Pagi itu, sinar matahari mula menembusi tingkap bilik Reina, memercikkan cahaya ke seluruh sudut ruang yang sederhana namun penuh dengan sentuhan peribadinya. Tumpukan buku di meja sebelah katil, beberapa pasu kecil dengan bunga-bunga yang dia sendiri tanam, dan langsir berwarna pastel yang bergerak perlahan ditiup angin, semuanya mencerminkan wataknya yang tenang namun berjiwa kreatif.
Reina perlahan-lahan membuka matanya, masih terasa letih setelah bekerja sepanjang hari di kedai bunga semalam. Dia menoleh ke arah jam loceng di sebelah katil. Jam menunjukkan pukul 7:30 pagi.
Reina menghela nafas perlahan, bangkit dari katil dan terus menuju ke dapur untuk membuat kopi. Bunyi air yang mendidih mengisi keheningan pagi itu, sambil dia bersandar di kaunter dapur, matanya merenung kosong ke arah luar tingkap yang menghadap halaman kecil di belakang rumah. Di situ, beberapa pasu bunga yang dia gubah sendiri tersusun rapi, memberikan suasana yang segar dan tenang.
Saat dia menghirup kopi perlahan-lahan, tiba-tiba terdengar suara seretan kaki di belakangnya. Suara yang sudah lama dia kenali, dan sebolehnya ingin dia elak.
"Kau ingat kau boleh hidup selesa macam ni selamanya ke?"
Reina tersentak, hampir terlepas cawan kopinya. Dia berpaling dan melihat Puan Sharifah. Wanita itu berdiri di ambang pintu dapur, memandang Reina dengan senyuman sinis yang membuatkan darah Reina berdesir. Mata Puan Sharifah tajam, penuh dengan rasa iri hati yang tidak pernah cuba dia sembunyikan.
"Maksu.. Reina tak perasan yang maksu dah bangun." Kata Reina, cuba mengawal nada suaranya agar kekal tenang.
"Macam mana nak perasan kalau asyik dengan dunia kau sendiri je. Dengan kedai bunga kau tu."Kata Puan Sharifah dengan nada mengejek.
Reina mengetap bibir, menahan diri daripada membalas kata-kata itu.
Sejak dahulu lagi, Puan Sharifah memang tidak pernah suka dengannya. Setiap kali ada peluang, pasti wanita itu akan menekan Reina, seolah-olah gembira melihatnya tertekan.
"Kedai bunga tu tempat Reina kerja, maksu. Reina buat apa yang Reina boleh untuk sara kita semua." Jawab Reina dengan suara yang lebih perlahan, cuba mengawal emosi.
Puan Sharifah menghampiri meja, tangannya bermain-main dengan bunga yang disusun di dalam pasu di tengah-tengah meja makan.
"Kau fikir dengan kedai bunga bodoh kau tu, kau boleh bayar semua ni? Rumah, bil, tu barang-barang dekat dapur tu dah nak habis dah. Ke kau memang nak biarkan aku ni mati kebulur?" Kata Puan Sharifah lagi.
Reina menghela nafas panjang, cuba menahan rasa marah yang mula membuak. Dia tahu, perbualan seperti ini akan berakhir dengan Puan Sharifah cuba menyalahkan dia.
"Maksu..." Reina cuba bersuara, tetapi Puan Sharifah memotongnya.
"Aku dah bosan tengok kau hidup macam ni. Makan tidur, kerja kat kedai bunga tu, dan ingat semua boleh selesai dengan senang. Kau patut cari kerja yang betul. Bukannya main-main dengan bunga!" Tempik Puan Sharifah.
Reina terdiam, menggenggam cawan kopinya lebih kuat, cuba menahan air mata yang mula menggenang di kelopak mata. Dia tahu ini adalah perbualan yang tidak ada akhirnya. Puan Sharifah tidak pernah puas hati dengan apa sahaja yang dia lakukan.
"Kalaulah ayah kau masih hidup, mesti dia malu tengok anak dia hidup macam ni." Tambah Puan Sharifah dengan nada sindiran yang sangat menyakitkan.
Kata-kata itu memukul Reina tepat di hatinya. Tangannya menggeletar sedikit, namun dia segera menenangkan dirinya.
"Maksu, Reina cuba.. Reina cuba buat apa yang Reina mampu." Reina berkata dengan suara yang rendah.
Puan Sharifah mendengus, berbalik badan dan menuju ke ruang tamu.
YOU ARE READING
FORGIVING THE FLAME
Romance"You shouldn't love someone like me. I'll only hurt you, break you." - Reina Madiyya - "Whatever you've done, whatever you think makes you unlovable, I don't care. I'm here, and I'm staying." - Rayyan Hazell Ruzain -