PEMANDUAN agak perlahan memandangkan hujan masih lebat. Tapi, syukurlah jalan tidak sesak. Dalam setengah jam sahaja lagi mereka akan sampai ke KLIA. Berkali-kali Tiani menolak, dia tetap berkeras.
"Encik hantar saya dekat KL Sentral pun dah okey tadi..."
"Saya nak hantar ke KL Sentral juga. Tapi, itulah. Sebab stereng dekat tangan saya dan pedal minyak dekat kaki saya, jadi... saya terus ke KLIA ajelah..." jawab Lukman, bersahaja.
Eleh... Lelaki ini. Betullah tanggapan pertama dia bila membaca nama Lukman pada kad nama yang mama bagi hari tu. Bukan hanya lawyer. Tapi, lebih kepada loyer buruk.
"Saya nak jemput bos saya sekali. Alang-alang ni, saya pergi terus. Saya tumpangkan cik sekali. Rasanya, ini lebih selamat untuk cik..."
"Dalam kereta ni?" tanya Tiani, mengerling pada Lukman.
"Kereta ke... tepi jalan ke... airport ke... tak kesahlah." Lukman memberi petanda. Dia kerling Tiani namun wanita ini masih dengan riak tenang. Tak mengerti apa-apa.
Dia senyum. Lega. Tak ada dah riak takut tu. Warna kulit pun dah kembali cantik. Putih kemerahan.
"Asalkan ada bersama saya," jawabnya.
Seperti biasa, Tiani akan kerutkan dahi. Tak faham. Dia pandang Lukman mencari jawapan tapi bila lelaki itu nampak serius dan fokus pada pemanduan, dia jongket bahu sendiri.
Apa-apa ajelah. Asalkan dia selamat. Dia dah tak sabar nak balik. Ikut hati, dia nak paksa mama datang dan temankan dia balik. Tapi, mama juga ada urusan lain. Dia juga bukan anak kecil.
Setelah hampir satu jam pemanduan, Lukman membelok masuk ke Mitsui Outlet. Dia toleh Tiani seraya membuka tali pinggang keledar.
"Saya keluar sekejap, ya. Cik Tiani, boleh tunggu sekejap, kan? Saya janji sekejap aje. 10 minit..." Dia koyak senyum.
Pada mulanya Tiani mahu membantah tapi siapalah dia untuk terus mengada-ada. Lelaki ini sudi hantar dan tumpangkan dia juga sudah cukup bagus. Lantas, dia angguk beberapa kali.
"Saya janji... 10 minit aje..." Sekali lagi, Lukman utarakan janji.
Kali ini, Tiani senyum tawar. Mudah sungguh lelaki ini berjanji akan sesuatu yang tidak pernah pasti.
"Kalau lebih 10 minit?" soalnya. Sekadar mahu berbahasa.
"Saya ganti seumur hidup."
Tiani telan liur dengan jawapan Lukman. Kemudian kebam bibir dan terus keluar dari kereta. Tiani raup wajah. Menarik nafas dalam dan menghembusnya perlahan. Dia pejamkan mata seketika dan dia tak sedar sepuluh minit itu benar-benar berlalu dengan pantas bila dia lihat Lukman sedang berlari semula ke kereta.
Lelaki itu sedikit mengah saat masuk ke dalam kereta.
"Alamak..."
Tiani menoleh bila dengar suara Lukman.
"Kenapa?" Risau pulak dengan intonasi lelaki ini. Dia toleh kiri dan kanan. Tiada apa yang aneh.
"Saya cuba untuk 10 minit tapi nampaknya jadi 12 minit. Saya lewat 2 minit. Macam mana?" soalnya seraya menoleh pada Tiani yang sedang kerut kening.
"Oh, 2 minit aje. Tak apa..." balas Tiani, tenang. Ingatkan apalah tadi.
"Tak boleh. Kan tadi kalau kata lebih 10 minit ada hukuman tu."
"Tak apa. Saya tak kesah..."
"Saya kesah," nafi Lukman, pantas.
"Saya akan hukum diri sendiri untuk itu..." Lukman pasang tali pinggang keledar. Tidak lagi bersuara. Hanya teruskan pemanduan. Membiarkan Tiani terus berkerut dahi sana sini.
![](https://img.wattpad.com/cover/376337747-288-k993160.jpg)