BAB 19

42 15 0
                                    

Reina duduk di tepi tasik, angin sepoi-sepoi menyapa wajahnya yang kelihatan penuh dengan bebanan perasaan. Air tasik yang tenang di hadapannya seolah-olah bertentangan dengan segala kekusutan yang bersarang di dalam fikirannya. Matanya fokus pada riak-riak halus di permukaan air, tetapi fikirannya jauh melayang, menimbang-nimbang segala yang berlaku akhir-akhir ini.

Dia tahu perasaannya terhadap Rayyan semakin mendalam, tetapi pada masa yang sama, dia ragu. Dia rasa tidak layak, rasa penuh dengan kekurangan, semuanya menambah rasa berat di bahunya.

Tiba-tiba, seorang wanita muncul di hadapannya, membawa kamera di tangan. Wanita itu menghampiri Reina dengan langkah perlahan, wajahnya tersenyum ramah. Reina memandang dengan sedikit hairan.

Wanita itu berdiri di hadapannya, kemudian mengeluarkan isyarat tangan. Dia tidak bersuara, hanya memegang kamera sambil menunjuk ke arah Reina dengan isyarat tangan lain yang jelas meminta izin.

Reina memandangnya sejenak, menyedari bahawa wanita itu bisu. Dengan hati-hati, Reina tersenyum kecil dan mengangguk, memberi kebenaran untuk wanita itu mengambil gambarnya.

Wanita itu tersenyum lebar, lalu mengangkat kameranya dan mula mengambil gambar Reina.

Setelah selesai, dia menghulurkan sekeping hasil gambar tersebut kepada Reina. Gambar itu masih gelap, menunggu untuk berkembang dengan jelas. Reina memandang gambar itu dengan rasa ingin tahu, sementara wanita itu memberi isyarat tangan 'terima kasih' sebelum beredar pergi.

Reina menunggu beberapa detik, memerhatikan perlahan-lahan gambar tersebut semakin jelas. Namun, tiba-tiba matanya terbeliak terkejut. Dalam gambar itu, dia tidak keseorangan. Di belakangnya, ada seorang lelaki berdiri, memegang sejambak bunga.

Ketika Reina menoleh, hatinya terhenti sejenak. Dia terdiam, melihat sosok seorang lelaki yang berdiri tidak jauh dari situ. Seseorang yang membuat jantungnya berdegup kencang.

Rayyan.

Dia memegang sejambak bunga lotus dan aster, kombinasi yang cantik dan bermakna. Setiap kelopak bunga yang dipegangnya seolah-olah mewakili sesuatu yang lebih dalam.

Dia menghampiri Reina, senyumannya lebar tapi penuh makna.

"Awak tahu tak maksud bunga-bunga yang saya pegang ni?" Tanya Rayyan, sambil menunjukkan sejambak bunga yang menghiasi tangannya.

Reina hanya diam, memandang bunga-bunga itu tanpa mengeluarkan sepatah kata pun. Setiap kelopak yang berwarna-warni mengingatkan dia pada pelbagai emosi yang berkecamuk dalam dirinya.

Rayyan tersenyum kecil, memahami kesunyian Reina.

"Bunga lotus ni melambangkan kekuatan dan keupayaan untuk bangkit dari kesukaran. Ia tumbuh di tempat yang berlumpur, tapi tetap mekar dengan indah. Macam awak. Mungkin awak dah lalui banyak benda yang menyakitkan, tapi awak tetap bertahan dan berusaha untuk bangkit." Kata Rayyan dengan nada lembut.

Dia memandang Reina dengan penuh penghayatan, berharap agar kata-katanya dapat memberikan sedikit harapan dan semangat kepada gadis itu.

Reina menatap bunga-bunga itu, dan mendengar setiap kata Rayyan dengan hati yang terbuka.

"Aster pulak, ada simbol cinta dan kesetiaan. Ia mengingatkan kita bahawa cinta sejati tak mengenal batasan, tak kira latar belakang atau apa yang kita dah lalui. Cinta ni memberi kita kekuatan untuk terus maju dan saling menyokong." Sambung Rayyan lagi.

Dia melangkah lebih dekat, matanya tidak pernah meninggalkan wajah Reina.

"You mean more to me than you can imagine, Reina. My love for you is not just a passing feeling. It's something I want to nurture and cherish." Suara Rayyan penuh dengan ketulusan.

FORGIVING THE FLAMEWhere stories live. Discover now