BANGKIT DARI ABU BAB 29

0 0 0
                                    

Aku berbaring di katil hospital, merenung siling putih yang terasa sejuk dan kosong. Mata ini sudah lelah menangis, namun hati masih terasa perit, setiap kenangan yang tersisa seolah mencakar dari dalam. Tiba-tiba, ketukan lembut di pintu mengejutkan aku. Seorang jururawat menjenguk kepala, tersenyum.

"Encik Aiman, ada pelawat."

Aku hanya mengangguk lemah, dan beberapa detik kemudian, Si Comel melangkah masuk dengan langkah yang perlahan. Dia berdiri sejenak di tepi katil, memandangku dengan mata yang seolah penuh dengan perasaan bersalah.

"Aiman…" Suaranya kedengaran lembut, tapi sarat dengan beban yang mungkin dia sendiri tak mampu tanggung. "Saya… saya minta maaf."

Aku memandangnya, cuba membaca reaksi wajahnya yang kelihatan hiba. "Si Comel, kenapa awak nak minta maaf?"

Dia menunduk, mengelap hujung mata yang mula berkaca. "Saya… saya dah bertunang, Aiman. Dengan… dengan Aniq."

Aku terdiam, terasa seperti sesuatu menghentam dada. “Awak… bertunang?” Aku bertanya dalam nada yang sukar untuk aku kawal. Namun, secebis kekuatan untuk tersenyum tawar masih aku gagahi.

Si Comel mengangguk perlahan, suaranya bergetar. "Ini keputusan keluarga… mereka aturkan semua. Saya tak ada pilihan… bukan kemahuan saya sendiri, Aiman."

Aku menarik nafas panjang, berusaha menenangkan diri. "Awak… tak perlu minta maaf, Si Comel. Saya faham… hidup awak bukan sepenuhnya di tangan awak."

Dia mengangkat wajahnya, menatapku dengan mata yang penuh rasa bersalah. "Tapi saya tahu, awak… awak harapkan sesuatu yang lain. Saya faham… sebab saya pun sama."

“Awak jangan fikir tentang saya.” Aku mengukirkan senyuman, walaupun hati ini parah. "Apa pun yang terjadi, saya cuma nak awak bahagia."

Dia terdiam, tetapi aku nampak ketenangan yang seakan kembali ke wajahnya. "Terima kasih, Aiman. Awak… selalu terlalu baik dengan saya. Saya tak pernah rasa layak."

Aku menelan air liur, cuba menahan suara yang mungkin pecah. “Awak tak perlu cakap macam tu. Saya cuma… saya cuma nak awak tahu yang awak berharga, pada saya.”

Dia memandangku sejenak sebelum melangkah keluar, meninggalkan aku sendirian, bersama hati yang kini semakin sunyi.

---

Keesokan paginya, aku berdiri di hadapan kafe yang kini hanya rangka hitam yang masih berasap. Setiap inci kafe ini pernah aku sentuh, aku susun dengan harapan dan impian. Tapi sekarang, hanya debu dan arang yang tinggal. Aku keluarkan telefon, dengan jari yang menggigil sedikit, mendail nombor Suhairi.

“Hello, Suhairi.”

Suara dari seberang kedengaran mesra. “Aiman! Eh, kau apa khabar?”

“Sihat… sikit. Aku nak tanya… ada tak… kalau aku nak kerja balik?” Aku bersuara dalam nada yang rendah, seolah-olah memohon dari jauh.

Suhairi terdiam sejenak sebelum membalas, “Boleh, Aiman. Kau datang esok, kita bincang.”

---

Beberapa hari kemudian, aku kembali mengenakan seragam sekuriti yang lama aku simpan. Berdiri di pintu sekolah, aku cuba membiasakan diri dengan suasana yang dulunya aku tinggalkan untuk mengejar impian kafe. Angin yang meniup tidak lagi terasa sama, seperti membawa kesedihan yang aku sendiri tak tahu bila akan hilang.

Sedang aku termenung, sebuah kereta mewah berhenti di hadapan sekolah. Dari dalam, Aniq keluar dengan senyuman sinis.

“Oh, kerja sini balik, ya?” Aniq memandangku dari atas ke bawah dengan wajah penuh ejekan. "Memang sesuai sangatlah kerja ni untuk kau, Aiman. Hahaha!"

Aku menggenggam erat tangan, namun cuba mengawal diri. Aniq ketawa sebelum berjalan kembali ke keretanya, sengaja memandang aku dengan wajah bangga. Kemudian, dia meluncur pergi, meninggalkan aku yang menahan segala rasa marah dan kecewa.

Beberapa minit selepas itu, Hariz muncul dari arah bertentangan. Dia memandang wajah aku yang jelas terbeban dengan pelbagai emosi.

"Aiman… kau okay?" Hariz menepuk bahu aku, suaranya lembut tetapi penuh dengan rasa ambil berat.

Aku tersenyum tawar, cuba menahan rasa yang membuak. "Aniq… dia tadi datang, hina aku. Kata aku ni memang layak jadi sekuriti je.”

Hariz menarik nafas panjang, kelihatan seperti menahan marah. “Dia memang patut diberi pengajaran. Tapi sekarang ni… ada hal lain yang kita perlu selesaikan dulu. Aku ada siasat sikit tentang apa yang terjadi pada kafe kau.”

Aku mengerutkan dahi. "Maksud kau…?"

“Aku rasa ini bukan sekadar rompakan biasa di kafe kita. Mungkin untuk balas dendam atau sebab lain, tapi yang pasti, ini bukan rompakan biasa.”

Aku terdiam, nama yang sama terlintas di fikiranku. “Aniq…” bisikku dengan perlahan, terasa ada bara yang menyala di hati.

Hariz mengangguk sedikit, menatapku dengan penuh empati. "Kau bukan seorang saja yang fikir macam tu. Tapi… kita kena bertenang, Aiman. Kita tak ada bukti untuk tuduh sesiapa.”

Aku mengangguk, menelan segala kemarahan. "Jadi apa yang kita nak buat sekarang?"

Hariz tersenyum kecil, penuh ketabahan. "Kita bangkit balik. Kafe tu boleh kita bina semula. Dan kali ni, aku dengan kau sama-sama uruskan, dari mula.”

Aku hanya diam, cuba menenangkan diri. Dalam hati, aku tahu perjalanan ini takkan mudah, tapi dengan Hariz di sisi, aku rasa aku mungkin mampu berdiri semula, walau apapun yang menanti di hadapan.

BERSAMBUNG…

AKU SECURITY SEKOLAH Where stories live. Discover now