Datin Rose memerhatikan Chempaka Elana yang duduk bertentangan dengannya di sebuah kafe mewah itu. Suasana di dalamnya sedikit sunyi. Namun, rasa tidak nyaman menguasai gadis muda itu.
Gelisah.
Setiap gerak geri, ibu mertuanya penuh dengan kesopanan. Tetapi, mata wanita yang berusia 40-an itu menyimpan dingin yang sukar untuk ditafsir.
"Chempaka Elana, saya hendak bincang tentang sesuatu perkara yang sangat penting." Datin Rose memulakan perbualan di antara mereka.
Suaranya tenang tetapi tegas.
Chempaka Elana pula, hanya mendiamkan diri. Menelan liur. Dia tahu, pertemuan kali ini bukan pertemuan yang biasa. Selama dia menjadi menantu kepada Datin Rose, bisa di kira dengan jari berapa kali mereka pernah bertemu di antara satu sama lain.
Jangankan berjumpa. Hendak berbicara dengan sebegini serius, amat jarang. Namun, dia dapat meneka topik perbualan mereka tentang sang suami.
Dia yakin, tentang itu.
"Datin... Nak bincang tentang apa?" soal Chempaka Elana, cuba untuk tidak gugup.
Walaupun, hakikatnya hatinya sedang bergelora.
"Rais, anak saya. Saya nak kamu tinggalkan dia." Jawab Datin Rose tanpa rasa bersalah.
Chempaka Elana terkejut. Dia mengerutkan dahi, langsung tidak menyangka permintaan daripada mulut sang ibu mertua. Jika ditanya, masih adakah seorang ibu yang tidak bisa melihat kebahagiaan seorang anak?
Jawapannya, ada. Datin Rose. Demi kepuasan hati. Dia sanggup memisahkan Chempaka Elana dan Rais Andika. Asalkan mereka berpisah. Datin Rose akan bahagia.
"Maksud Datin? saya kurang faham." kata Chempaka Elana, berpura-pura tidak mengerti akan maksud sebenar ibu mertuanya.
"Kamu berpura-pura tidak faham atau kamu memang tak faham? pendek kata, saya nak anak saya semula kembali ke pangkuan saya. Saya nak Rais Andika semula." Kata Datin Rose lagi dengan selamba.
Ya, dia tahu. Dia yang mengahwinkan mereka berdua. Dia juga, telah membuang sang anak secara halus. Namun, itu dulu. Ketika itu, dia tidak menyangka sang anak akan sembuh semula. Sekarang, dia yakin bahawa Rais Andika akan sihat dan tunduk kepadanya kelak, andai dia merawat sang anak berbanding si isteri.
Dia bisa melihat, air muka menantunya berubah. Namun, dia langsung tidak peduli. Tujuannya, hanya satu. Dapatkan semula, satu-satunya anak lelaki yang dia ada, yakni Rais Andika.
"Kenapa sekarang, Datin?" soalnya ingin tahu.
"Jawapannya mudah, anak saya dapat disembuhkan jika dengan rawatan yang tepat. Jadi, saya nak anak saya semula. Saya yakin, Rais akan cepat sihat, jika dia dibawah jagaan saya. Dan, akan terus menderita, jika dia terus bersama kamu." Jawab Datin Rose, mudah.
Chempaka Elana menahan marah. Sebagai seorang isteri, dia yang telah menjaga Rais dengan penuh kasih sayang dan cinta. Melalui, rintagan, mengenali di antara satu sama lain, salah faham dan keletihan untuk melayan kerenah sang suami. Dengan mudahnya, Datin Rose datang lalu meminta ia untuk meninggalkan Rais Andika begitu sahaja?
Bukan itu sahaja, setiap hari dia cuba untuk berikan yang terbaik di dalam merawat sang suami dan berharap suatu hari nanti Rais Andika mampu untuk berdikari. Namun, dengan entengnya ibu mertuanya datang, hendak merampas dengan menggunakan haknya sebagai seorang ibu.
"Datin, saya minta maaf andai kata-kata saya kasar, tapi saya isteri Rais dan saya ada hak ke atasnya." Kata Chempaka Elana pula dengan nada yang sedikit bergetar.
"Lagipun, saya yang selalu ada dengan dia Datin, dari awal dia tidak boleh berjalan dan alhamdulillah, dia akan boleh berjalan semula nanti. Bukan senang, saya nak beri suami saya semula dekat Datin." Katanya lagi, cuba untuk mempertahankan rumahtangganya yang sedang berada di hujung tanduk ini.
YOU ARE READING
CRUEL DESTINY | OG
RomanceEmpat tahun lalu, dia ditinggalkan atas alasan sang wanita lelah dengan keadaan. Chempaka Elana - Seorang gadis yang entah dari mana asal usulnya. Malah, gadis muda yang berusia 21 tahun itu sangat terkenal di dalam dunia model. Rais Andika - Seor...