PAHLAWAN DALAM KEGELAPAN BAB 28

0 0 0
                                    

Aku terjaga dengan degupan jantung yang kencang, seperti genderang perang yang menghentam dadaku. Badan terasa lemah, dan aku mendapati diriku terbaring di atas permukaan yang keras, sejuk, dan kaku. Mata perlahan-lahan terbuka, berhadapan dengan kegelapan yang dingin. Udara malam yang asing menusuk kulit, membawa bersama bau hangit yang tak menyenangkan.

Aku memandang sekeliling, cuba memahami di mana aku berada. Keadaan sunyi, hanya bunyi samar-samar api yang menyambar memecah keheningan. Kemudian pandanganku terhenti—kafe. Mataku membulat, tubuhku membeku. Dinding yang pernah kukagumi, kini sedang dimamah api. Asap hitam berkepul-kepul keluar dari pintu yang ternganga.

“Kafe…” bisikku, suara itu hampir terputus di kerongkong. Dadaku sakit, bagai dihimpit batu. Aku cuba bergerak, tapi tubuh ini seperti enggan menurut.

“Aiman!” suara lantang menyedarkan aku.

Aku menoleh perlahan-lahan. Hariz muncul dari bayang gelap, wajahnya dipenuhi kerisauan. Nafasnya tercungap-cungap, peluh membasahi dahinya. Dia melutut di sisiku, tangannya segera menggenggam bahuku.

“Aiman, tenang. Kau selamat sekarang,” katanya, nada suaranya lembut, tapi penuh desakan.

“Hariz…” aku cuba bersuara, tetapi lidahku kelu. Aku memandang kafe yang terbakar, rasa ngeri menjalar. “Kafe aku... apa yang berlaku? Kenapa…?”

“Aiman, dengar aku,” kata Hariz tegas. Dia menggoncang bahuku sedikit, seperti mahu memulihkan kesedaranku. “Jangan risau tentang itu sekarang. Yang penting kau masih hidup. Kau kena kuat.”

Tapi kata-katanya seolah-olah tenggelam dalam lautan kekeliruan. Kepala aku berpusing, tubuh semakin melemah. Dunia di hadapanku mula kabur, dan perlahan-lahan, aku terjatuh semula ke pelukan kegelapan.

---

Ketika aku membuka mata sekali lagi, aku berada di tempat yang asing. Bau antiseptik menyerbu hidung, dan pencahayaan yang terang membuatkan aku terpejam kembali. Suasana di sekeliling sunyi, hanya bunyi alat perubatan berdetik perlahan.

“Aiman?”

Aku menoleh ke arah suara itu. Hariz duduk di sisi katil, wajahnya penuh keletihan. Namun, di sebalik matanya yang bengkak, ada sinar lega.

“Kau dah sedar,” katanya sambil menghela nafas panjang.

Aku cuba menggerakkan tubuh, tapi rasa sakit di seluruh badan membuatkan aku menggigit bibir. “Apa yang… jadi? Kafe aku…”

Mata Hariz bertemu pandanganku. Dia terdiam sejenak sebelum bersuara, “Ada orang bakar kafe kau, Aiman.”

Aku terkedu. “Apa? Siapa? Kenapa?”

Hariz menunduk sedikit, seperti mencari kata-kata yang sesuai. “Aku datang masa aku dapat tahu ada sesuatu yang tak kena. Masa aku sampai, aku nampak beberapa lelaki bertopeng sedang tuang minyak kat dalam kafe. Mereka bakar kafe tu depan mata aku, Aiman. Aku cuba halang, tapi mereka ramai. Aku tak berdaya.”

“Apa… kau bergaduh dengan mereka?” tanyaku lemah, dadaku terasa sesak.

Hariz mengangguk perlahan. “Aku cuba lawan, tapi aku kalah. Masa aku sedar semula, api dah besar sangat. Aku tahu kau masih ada dalam kafe, jadi aku redah masuk. Aku tak boleh tinggalkan kau, Aiman.”

Aku hanya mampu mendengar, lidahku kelu. Bayangan kafe yang terbakar menghantui fikiran. Tempat aku mencurahkan seluruh harapan dan usaha, kini musnah sekelip mata.

“Hariz…” Aku cuba berkata sesuatu, tapi dia memotong.

“Jangan. Jangan salahkan diri kau. Aku tahu apa yang kau rasa. Tapi kau masih ada peluang untuk bangkit semula. Kafe boleh dibina semula, tapi nyawa kau tak boleh diganti.” Suaranya tegas, tapi ada nada penuh simpati di situ.

Aku mengeluh berat, menutup wajahku dengan tangan. “Hariz… aku tak tahu kalau aku boleh mulakan semula.”

“Kau boleh, Aiman. Aku akan bantu kau,” katanya. “Apa pun yang berlaku, aku ada dengan kau. Kita akan cari jalan.”

Air mata menggenang di mata aku, tapi aku tahan. Aku tak mahu nampak lemah, walaupun hati ini terasa hancur berkeping-keping. Tapi di tengah kegelapan ini, aku tahu aku tak keseorangan. Hariz ada, dan itu sudah cukup untuk memberi aku sedikit harapan.

BERSAMBUNG.....

AKU SECURITY SEKOLAH Where stories live. Discover now