MATA dijulingkan ke atas. Penatnya dengar pertanyaan macam ini. Kalau dulu, tidaklah sekerap ini dan tidak juga seperit ini untuk didengar. Tapi sejak abang kahwin, makin menjadi-jadi.
Macamlah dia jadi mangsa langkah bendul. Mana ada istilah langkah bendul kalau dengan abang. Bukan kakak. Lagipun, dia juga ikut konsep abangnya. Tak rushing. Cepat-cepat nak ke mana?
Benar usia sedang meningkat. Kawan rapat semua dah ada anak dua. Dia pula masih sendirian. Seperti langsung tak risau apa-apa. Kenyataannya, memang tak pernah risau pun. Jodoh ni kan, kalau belum tiba waktu... kejarlah pakai F1 pun, tak akan dapat juga. Andai dah tiba masa, maka larilah selaju arnab pun, kura-kura juga akan di depan.
"Kenapa tu?" Mama menegur bila melihat sejak tadi, wajah anak perempuannya berkerut.
"Apa yang kenapa?" Tiani terkebil-kebil memandang mama. Terkejut dengan soalan yang tiba-tiba dan dengan kemunculan mama.
Entah bila mama ada di depan mata, tak tahulah.
"Mata tu ha... Sejak tadi mama tengok macam nak juling. Apa yang tak kena?" Dato' Talhah juga turut sama kerutkan kening. Tak tenang betul dengan budak Tiani ni.
"Tak ada apalah." Tiani menafikan sambil mengerdipkan mata beberapa kali. Tak perasan pulak dia dok julingkan mata sampaikan mama perasan.
Dato' Talhah memandang wajah Tiani. Jawapan tak selari dengan riak wajah. Mulutnya herot ke kiri dan kanan mencari jawapan kenapa budak banyak mulut ini tiba-tiba aje jadi pendiam beberapa hari ini. Ada masa lepas balik dari kerja, Tiani berkurung di dalam bilik. Nak-nak lepas kenduri kahwin Taufiq.
"Kenapa mama pandang Tia macam tu?" Dia sengetkan wajah. Memandang mama dengan ekor mata.
"Tia macam dah berubah sejak Abang Fiq kahwin," komen Dato' Talhah.
"Mana ada..." Tiani pantas menafikan.
"Atau mama nampak Tia dah gemuk ke?" soalnya sambil menepuk pipi. Matanya bulat. Wajahnya sedikit pucat.
"Bukan pasal tu." Memanglah tipikal wanita. Pantang lepa orang cakap berubah, mesti pasal fizikal.
"Kalau gemuk kurus ni, mama tak pernah nak kesah. Tapi, hal lain." Mama merenung wajah jelita di depan mata.
"Tia macam tak gembira aje sekarang," komennya, jujur.
"Agaklah tak gembira. Jarang-jarang boleh jumpa semua orang. Abang Fiq dah bawa isteri dia pergi Lumut. Teratai Nur dengan Lailatul pulak, biasalah sibuk dengan keluarga. Hai..." Tiani menelangkupkan wajahnya di atas kitchen island.
Dia tidak bersedih kerana mereka semua telah temui jodoh dan bahagia masing-masing. Dia sedih hanya kerana terlalu rindu.
"Abang Fiq tu... kedekut bini!" Dia angkat wajah. Mencebik lebar.
Dato' Talhah yang baru sahaja hirup teh O panas itu, terbatuk kecil. Hampir tersedak dibuatnya dengan kata-kata Tiani.
"Apa cakap abang gitu?" tegur Dato' Talhah dengan pandangan tajam.
"Betullah." Tiani sengih. Seperti biasa, tanpa rasa bersalah.
"Punyalah payah dia nak lepas Nees balik kampung sendiri. Bukan susah pun. Ada orang ambik. Kita ada kat kampung. Dia punya protective tu, eee... Tia riii... mas..." Tiani sengaja membuat suara jengkel seraya menyelak rambutnya yang ada di bahu.
Kali ini, Dato' Talhah tak boleh tak ketawa. Ada bau cemburu ni.
"Kenapa? Tia rasa nak kahwin jugak ke? Dah ada calon? Nak mama carikan?"