BAB 10

20 1 0
                                    

KERTAS di tangan diteliti sekali lagi. Kami sudah berkumpul di satu tempat yang sedikit tersembunyi dari orang lain. Nampak ada beberapa buah kapal yang tengah bersedia untuk belayar. Kapal yang penuh dengan kontena itu mungkin salah satu kapal yang cuba untuk mengeluarkan dadah ke negara lain setelah selesai di proses disini.

Aku memerhati persekitaran. Kami bergerak secara senyap.

" Move!" Aku memberikan arahan.

Kami semua berpecah mengikut apa yang telah dirancang. Kami membahagikan kepada 3 kumpulan. Aku bertindak sebagai ketua kumpulan pertama. Sarjan Azrie sebagai lead untuk kumpulan kedua dan Sarjan Hazriq lead untuk kumpulan ketiga.

Naqiu mengikut aku. Dia mengekori rapat dari belakang. Kami menuju ke pusat menara kawalan. Tiba sahaja di pintu pusat menara kawalan itu, sekumpulan lelaki yang terdiri seramai 4 orang cuba menyerang aku dan Naqiu.

Salah seorang dari mereka menendang kaki Naqiu. Naqiu jatuh tertiarap. Dari arah belakang aku ternampak seorang lelaki menghalakan pistol ke arah Naqiu.

Bang!

Satu tembakan dilepaskan. Nasib baik tersasar dan tidak mengenai badan Naqiu. Aku menghela nafas lega. Lelaki bertubuh sasa meluru ke arah aku.

Buk!!

Buk!!

Kami berbalas tumbukan. Pipi aku terasa pijar gara-gara tumbukan lelaki itu terkena di muka aku. Aku meludah ke lantai membuang sisa darah yang mengalir dalam mulut. Naqiu di belakang aku turut sama bangun dan mengacukan pistol kepada lelaki yang cuba menembaknya sebentar tadi.

Bang!

Lelaki itu tumbang. Naqiu menoleh ke sasaran yang lain.

Bang!

Lelaki kedua juga turut tumbang. Bunyi derap langkah semakin menghampiri kami. Kelihatan ahli pasukan Alpha yang lain menuju ke arah kami. Menyedari kehadiran mereka, musuh yang tengah bergelut dengan aku memaut leher aku.

Bang!

Satu tembakan sekali lagi dilepaskan oleh Naqiu apabila dia melihat musuh telah berjaya menjatuhkan aku. Itulah fungsi dia sebagai seorang penembak tepat di kalangan kami. Tangan musuh terkulai layu setelah bahagian bahunya terkena tembakan.

Sarjan Azrie dan Sarjan Hazriq mengambil alih. Aku dengan Naqiu sudah kelelahan.

" Go!" jerit aku ke arah Sayf tanpa menghiraukan lagi keadaan sekeliling. Kami perlu menangkap ketua mereka dengan segera.

Sayf akur dengan arahan aku. Kakinya semakin menghampiri pintu bilik kawalan. Sayf cuba membuka tombol pintu itu. Namun ia terkunci dari dalam. Sayf memandang ke arah aku. Menunggu arahan yang seterusnya.

" Tendang!" aku menjerit kepada Sayf.

Tanpa membuang masa, Sayf menendang pintu besi itu dengan sekuat hati. Akhirnya, daun pintu itu terbuka lebar. Sayf melangkah masuk ke dalam. Aku yang menyedari situasi itu terus berlari ke sana.

Baru sahaja Sayf melangkah masuk terus aku mendengar suara dia menjerit kesakitan. Seorang lelaki yang berada di dalam pusat menara kawalan itu menghunuskan pisau ke arah Sayf. Sayf tercedera di bahagian lengan. Aku lihat darah Sayf mula mengalir dan menitik di lantai.

Bang! Aku terus melepaskan tembakan pada kaki lelaki itu tanpa teragak-agak lagi. Akhirnya dia tumbang. Segera aku menuju ke arah Sayf. Melilau mata aku mencari sebarang kain untuk menghentikan pendarahan yang dialami oleh Sayf. Nasib baik ada satu tuala di situ. Terus aku mengoyak dan melilit pada luka Sayf.

The Loyal Hunter : Maleeq UqailWhere stories live. Discover now