BAB 5

58 19 0
                                    

Pagi yang cerah menyelimuti bandar. Reina mengambil sedikit masa untuk keluar dari rutinnya yang biasa. Setelah semalam yang penuh dengan kekacauan, dia memutuskan untuk singgah di Luth's Cafe yang terletak tidak jauh dari kedai bunganya, tempat yang tampak tenang dan menyegarkan.

Aroma kopi yang baru dibancuh dan bunyi lembut perbualan pelanggan lain menyambutnya sebaik sahaja dia melangkah masuk. Reina merasa lega, seperti dapat menarik nafas dalam-dalam dan meninggalkan sebentar segala kesulitan yang telah mengganggu fikirannya.

Reina duduk di sudut kafe dengan secawan kopi dan novel kegemaran di tangan, menikmati ketenangan pagi yang sejuk.

Suasana kafe yang tenang, dengan bunyi lembut alunan muzik latar dan desiran mesin kopi, membantu meredakan tekanan dalam dirinya. Dia membiarkan dirinya tenggelam dalam dunia cerita yang dibacanya, merasakan setiap hirupan kopi sebagai satu bentuk pelepasan daripada kekacauan yang dialaminya semalam.

Sejenak, Reina merasa seperti berada di tempat yang aman, jauh dari segala masalah dan kesulitan yang membelenggu hidupnya.

Tiba-tiba, pintu kafe terbuka dan seorang lelaki tinggi dengan kot mahal masuk.

Rayyan!

Reina terkejut melihat Rayyan melangkah masuk ke kafe tersebut. Dia tidak menyangka akan bertemu lelaki itu di sini. Rayyan, dengan gaya elegannya, menarik perhatian ramai orang di dalam kafe. Reina memerhatikannya seketika sementara Rayyan melangkah ke kaunter.

"Kopi hitam satu, tak nak gula, tak nak susu. Dengan.. apa nama makanan yang nampak macam roti tapi bukan roti?" Rayyan bertanya dengan penuh keyakinan, tetapi barista di kaunter jelas keliru.

"Err... croissant?" Jawab barista sambil cuba menahan ketawa.

"Hah, tu maksud saya. Terima kasih." Katanya dengan wajah penuh kepuasan seolah-olah baru menyelesaikan masalah dunia.

Reina tidak dapat menahan diri daripada tersenyum kecil melihat gelagat Rayyan.
Keadaan yang sebelum ini tenang kini bertukar menjadi lebih ceria dengan kehadiran Rayyan dan caranya yang humoris.

Ketika Rayyan menoleh ke arah ruang dalam kafe mencari tempat duduk, pandangannya secara tidak sengaja bertembung dengan Reina. Tanpa sebarang amaran, dia melangkah mendekati meja gadis itu dan duduk di depannya.

"Tak sangka boleh jumpa awak dekat sini." Kata Rayyan penuh selamba, tanpa menunggu sebarang jawapan.

Reina tergamam sejenak, namun dia hanya membiarkan lelaki itu duduk di depannya tanpa sebarang bantahan.

"Rayyan, saya.."

"Sama! Saya pun lagi suka tempat yang sunyi." Potong Rayyan dengan pantas sambil melonggarkan tali lehernya.

Reina memandangnya, bingung dengan keberaniannya, tetapi ada sesuatu yang melucukan tentang lelaki di hadapannya ini.

"Awak memang selalu buat macam ni ke? Duduk dekat meja orang sesuka hati?" Soal Reina sambil mengangkat kening.

Rayyan hanya mengangkat bahu dengan santai sebagai jawapan.

"Bila saya rasa saya takkan dihalau. Tapi kalau dari muka awak, saya yakin yang awak takkan halau saya." Jawab Rayyan.

Reina tergelak kecil.

"You're right. Lagi pun saya memang nak jumpa awak." Kata Reina.

"Awak nak jumpa saya?" Soal Rayyan kembali sambil mengangkat kening.

Reina mengangguk.

"Saya nak cakap terima kasih sebab dah tolong selamatkan saya." Jawab Reina dengan tenang, namun masih menunjukkan rasa terhutang budi.

FORGIVING THE FLAMEWhere stories live. Discover now