Prolog

9.7K 222 8
                                        

SUASANA kampung yang tenang ditambah lagi dengan angin sejuk di pagi hari membuatkan si gadis hampir terlena di buaian yang tergantung antara dua pokok. Bunyi panggilan dan juga motor dari arah belakang buatkan mata Haira serta-merta terbuka luas.

"Hey, tidur ke tu?" tegur posmen itu ramah. Sengaja mengusik.

Haira tersenyum kecil, sudah menjadi kebiasaan untuknya. Setiap pagi pasti dia akan duduk termenung di buaian ini dan setiap kali itu jugalah, posmen itu atau lebih dikenali sebagai Abang Aiman akan menegurnya ramah.

"Macam biasalah, bang. Penganggur berjaya memang macam ni. Termenung sambil nikmati angin sejuk, duduk dalam rumah bukannya buat apa pun. Abang datang ni ada apa? Saja tegur Haira atau ada surat?"

Soalan dari Haira membuatkan Aiman menepuk dahi sendiri. Terlupa pula. "Oh ya! Abang terlupa pula nak bawa keluar surat untuk Haira. Sekejap eh,"

Haira menganggukkan kepalanya, menunggu. Huluran sampul surat diambil lalu nama yang tertulis di atas sampul itu dilihatnya. "Surat apa pula ni?" soal Haira sendirian. Jarang-jarang diri sendiri menerima surat. Rasa ingin tahu isi di dalam semakin membuak-buak.

"Okeylah, abang pergi dulu. Jangan lupa baca surat tu, manalah tahu kalau surat dari kekasih Haira ke kan?" Aiman terkekeh ketawa apabila berjaya mengusik Haira. Lihat wajah Haira memerah seperti menahan geram membuatkan Aiman mula menyimpan semula kesemua surat di dalam begnya. Bersedia untuk larikan diri.

"Ish abang ni! Haira tak ada kekasih la." Baru sahaja hendak memukul lengan Aiman menggunakan sampul surat yang berada di tangannya, laju sahaja lelaki itu memecut pergi. Haira tersenyum lucu dengan telatah Aiman. Ada aje yang lelaki itu mahu mengusiknya. Sejak dahulu Aiman sahaja yang selalu menemaninya di kampung ini.

Sampul surat di tangannya itu diperhati lama sebelum akhirnya Haira memilih untuk membuka. Mata membaca apa yang tertulis di atas surat itu dan seketika, wajah itu dipenuhi dengan senyuman manis. Gembira tak terkata. Setelah lama dia menunggu, akhirnya ada juga surat tawaran yang sampai.

"Mama, abah... Haira dapat tawaran sambung belajar dekat Kuala Lumpur!!!" Jerit Haira kuat dari arah luar. Haira melangkah masuk ke dalam rumah sambil terlompat kecil. Puan Ameera dan Tuan Asyraf berpandangan sesama sendiri sebelum mengukir senyuman bangga kepada anak bongsu mereka.

'Alhamdulillah... doa anaknya selama ini sudah dikabulkan oleh Tuhan.'

"Tengok ni, tengok ni," surat tawaran sambung belajar itu ditunjuk kepada kedua orang tuanya.

Terangguk-angguk kepala lelaki dan wanita separuh abad itu. Faham perasaan Haira sedang teruja.

"Mama dengan abah izinkan Haira pergi kan?" Keningnya terjungkit sedikit naik ke atas. Risau pula apabila mama dan abahnya cuma diam dan mengukir senyum.

"Mestilah kami izinkan, ini kan memang impian Haira dari dulu lagi? Kalau kami tak izinkan pun, Haira memang nak pergi juga kan? Jadi pergi jelah. Kami cuma harap yang Haira pandai jaga diri di tempat orang seperti mana Haziq dan Haireena bawa diri mereka di luar negara sana tu. Jangan tinggal solat, jaga aurat dan patuh pada suruhan Allah. Itu dah cukup buatkan kami bahagia dan senang hati untuk lepaskan Haira pergi jauh dari kami. Cuma nanti rumah ni sunyi jelah sebab tinggal mama dengan abah berdua je." Bibir dicebikkan gaya orang merajuk. Haira yang melihat sudah ukir senyum. Tubuh kedua orang tuanya dipeluk erat sambil pipi mereka dikucup penuh rasa sayang.

"In Shaa Allah... Haira akan ingat dan dengar semua yang mama dan abah pesan ni. Haira janji yang Haira tak akan pernah sekali pun belakangkan keluarga sebelum buat apa-apa keputusan. Doakan Haira tau," tangannya mengusap belakang tubuh Puan Ameera. Bersyukur kerana dapat ibu dan ayah yang memahami dan bersyukur juga kerana sejak dahulu dia selalu dapat apa yang dia inginkan. Mereka tidak pernah tidak beri apa yang Haira mahukan. Apa yang Haira mahu, pasti Haira akan dapat.

"Baguslah kalau macam tu. Abah yakin yang Haira pandai bawa diri nanti. Jangan hampakan kami di sini. Belajar dulu sampai habis, nanti baru fikir pasal bercinta. Ingat tu," pesanan terakhir dari Tuan Asyraf disimpan kemas dalam kepalanya. Niatnya memang mahu pergi menuntut ilmu, tiada niat yang lain.

"Okey, Haira akan ingat semua pesanan ni. Terima kasih mama, abah. Haira naik atas dulu." Surat yang berada di tangan Puan Ameera ditarik lembut sebelum Haira berlari anak untuk masuk ke dalam biliknya.

TAKDIR KITA | SIBF25Cerita yang buat anda obses. Terokai sekarang