apa daripada Maliki. Cuma, perkara ini tak pernah ada dalam hidupnya. Tapi, memikirkan kisah cinta derita Maliki yang rasanya sehingga kini menjadi cerita rakyat, mungkin Maliki ada jawapan pada persoalannya.

"Bos rasa, rupa saya ni mudah dilupakan ke?"

"Eh, rupa kacak macam ni, siapa boleh lupa?" jawab Maliki, dalam soalan.

Apa jenis soalan yang Lukman tanya ni? Tak pernah-pernah pun terpacul soalan pelik-pelik ini daripada pembantu setianya ini.

"Lagipun, aku ambik kau bekerja dengan aku sebab kau yang paling kacak. Selain kau memang boleh buat kerja. Aku memilih pekerja. Nak yang kacak aje." Kali ini, Maliki sengih.

Lukman tak beri reaksi. Melihat Lukman demikian, Maliki tahu Lukman serius. Dia tegakkan duduk. Berdeham panjang.

"Jujurnya, aku tak faham dengan soalan kau ni," akui Maliki.

Fuh... Lukman lepas nafas pendek mendengarkan pengakuan Maliki.

"Contohlah. Bos terserempak dengan saya. Lepas tu berdiri lama depan saya. Rapat. Macam peluk saya. Dalam lima minit macam tu. Beberapa hari lepas tu, bos jumpa saya lagi sebab urusan lain. Adakah bos akan ingat saya? Atau bos memang lupa? Atau akan buat-buat lupa?"

Seperti yang dia telah, Maliki sendiri termangu dengan soalannya. Lelaki itu tunak memandang ke depan. Tiada tanda untuk membuka mulut. Jauh sekali memberi jawapan.

"Mestilah aku ingat. Rupa macam kau ni, tak mudah dilupakan. Berdepan dalam seminit pun, boleh ingat. Inikan... Apa kau cakap tadi?" Maliki seperti salah dengar tadi. Itu yang fikirannya tergendala seketika.

"Berpeluk?" Mata kuyu Maliki bulat.

"Eh... Tak adalah. Saya kata macam. Saya cuma nak gambarkan yang kedudukan tu rapat." Lukman betulkan tanggapan Maliki.

"Itu lagilah. Memang akan ingatlah. Lagipun, lepas beberapa hari aje jumpa balik. Bukan beberapa tahun. Yang banyak tahun pun boleh ingat. Ini beberapa hari. Tipu sangatlah tak ingat. Jadinya, aku pilih yang ketiga. Iaitu, buat-buat lupa."

"Kan?" sahut Lukman laju. Bersetuju.

Anehnya, kenapa Tiani tak ingat dia langsung? Dia bukan nak perasan, tapi memang raut dia susah dilupakan. Bukan sekali dua dia dikejar wanita-wanita di luar sana. Hanya dia tak layan. Memang tak berminat. Apakah sesuatu yang telah terjadi, menyebabkan Tiani begitu mudah lupa akan pertemuan yang dramatik tu?

"Haaa, tengok... Kerut kening lagi. Kau memang ada masalah ni," komen Maliki.

"Masalah ni masalah saya cari sendiri, bos," jawabnya bersahaja.

Mendengarkan jawapan Lukman, Maliki pandang sisi wajah itu lama. Lukman terus tenang memandu. Tak pernah lagi Lukman cari masalah melainkan tugasnya menyelesaikan masalah orang. Masalah dan Lukman adalah seteru. Tak akan selari. Tak akan bersama. Lukman akan hindari segalanya yang bakal menjadi masalah.

Dia juga sama. Hanya satu sebab sahaja yang menjadikan lelaki seperti mereka sanggup galas masalah itu.

"Kau jatuh cinta ke, Luk?" soal Maliki, tiada lapik.

"Saya syak benda sama jugak," jawab Lukman dengan wajah tidak beriak.

Sepertinya, jawapan pada persoalan Maliki itu bukanlah sesuatu yang penting.

Maliki kerut kening seketika. Pengakuan itu sangat mengejutkan. Tapi, riak wajah Lukman itu lebih mengejutkan. Jatuh cinta, tapi macam terjatuh dalam masalah. Well... Rasanya dia kena akui, cinta itu memang ada masalahnya.

"Bukan syak. Tapi tidak syak lagi. Kau memang jatuh cinta," balas Maliki dengan senyuman lebar.

"Tapi, kenapa muka ketat sangat?" Biasanya orang jatuh cinta ni wajah akan berbunga. Musim sejuk pun akan jadi musim bunga.

"Jatuh cinta tapi rupa macam orang jatuh longkang aje," sela Maliki, memerli.

"Sebab saya tak biasa cari masalah..." jawab Lukman, jujur. Maliki tahu itu.

"Luk..." Maliki angkat tangan. Diletak di atas bahu Lukman. Ditepuk perlahan.

"Jatuh cinta ni... kau tak cari pun, dia akan datang sendiri. Tak kira masa, atau sesiapa aje dan di mana pun. Kau tak boleh elak. Inikan fitrah kejadian. Cuma aku nak tahu, kau jatuh cinta pandang pertama ke?" soalnya lagi dengan senyuman yang masih bergayut pada bibir.

Lukman senyum. Mengerling pada majikannya seketika.

"Masalahnya sekarang, kali kedua pandang pun, masih jatuh cinta..." jawab Lukman. Tenang dan meyakinkan.

Lukman toleh pada Maliki yang gamam.

Masalah betul...

Anak Perempuan Dato' PengarahWhere stories live. Discover now