Bab 58

70 1 0
                                        

"Angah, datang rumah Uncle Is sekarang. Isha... Ada kecemasan,"

Emir memandu dengan laju, hatinya penuh dengan keresahan. Destinasinya kali ini adalah rumah Isha, tempat di mana sesuatu yang lebih besar daripada sekadar pertemuan sedang menunggu. Datuk Emran, bapa Emir, telah menghubunginya pagi tadi, memintanya datang segera kerana ada kecemasan. Namun, tiada penjelasan lanjut diberikan. Setibanya di rumah Isha, dia langsung terkejut melihat suasana di dalam.

Pelamin yang dihias cantik terletak megah di ruang tamu rumah Isha. Emir terhenti seketika, perasaannya bercampur-baur antara kekeliruan dan kemarahan. Dia memandang sekeliling, tetapi Isha tidak kelihatan di mana-mana. Datuk Emran dan Iskandar, ayah kepada Isha, berdiri dengan wajah penuh kegelisahan, tetapi mereka tidak bersuara.

"Kenapa dengan Isha, pa?" soal Emir. "Apa semua ni? Pa? Uncle Is?" sambung Emir lagi.

Beberapa lelaki datang menghampiri Emir, memintanya ikut mereka ke sebuah bilik di tingkat atas. Emir cuba bertanya apa yang sedang berlaku, tetapi tiada jawapan diberikan. Hanya arahan untuk dia mandi dan bersiap. Emir semakin keliru dan mula merasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Ketika dia hendak keluar dari bilik untuk meminta penjelasan, dua lelaki bertubuh sasa berdiri di hadapan pintu, menghalangnya.

"Maaf Encik Emir, saya Amsyar, PA Tuan Iskandar."seorang lelaki tiba-tiba muncul di muka pintu cuba untuk masuk ke dalam bilik.

"Awak nak apa? Apa berlaku ni? Mana Isha?" bertubi-tubi soalan diberikan namun Amsyar tidak menjawab. Sebaik sahaja pintu bilik ditutup, riak wajah Amsyar yang tadinya tenang berubah.

"Maaf Encik Emir, saya kena siapkan Encik Emir untuk majlis pernikahan..."

"Pernikahan?" suara Emir sedikit tinggi menyebabkan Amsyar terkejut.

Amsyar angguk. "Saya cuma ikut arahan Datuk dengan Tuan Iskandar. Tolong ya Encik Emir, kegembiraan Atok saya di tangan Encik Emir. Saya minta sangat Encik Emir beri kerjasama," Amsyar senyum tawar.

"Amsyar, apa sebenarnya yang berlaku? Mana Isha?" tanya Emir, cuba memahami situasi yang semakin pelik ini. Amsyar diam.

"Jangan kata yang awak pun diugut juga?" mereka bertentangan mata seketika.

Amsyar mengangguk perlahan, matanya menunjukkan kesedihan. "Ya. Atok saya Ketua security guard dekat Jutaya Holdings (JH). Kalau saya tak buat apa yangDatuk dengan Tuan suruh, dia orang akan berhentikan atok saya. Atok saya dah berpuluh tahun kerja dekat JH, dan dia sayang sangat dengan tempat kerja tu. Saya tak sampai hati nak biarkan dia dikhianati."

Emir menarik nafas panjang, cuba menahan marahnya. "Awak tak perlu buat semua ni, Amsyar. Saya akan selesaikan semuanya."

Emir mulai merencana sesuatu dalam otaknya. Dia masuk ke bilik mandi, membersihkan diri dengan perasaan yang semakin tidak keruan. Sebaik keluar, Amsyar sudah menyiapkan pakaian berwarna putih untuk Emir. "Pakai ni, Encik Emir," katanya.

Setelah berpakaian, Emir memandang Amsyar dengan serius. "Awak ada nampak Isha?"

Amsyar mengeleng. "Tadi, sebelum Encik datang, Cik Isha dan Tuan Iskandar bergaduh di bawah. Cik Isha ugut nak lari kalau Tuan Iskandar nak teruskan juga. Saya diarahkan untuk kunci bilik Cik Isha supaya dia tak boleh lari,"

"Saya nak jumpa dia," kata Emir tegas, nada suaranya mencengkam ketegangan yang menyelimuti situasi ini. Dia segera membuka pintu, cuba melangkah keluar, tetapi lelaki-lelaki berbadan sasa yang menjaga pintu menghalangnya.

"Saya nak jumpa bakal isteri saya!" kata Emir dengan tegas, akhirnya dua lelaki itu memberikan laluan.

Amsyar mengekori Emir sambil mengambil kunci dan membuka pintu bilik Isha. Sebaik pintu terbuka, Emir melangkah masuk ke dalam bilik, matanya segera tertancap pada Isha yang terbaring lemah di atas katil. Wajahnya pucat, dan dia kelihatan sangat tidak berdaya.

Tak kan Pernah Ada (Completed)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang