MULAKAN PERANCANGAN BAB 20

2 0 0
                                    

Aku melangkah ke dalam kawasan sekolah dengan perasaan lega, akhirnya dapat kembali bertugas seperti biasa. Namun, sebaik sahaja sampai di pos keselamatan, aku terasa ada kekosongan yang tak dapat aku nafikan. Hati ini sepi, terasa ada sesuatu yang hilang. Si Comel… dia tak akan berada di sini lagi. Praktikalnya di sekolah ini sudah tamat, dan suasana seakan hambar tanpa kehadirannya.

Suhairi yang sedang duduk di bangku sebelah memandangku dengan kerutan dahi. Dia nampak pelik melihat aku termenung.

"Kenapa senyap je ni, Aiman? Kau ni jarang tak banyak cakap," tegurnya sambil tersenyum sinis.

Aku tersenyum hambar, lalu menjawab perlahan, "Saya rasa... sepi bila Si Comel dah tak ada di sekolah."

Suhairi tergelak kecil, lalu menepuk bahuku dengan kuat. "Kau ni, Aiman! Praktikal dia habis pun kau dah macam patah semangat. Sayang betul, ya?"

Aku menghela nafas dan mengangguk perlahan. Memang aneh, tapi itu yang aku rasa. Keletah Si Comel selalu menceriakan hari-hariku, dan tanpa dia, sekolah ini rasa kosong.

Tiba-tiba, Suhairi teringatkan sesuatu. "Eh, macam mana rancangan kafe tu? Hariz ada cakap apa-apa lagi?"

Aku tersentak sedikit. Dalam rasa sepi, aku hampir lupa tentang rancangan membuka kafe. Semangatku mula menyala kembali, dan tanpa membuang masa, aku mengeluarkan telefon dan menelefon Hariz.

"Hariz, boleh datang ke sekolah kejap? Aku nak bincang pasal kafe kita. Aku rasa dah tiba masanya kita ambil langkah pertama."

Hariz di hujung talian kedengaran bersemangat, dan dia setuju untuk datang ke sekolah dalam setengah jam. Aku menutup telefon, dan perasaan sepi tadi mula beralih ke rasa teruja.

Beberapa ketika kemudian, Hariz tiba dengan senyuman penuh keyakinan. Kami berbincang panjang tentang rancangan kami—dari pemilihan lokasi, menu, dekorasi, hinggalah strategi pemasaran. Aku berkongsi idea untuk jadikan kafe sebagai tempat yang bukan sekadar menjual makanan, tetapi ruang santai bagi sesiapa yang datang.

"Kita boleh buat sudut untuk pelanggan membaca buku atau adakan sesi perkongsian idea. Tempat yang buat orang rasa tenang dan dihargai," kataku sambil membayangkan suasana kafe impian kami.

Hariz mengangguk penuh setuju. "Betul, kita perlu cipta suasana yang unik. Bila ada pelanggan pertama kali datang, mereka akan rasa nak datang lagi sebab suasana kafe tu lain daripada yang lain."

Perbincangan kami semakin panjang, dan setiap idea yang kami lontarkan seolah-olah menghidupkan kembali semangat dalam diri ini. Teringat aku pada janji yang aku buat pada Si Comel; dia akan jadi pelanggan pertama, menikmati setiap hidangan dengan penuh keselesaan. Momen itu nanti pasti akan jadi kenangan manis, tak kira apa jua cabaran yang bakal datang.

Di penghujung hari, aku berasa lebih yakin untuk merealisasikan impian ini. Aku tak sabar nak berkongsi berita ini dengan Si Comel bila ada peluang bertemu lagi.

Dengan senyuman, aku menyusuri hari yang semakin senja, penuh harapan dan tekad untuk merealisasikan impian kafe kami.

Setelah beberapa jam sibuk mengira anggaran kos untuk peralatan, sewa tempat, bahan masakan, dan dekorasi, akhirnya aku dan Hariz berjaya menyediakan bajet kasar untuk kafe kami. Jumlahnya agak besar, tapi kami yakin dengan usaha dan strategi yang betul, kami boleh mencapai sasaran ini. Langkah pertama yang kami rancang adalah menjalankan kempen crowdfunding.

Setelah habis waktu kerja Aku kami duduk bersama di kafe berhampiran, dengan laptop di hadapan dan kertas penuh dengan catatan idea. Hariz membuka laman platform crowdfunding yang kami rancang untuk guna.

“Kita kena pastikan kempen ni menarik perhatian orang ramai,” kata Hariz sambil menaip tajuk kempen kami: “Kafe Impian: Ruang Santai Penuh Kenangan.”

Aku mengangguk sambil berfikir. “Betul, kita kena tonjolkan konsep unik kafe kita. Tempat untuk orang berkumpul, rehat, dan nikmati makanan yang dibuat dengan kasih sayang. Kita boleh buat video pendek juga, terangkan konsep kita dan tunjukkan betapa seriusnya kita dalam projek ni.”

Hariz mengangguk setuju. Kami memutuskan untuk buat video pengenalan — ringkas tapi padat, menerangkan impian kami, memperkenalkan siapa kami, dan bagaimana kafe ini boleh beri kesan positif kepada komuniti.

Beberapa hari kemudian, kami mula rakam video. Hariz berperanan menjelaskan konsep dan potensi kafe, sementara aku menunjukkan kemahiran memasak — buat roti, kek, dan beberapa kuih yang kelihatan menarik di kamera. Kami juga merakam suasana santai yang kami bayangkan akan ada di kafe kami, lengkap dengan dekorasi yang memberi keselesaan dan aura hangat.

Video itu siap diedit dengan baik, penuh dengan visual yang boleh menggambarkan impian kami. Kami memuat naiknya ke platform crowdfunding bersama teks yang menarik:

"Bayangkan tempat di mana anda boleh nikmati makanan yang sedap sambil berehat dengan tenang, membaca buku, atau sekadar meluangkan masa bersama keluarga dan rakan. Itulah impian kami untuk Kafe Impian ini. Dengan sokongan anda, kami boleh menjadikan impian ini kenyataan."

Kami juga menyenaraikan hadiah sebagai tanda penghargaan kepada penyumbang. Setiap sumbangan akan diberi ganjaran, dari kupon diskaun, hingga peluang menikmati menu khas ciptaan chef (iaitu aku sendiri) untuk penyumbang yang paling besar.

Tak lama selepas kempen dimulakan, kami mula menerima sumbangan kecil-kecilan dari rakan-rakan dan kenalan. Sokongan mereka memberi semangat baru buat kami.

Satu malam, aku membuka laman kempen crowdfunding untuk melihat perkembangannya, dan aku tersentak melihat jumlah sumbangan yang terkumpul semakin meningkat. Ada ramai orang yang tidak aku kenali yang turut menyumbang, memberi kata-kata sokongan dan dorongan dalam komen.

“Aiman, kita dah dapat hampir 30% daripada sasaran dana!” Hariz menghantar mesej penuh keterujaan. Aku tersenyum, merasa takjub dengan sambutan positif yang diterima.

Di saat itu, aku teringat pada janji yang aku buat pada Si Comel. Dengan dana yang makin bertambah, aku semakin yakin bahawa kafe ini bukan sekadar angan-angan lagi. Impian ini bakal jadi kenyataan, dan aku tak sabar untuk berkongsi berita gembira ini dengan Si Comel nanti.

BERSAMBUNG.....

AKU SECURITY SEKOLAH Where stories live. Discover now