Adi garu kepala. Seingat dia semalam waktu dia pulang ke rumah benda tu masih ada di atas meja. Pagi tadi selepas mandi Adi tengok benda tu sudah tiada di atas meja.
Hilang.
Itu yang Adi tergaru-garu kepala walaupun kepala dia tak gatal.
Habis laci diselongkar. Masih juga tiada. Adi angkat tilam, mana tahu ada bawah tilam. Masih juga tiada. Adi lihat ke bawah katil. Masih juga tiada. Adi pelik, macam mana benda tu boleh hilang. Takkan benda tu ada kaki boleh berjalan sendiri. Adi geleng kepala.
Adi keluar dari bilik, terus ke dapur. Awalnya Adi nak tanya pada mak, tapi Adi rasa kalau dia tanya pada mak takut nanti mak pula yang membebel. Sebab memang dari dulu Adi macam ni. Adi batalkan niat, sempat Adi capai 2 ketul cekodok pisang atas meja.
Adi mundar mandir depan tv. Adik dia yang bongsu, Man jadi tak selesa. Mana tidaknya, waktu dia nak menonton kartun kegemarannya waktu itu jugalah abangnya nak berjalan depan tv.
"Macam orang takde otak," getus hati kecil Man.
Adi masuk semula ke dalam bilik. Macam biasa mata Adi meliar. Lama Adi berfikir mana agaknya dia letakkan barang itu. Adi cuba ingat balik apa yang jadi malam tadi. Setahu Adi malam tadi dia melepak di kedai mamak yang selalu dia dan kawan-kawan lepak. Lepas sembang-sembang, gelak-gelak semua Adi minta izin nak balik. Dah lewat katanya, takut terserempak dengan hantu galah. Sampai saja di rumah Adi terus tuju ke bilik air untuk kencing. Baju dan seluar dicampak, tinggallah boxer sahaja. Seingat Adi, benda tu ada dalam poket seluar yang dipakai oleh dia malam tadi.
Adi tercari-cari di mana seluar yang dipakai oleh dia semalam. Mampuslah kalau orang lain terjumpa benda tu. Mana Adi nak letak muka nanti? Tiba-tiba Adi teringat, mesti seluar tu mak dia dah humban dalam mesin basuh dekat belakang rumah. Arghhhh, Adi jadi makin stress. Dengan pantas Adi ke belakang menuju ke arah mesin basuh namun hampa kerana kosong tak berisi.
Mata Adi tertancap ke arah ampaian di luar. Alamak, seluar yang Adi cari tadi bersidai di ampaian. Adi terus ke ampaian dan capai seluar itu. Diseluk kedua-dua belah poket namun Adi hampa. Barang yang dicari sudah tiada!
"Adi, kamu cari apa tu? Seluar tu belum kering lagi nak oiiiiii!! Macam takde seluar lain la kamu ni," bebel Mak Jah.
Sambil membebel tangannya tangkas mengupas bawang.
"Takde apa mak, Adi cari barang dalam seluar ni tapi dah takde. Mak ada nampak?"
Nak tak nak Adi kena berterus terang tak boleh nak sembunyi lagi.
"Barang kamu tu ada mak letakkan atas peti sejuk, itulah tak reti langsung nak keluarkan barang dari poket. Sebelum ni plastik air pun ada dalam tu!" ngomel Mak Jah lagi.
Kali ni dia menyiang ikan pulak. Pantas sungguh orang tua ini melakukan kerja dapur.
"Haaa, lagi satu. Dah gatal sangat ke nak menikah sampaikan kena guna minyak belacak tu?" tegas pertanyaan Mak Jah.
"Hehehehe. Untuk persediaan di masa akan datang la mak."
Adi berjalan sambil tunduk ke bawah dalam keadaan malu. Ini macam kalau ada makwe panggil dia pun dia tak mahu menyahut.
Segan!
YOU ARE READING
Cerpen : Himpunan Cerita Pendek
Short StoryTulisan dari blog yang dihimpunkan ke sini. Dan juga tulisan yang ditulis bagi mengisi masa lapang. Mengandungi kisah yang direka dan juga kisah benar yang diolah semula mengikut kehendak nafsu penulis.